Thursday, November 06, 2008

remaja pengusaha futsal

Publication : BM
Edition :
Date : 12/03/2006
Page Number : 10
Headline : Dulu peminat kini jadi pengusaha pusat futsal
Words : 776
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


MINAT terhadap bola sepak mendorong Dani Syazree Chut Nyak Isham, 24
tidak jemu-jemu mengasah bakat dan kemahiran bersama rakan sepasukan.
Mereka menghabiskan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk bermain
bola sepak gelanggang atau futsal.
Bagaimanapun, Dani Syazree kini melangkah setapak lagi apabila dia
bersama dua lagi rakan membuka pusat futsal sendiri iaitu 'Rio de Futsal'
di Subang Jaya, Selangor.
Minat terhadap bola sepak akhirnya mengubah kehidupan Dani daripada
sekadar peminat futsal kepada usahawan remaja yang memiliki pusat futsal
dengan aset perniagaan bernilai kira-kira RM1.5 juta.
"Saya minat bermain bola dan apabila menceburi perniagaan yang
berkaitan dengan minat, ia menjadi suatu yang menyeronokkan; menguruskan
perniagaan ini setiap hari tidak begitu tertekan sebaliknya
menggembirakan.
"Di sini, saya dapat berkenalan dengan ramai individu yang memiliki
minat sama malah pengunjung terdiri daripada pelbagai bangsa, jantina,
berusia daripada tujuh tahun hingga 50 tahun malah ada yang datang dari
Seremban," kata Pengarah Urusan Bersama pusat berkenaan.
Dani tidak pernah menyangka untuk menjadi usahawan dalam usia semuda
itu tambahan pula dia bekerja 'makan gaji' di syarikat penjualan kereta
sebaik menamatkan pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan di HELP Institut
pada 2001.
"Ketika itu, seorang rakan datang dan menyuarakan idea untuk membuka
pusat futsal dan kami berasakan permintaan untuk perniagaan itu adalah
baik kerana masih belum banyak pusat futsal dibuka.
"Kami bertiga kemudiannya mula berusaha ke arah itu dengan mencari
lokasi perniagaan selain menyiapkan kertas kerja bagi mendapatkan
pinjaman bank; sebaik siap, kami membuat permohonan pinjaman perniagaan
dan dengan mudah ia diluluskan," katanya.
Nyata sekali bahawa ramalan mereka benar kerana sebaik dibuka pada Jun
2004, tempahan peminat futsal di pusat miliknya tidak pernah putus malah
lapan gelanggang futsal dengan kadar sewaan antara RM60 hingga RM120
sejam sentiasa penuh.
Malah, permintaan menggalakkan daripada peminat futsal dengan kehadiran
kira-kira 1,000 pengunjung sehari termasuk daripada warga asing
menyebabkan pihaknya bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Kuala
Lumpur, tahun depan.
"Keistimewaan pusat futsal ini adalah kami menyediakan gelanggang
berjenis 'Taraflex Lagoon dan Maple' yang masih belum banyak digunakan
pusat futsal lain dan gelanggang ini digunakan dalam kejohanan
antarabangsa 'Euro 2006 Futsal'. Gelanggang yang ditempah dari Perancis
ini menyebabkan pemain tidak berasa sakit jika terjatuh.
"Sebelum menceburi perniagaan ini, kami melakukan kajian mengenai
pelbagai aspek infrastruktur dan kaedah menguruskan pusat futsal; kami
meninjau pusat futsal lain dan melayari internet," katanya.
Beliau berkata, untungnya apabila menceburi perniagaan itu adalah ia
tidak membabitkan modal pusingan dan pihaknya hanya perlu menguruskan bil
penggunaan elektrik dan air saja setiap bulan.
"Selain gelanggang futsal; kami juga menyediakan surau, tempat mandi
dan tandas serta kafe untuk kemudahan pengunjung selain mengambil kira
persediaan lain seperti menyediakan peralatan perubatan kecemasan jika
terdapat pemain yang cedera," katanya.
Rio de Futsal yang dinamakan sempena 'kota bola sepak', Rio de Janeiro
di Brazil kini dimiliki tiga pengarah urusan dan enam pekerja. Pusat
futsal seluas kira-kira satu hektar dan dibina pada bangunan kilang itu
dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga dua pagi.
Dani mengakui beliau masih baru dalam dunia perniagaan yang serba
mencabar dan remaja itu banyak mendapat tunjuk ajar daripada bapanya yang
pernah membuka syarikat pembangunan hartanah sebelum ini.
"Walaupun saya mengikuti pengajian pengurusan perniagaan ketika belajar
dulu, ilmu yang diperoleh tidak banyak membantu kerana banyak yang diajar
hanyalah teori semata-mata menyebabkan ia tidak dapat diaplikasikan
ketika menguruskan perniagaan ini.
"Jadi saya mendalami perniagaan dari kosong (tiada pengalaman) dan mula
belajar mengenai selok-belok perniagaan sedikit demi sedikit menerusi
pengalaman dan tunjuk ajar orang lama," katanya.
Prinsip beliau dalam menceburi perniagaan adalah berdisiplin, berani
mengambil risiko, berkorban membangunkan perniagaan dan perlu mempercayai
serta menjalinkan hubungan baik dengan kakitangan.
Mengenai perancangan masa depan, Dani akan terus menjadikan perniagaan
sebagai kerjayanya dan bercadang membuka lebih banyak cawangan Rio de
Futsal sebelum menceburi bidang niaga lain.
Kepuasan jelas terbayang pada wajah Dani ketika memandang kawasan pusat
futsal yang dibina bersama dua rakannya kira-kira dua tahun lalu.
Seketika kemudian beliau mula mengeluarkan bola dan terus beraksi di
gelanggang futsalnya, menandakan beliau akan terus bermain bola dan
berusaha memastikan gelanggang permainannya terus wujud dan saiznya
semakin luas pada masa hadapan.
FAKTA
Dani Syazree Chut Nyak Isham
* Pengusaha Rio De Futsal, Subang Jaya, Selangor.
* Pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan di HELP Institut pada 2001.
* Aset perniagaan bernilai RM1.5 juta.
* Mempunyai lapan gelanggang futsal dengan kadar sewaan antara RM60
hingga RM120 sejam.
* Menerima 1,000 pengunjung sehari termasuk warga asing.
* Keistimewaan pusat futsal menyediakan gelanggang 'Taraflex Lagoon dan
Maple'.
* Gelanggang ditempah khas dari Perancis.
* Turut menyediakan surau, tempat mandi, tandas serta kafe untuk
kemudahan pengunjung.
* Bercadang membuka lebih banyak cawangan Rio De Futsal.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home