| DULU, sekitar tahun 1950-an, ada orang berkata, kalau tidak kenal perbezaan antara alif bengkok dan alif bongkok, maka seseorang itu belum pandai jawi lagi. Kini, selepas 50 tahun berlalu, Pak Matlob atau nama sebenarnya Mohammad @ Mokhtar Talib pula berkata, kalau seseorang itu sudah tidak kenal tulisan jawi, maka akan berakhirlah satu warisan budaya dalam tamadun Melayu. Tokoh Budaya Johor yang giat memperjuangkan tulisan jawi di seluruh negara itu juga mengingatkan masyarakat bahawa tulisan jawi tidak saja lahir bersama jati diri orang Melayu tetapi juga diwarisi bersama kalimah syahadah pertama di Nusantara, lebih 500 tahun lalu. Justeru, nilai sejarah di sebalik huruf jawi pasti tidak ternilai harganya kepada bangsa Melayu malah wajar dipelihara dan dimartabatkan merentasi zaman demi zaman menuju ke era teknologi dan kemodenan. Bagaimanapun, Pak Matlob, 68 mulai bimbang kerana sejak beberapa tahun lalu sudah ada kanak-kanak dan generasi muda Melayu tidak lagi kenal perbezaan antara alif bengkok dan alif bongkok, apatah lagi membaca jawi. Mujur saja, kerajaan mula menyedari yang tulisan jawi itu adalah warisan bangsa yang perlu dipelihara dan kepentingannya perlu dimartabatkan semula supaya generasi Melayu akan datang tidak tertanya-tanya - apa itu tulisan jawi? "Mungkin kita tidak sedar, tetapi selepas beratus tahun tulisan jawi menjadi darah daging masyarakat Melayu, warisan itu akhirnya hampir pupus dan sekarang kita terpaksa mempelajari semuanya semula seumpama ia satu ilmu baru untuk bangsa Melayu," katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Minggu, baru-baru ini. Beliau berkata, jawi adalah tulisan yang membina tamadun bangsa Melayu malah ia adalah wadah penyebaran dakwah Islam; ia dibawa masuk oleh ulama dan diterima masyarakat bersama penerimaan Islam sebagai agama anutan penduduk. "Sejak itu ia digunakan sebagai tulisan rasmi di kalangan masyarakat; bagaimanapun apabila kedatangan kolonial Inggeris ke Tanah Melayu, mereka mula memperkenalkan tulisan rumi," katanya. Episod suram dalam penggunaan tulisan jawi bermula selepas negara baru mencapai kemerdekaan apabila ada pihak tertentu mengusulkan supaya tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi persuratan Melayu dan membiarkan masa menentukan hidup-mati tulisan jawi. Lebih memilukan ada pegawai tinggi kerajaan ketika itu yang turut tidak berminat menggunakan tulisan jawi. "Bermula seawal 1963, sewaktu saya mengajar di Sekolah Convent Batu Pahat, Johor, saya dapati ramai pelajar Melayu tidak mahir membaca dan menulis jawi. Menyedari keadaan itu, saya memohon kepada guru besar untuk mengumpulkan pelajar Melayu dan mengajar mereka menulis dan membaca jawi pada waktu rehat sekolah," katanya. Peluang mendidik anak bangsa sebagai guru selama 36 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan Peserai, Batu Pahat pada 1988 membolehkan beliau memperjuangkan semangat cintakan tulisan jawi kepada pelajar dan masyarakat, di kala tulisan itu semakin dipinggirkan. Pelbagai usaha dilakukan dan melalui pelbagai wadah yang mampu diterokainya, Pak Matlob gigih memperjuangkan usahanya kerana satu keyakinan - selagi orang Melayu itu beragama Islam dan al-Quran terus dipelajari, selagi itulah masih ada harapan untuk kembali memartabatkan tulisan jawi. Kesetiaan dan cinta beliau kepada tulisan jawi tertanam dalam diri sejak kecil, lantaran sikap keluarganya yang cenderung kepada pelbagai buku bacaan yang bertulisan itu antaranya syair, hikayat, novel selain kitab lama. "Istimewanya tulisan jawi itu terletak kepada bentuk hurufnya; ia boleh diubah (huruf biasa kepada huruf bersambung) dengan penuh berseni malah ia boleh diolah menjadi tulisan khat," katanya. Memperjuangkan tulisan jawi turut menyedarkan Pak Matlob mengenai nasib masyarakat Melayu, justeru selain mengajar di sekolah, beliau turut mencurahkan bakti dengan menjadi pengelola kepada beberapa ruangan pendidikan dan bimbingan pelajar di akhbar. "Ia bermula pada 1959 apabila saya diberi peluang mengendalikan ruangan Mari Berfikir dalam akhbar Utusan Kanak-kanak di Singapura; saya juga pernah mengelolakan pelbagai ruangan pelajar dan jawi di Mingguan Malaysia, Utusan Pelajar dan Berita Minggu sepanjang menjawat profesion perguruan," katanya. Seterusnya apabila bersara, perjuangannya masih belum menemui noktah apabila beliau diberi peluang memartabatkan kembali tulisan jawi dan pendidikan di akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman, Berita Minggu, Berita Harian Singapura, Harian Metro, Metro Ahad selain majalah Pelita Bahasa. Selain dua wadah itu, beliau turut meneruskan perjuangannya menerusi pembabitan dalam sastera dan sastera jawi dan sehingga kini, beliau sudah menghasilkan 417 buku termasuk sastera jawi kanak-kanak selain puluhan artikel, cerpen, drama dan kertas seminar. Perjuangannya yang besar terhadap survival tulisan jawi dan budaya bangsa akhirnya dikenang beberapa pihak dan beliau akhirnya dianugerahi Tokoh Budaya Johor pada 1996 dan Tokoh Maal Hijrah 1425 Peringkat Daerah Batu Pahat pada 2004. Beliau bersyukur kerana baru-baru ini, ramai yang sudah sedar mengenai pentingnya memartabatkan kembali tulisan jawi malah kerajaan sudah memperkenalkan kembali subjek tulisan jawi menerusi modul j-QAF kepada pelajar. "Usaha seperti dilakukan Bank Negara yang mencetak tulisan jawi pada wang kertas dan Kerajaan Selangor dan Terengganu yang memberi potongan untuk bayaran papan nama premis perniagaan yang menggunakan tulisan jawi patut dicontohi," katanya. PROFIL PAK MATLOB * Nama sebenar: Mohammad @ Mokhtar Talib * Tarikh lahir: 5 Julai 1937 * Asal: Semerah, Batu Pahat, Johor * Isteri: Mariam Daud (meninggal pada Mac 1995), Khalipah Mohd Yunos (kahwin pada Julai 1995) * Anak: Tujuh (Bibi Mariam, Ani Mariam, Kifli, Umi Mariam, Fikri, Fathi dan Lili Mariam), serta 17 cucu. * Penghargaan: Tokoh Budaya Johor (1996) dan Tokoh Maal Hijrah 1425 Peringkat Daerah Batu Pahat (2004). * Karya dan pengalaman: Menghasilkan 417 buku terutama sastera kanak-kanak dan panduan penulisan jawi; Menjadi guru selama 36 tahun Mengelola ruangan akhbar dan penerbitan hampir 47 tahun; Digelar Matlob oleh seorang guru ketika sekolah rendah dan kekal sehingga kini. Ia kependekan bagi namanya yang disebut mengikut sebutan Arab. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home