Thursday, November 06, 2008

yamaha 135 lc

Publication : BM

Edition :

Date : 26/02/2006

Page Number : 11

Headline : Yamaha 135LC hebat

Words : 719

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


MENGAMBIL selekoh menggunakan motosikal terbaru model 135LC keluaran
Yamaha Motor begitu menyeronokkan. Cengkaman rodanya padat dan reka
bentuknya menyokong kestabilan serta keseimbangan ketika kedudukan
motosikal berada sekitar 60 darjah.
Peluang mencuba model terbaru keluaran syarikat Jepun itu, baru-baru
ini, membuktikan kenyataan pasukan pembangunan projek berkenaan bahawa
pengguna pasti berpuas hati apabila menunggangnya.
Tambahan pula, ia adalah antara motosikal jenis 'kapcai' pertama yang
memiliki enjin 135 cc dengan empat injap sejukan cecair; tidak seperti
motosikal lain yang berjenis itu yang sebelum ini hanya berkuasa maksimum
125 cc.
Model 135LC juga adalah antara motosikal kecil pertama yang menggunakan
sistem tangki air pada enjin empat lejang bagi memberi kestabilan suhu
kepada enjin.
Sebaik tirai diangkat pada majlis ringkas bagi memperkenalkan model itu
kepada wartawan, tanggapan pertama yang terlintas adalah reka bentuknya
yang 'sporty' menepati cita rasa generasi muda.
Dipasarkan dengan empat warna iaitu merah, biru, hijau dan perak;
Yamaha Motor mensasarkan motosikal itu kepada kumpulan penunggang yang
inginkan gaya, prestasi selain sesuai digunakan sebagai alat pengangkutan
dalam apa juga keadaan.
Reka bentuk 135LC adalah berkonsepkan 'pisau berbucu tajam' dan
dihasilkan dengan harapan ia dapat memotong angin bagi menjadikannya
selesa dipacu ketika memecut. Reka bentuk pisau itu akan menjadi konsep
utama bagi model akan datang untuk koleksi Yamaha DNA.
Model terbaru itu turut didatangkan bersama rekaan terbaru pada
lampunya apabila lampu suluhan biasa diasingkan dengan lampu suluhan
terang yang digabungkan bersama lampu signal dan terletak di badan
hadapan motosikal.
Panel kawalan pula dihasilkan dengan reka bentuk terkini antaranya
pemegang yang sedikit bengkok dan kawasan layar meter lebih lebar bagi
mempermudahkan penunggang meneliti tahap kelajuan ketika bergerak pantas.
Sebaik menghidupkan 135LC, sudah terasa kelancaran teknologi rekaan
dalaman bagi model itu apabila enjinnya beroperasi dengan senyap sekali
gus membayangkan kelancaran pembakaran petrol yang sungguh efisyen.
Keadaan enjin yang senyap dan kelancaran operasi enjin itu dihasilkan
dengan gabungan teknologi terkini dalam penyejuk enjin, piston, enjin
empat lejang dan penyedap bunyi bagi menjamin keselesaan tunggangan dan
pecutan.
Kuasa pecutan berterusan diperoleh sebaik ia mula digerakkan menerusi
kelancaran menukar daripada gear satu hingga empat sebelum reka bentuk
'aerodinamik' memotong angin untuk pergerakan pantas manakala sistem
suspensi 'monocross' mengekalkan kestabilan dan mengelakkan getaran.
Bagaimanapun, antara kelebihan model terbaru itu adalah penunggang
masih dapat bergerak dengan lancar pada kelajuan 20 kilometer sejam
(km/j) walaupun masih kekal pada gear empat tanpa diturunkan pada gear
lebih rendah.
Keadaan ini tidak membebankan penunggang ketika tersepit dalam
kesesakan lalu lintas sebelum mencelah mencari ruang meninggalkan kawasan
sesak untuk memecut semula tanpa menukarkan gear.
Justeru, bayangkanlah jika pada situasi sedemikian, anda menurunkan
gear daripada empat ke gear lebih rendah sebelum memulas pedal minyak.
Model 135LC pasti akan memecut laju meninggalkan kenderaan lain semakin
mengecil di sebalik cermin sisi motosikal.
Sepanjang proses pembangunan motosikal itu, jurutera memberi tumpuan
khusus mengenai tahap keseimbangannya ketika bergerak dan ia
direalisasikan dengan rekaan bagi menyokong sistem roda belakang supaya
ia dapat memberi cengkaman padat pada keadaan jalan.
Rangka berjenis 'Diamond' mampu menahan bebanan sebanyak 45 peratus di
bahagian roda hadapan dan 55 peratus di roda belakang dan gabungan reka
bentuk hadapan dan belakang menghasilkan pengendalian mantap.
Sistem silinder aluminium yang digunakan adalah 'Diasil' yang dipaten
dengan kualiti pelepasan haba untuk mengurangkan serta menjimatkan
penggunaan petrol ketika harga bahan api itu semakin 'membebankan'.
Enjin 135cc empat injap sejukan cecair pula menghasilkan sistem
penyejukan unggul serta memastikan lebih kuasa pada kelajuan rendah dan
keluaran kuasa stabil pada kelajuan tinggi atau ketika mendaki bukit.
Selain itu, 135LC juga memiliki sistem cakera brek hidraulik yang baik
dan berkesan untuk dikawal mengikut ketetapan dan kehendak pengguna
sekali gus memberi kuasa menghentikan kenderaan itu secara mendadak,
tanpa menghilangkan kawalan.
Sistem ekzosnya pula berjenis 'Catalitic Converter' bagi membakar bahan
api yang belum terbakar untuk mengurangi reaksi kimia bagi mengubah hasil
pembakaran atau gas ekzos berbahaya kepada tidak memudaratkan selain
mampu memelihara alam sekitar.
Pada harga atas jalan kira-kira RM5,600, ia dipasarkan bersama tayar
tanpa tiub dan sportrim bagi memberikan lebih daya tahan daripada bocor
ketika menghadapi kerenah permukaan jalan raya yang pelbagai.
SPESIFIKASI
Yamaha 135LC
Jenis enjin: 4 lejang, sejukan-cecair, 4 injap, SOHC
Susunan silinder: Silinder tunggal
Sistem penghidup enjin: Elektrik dan enjutan
Tangki minyak enjin: 1.1 liter
Tangki bahan api: 4 liter
Jenis karburetor: VN22*1
Jenis klac: Cakera berbilang dan empat automatik
SAIZ: 1945mm X 705mm X 1065 mm
Berat penuh: 109kg
Harga: RM5,600
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home