Thursday, November 06, 2008

cara berjimat

Publication : BM
Edition :
Date : 05/03/2006
Page Number : 22
Headline : Congak kembali gaya hidup, cara berbelanja
Words : 647
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


APABILA kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 30
sen seliter berkuat kuasa Selasa lalu, ramai rakyat terpaksa mencongak
dan menyusun kembali gaya hidup dan cara berbelanja.
Bagi mereka berpendapatan sederhana - memiliki anak dan berkereta,
kesan kenaikan harga bahan bakar itu sekali gus meningkatkan kos sara
hidup keluarga dan jika tidak ditangani dengan baik boleh menimbulkan
pelbagai masalah.
Pengarah Eksekutif syarikat perunding kewangan, Hijrah Strategic
Advisory Group Sdn Bhd; Rohani Mohd Shahir (gambar), berkata jika
keluarga gagal menguruskan perbelanjaan dengan bijak, gejala sosial boleh
berlaku.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya menguruskan kes membabitkan
salah urus kewangan, kesan terburuk akibat tekanan itu ialah berlaku kes
perceraian seterusnya menimbulkan masalah sosial terutama di kalangan
anak remaja.
"Kesempitan wang boleh menyebabkan pelbagai masalah sosial malah mereka
yang diiktiraf sebagai muflis dan berhutang keliling pinggang sekarang
kebanyakannya berusia muda.
"Impak kegagalan merancang kewangan juga memberi kesan kepada prestasi
kerja, contohnya ketika kita bekerja, orang menelefon meminta hutang dan
keadaan ini memberi tekanan dalam hidup," katanya.
Rohani berkata, jika dilihat kepada prinsip asas ekonomi; pengguna
tidak dapat mengelak daripada menghadapi masalah kenaikan harga petrol
dan diesel kerana penawaran bahan bakar itu berkurangan berbanding
permintaan meningkat.
"Mungkin sekarang kita rasa agak tertekan kerana tidak merancang
apabila bahan bakar itu tiba-tiba naik. Memang saya menduga ramai
pengguna berasa marah, tiada siapa yang suka bila berlaku kenaikan harga
tetapi itu hanyalah reaksi pertama," katanya.
Beliau berkata, reaksi kedua ialah pengguna berkenaan haruslah
berfikiran rasional dengan mengubah corak perbelanjaan sehariannya bagi
memastikan kesan kenaikan harga petrol berkenaan tidak menjejaskan
kehidupannya.
"Apabila berlakunya kenaikan harga petrol; setiap keluarga akan
mengalami kenaikan perbelanjaan petrol sebanyak RM15 hingga RM20 setiap
minggu maka mereka harus mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu bagi
menampung kenaikan itu," katanya.
Rakyat Malaysia, katanya banyak berbelanja kepada perkara yang tidak
perlu tetapi mereka tidak dapat melihat pembaziran berkenaan kerana tidak
mencatatkan perbelanjaan harian.
"Kajian sudah dibuat bahawa jika kita mencatatkan setiap perbelanjaan
kita setiap hari, maka setiap minggu kita boleh melihat yang kita akan
belanja kepada perkara yang tidak perlu antara RM20 hingga RM50 dan
jumlah ini boleh menampung kenaikan kos petrol berkenaan.
"Dalam berbelanja, ia berkaitan dengan keperluan dan kemahuan; kemahuan
adalah nafsu yang sebenarnya kita tidak perlu contohnya jika kita
perlukan baju, belilah yang murah. Jika dulu kita beli baju RM100,
sekarang belilah yang RM30. Jika kita beli apa yang kita perlu saja,
insya-Allah cukup," katanya.
Beliau berkata, antara perbelanjaan yang tidak perlu dan boleh
dikurangkan adalah hiburan, mengundi artis pujaan menggunakan SMS,
membasuh kenderaan di kedai, melanggan nada dering telefon bimbit dan
membeli makanan ringan.
Rohani berkata, rakyat juga boleh mengamalkan budaya membawa bekal
makanan ke pejabat seperti diamalkan di Barat. Kesilapan lain bagi rakyat
Malaysia dalam menguruskan kewangan ialah adanya sikap suka terikut-ikut
seperti mengamalkan budaya menukar telefon bimbit model terbaru sehingga
menyebabkan pembaziran.
Satu kaedah perancangan kewangan yang terbukti berkesan di peringkat
antarabangsa adalah sistem 'sampul surat' yang mengasingkan semua kos
perbelanjaan bulanan seperti belanja dapur, petrol dan sewa rumah di
simpan dalam sampul surat berasingan. Apabila berlakunya kenaikan kos,
individu terbabit harus berusaha mengurangkan penggunaan wang dalam
sampul surat bagi mengelakkan masalah 'lari bajet'.
Kenaikan harga petrol mungkin lebih dirasai ibu bapa berbanding anak
mereka dan bagi memastikan masalah itu dapat dipikul secara bersama, ibu
bapa harus mendidik anak masing-masing berbelanja mengikut kemampuan dan
berhemah.
Rohani berkata, bagi memastikan masyarakat mengetahui kaedah
menguruskan kewangan secara bijak, pelbagai pihak perlu saling membantu
menyebarkan pengetahuan berkenaan menerusi pelbagai saluran seperti
seminar dan akhbar.
"Dalam ceramah agama juga boleh diselitkan ilmu pengurusan kewangan
kerana dalam rukun Islam, dua daripadanya membabitkan kewangan iaitu
menunaikan zakat dan haj. Ini bermakna ilmu menguruskan kewangan juga
penting.
"Malah, tempoh pembelajaran mengenai kewangan keluarga di dalam kursus
pra-perkahwinan juga perlu dilanjutkan dan tidak hanya sejam seperti
sekarang kerana tanggungjawab ini perlu didedahkan terhadap suami isteri
sejak awal," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home