Thursday, November 06, 2008

al-quran braile

Publication : BM

Edition :

Date : 02/04/2006

Page Number : 06

Headline : Dua sahabat hasilkan al-Quran tulisan braille

Words : 759

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


PADA 1994, Zakaria Yahya dan Muhammad Lee Abdullah bercita-cita merangka
satu usaha besar bagi sejarah umat Islam di negara ini - menghasilkan
al-Quran braille untuk kepentingan umat Islam yang cacat penglihatan.
Usaha itu adalah kesinambungan perjuangan belum selesai beberapa rakan
yang cacat penglihatan bagi memastikan 'insan istimewa' seperti mereka
tidak dipinggirkan dalam merasai ketenangan mengalunkan bacaan ayat suci
al-Quran.
Dua sahabat yang masing-masing berusia 39 tahun itu sedar bahawa
al-Quran adalah panduan hidup umat Islam malah Kitab Suci itu
'menawarkan' pelbagai hikmah dan pahala kepada mereka yang membacanya.
Justeru, adalah satu kerugian jika peluang itu tidak dapat dinikmati
insan seperti mereka.
"Dulu (sekitar 1980-an dan sebelumnya), sukar sekali untuk mereka yang
cacat penglihatan membaca al-Quran kerana tidak ada al-Quran braille
dihasilkan di negara ini; apa yang termampu, mereka hanya mendengar
bacaan al-Quran yang dirakam.
"Jika ingin mengalunkan bacaan, mereka perlu menghafaz sesuatu surah
tetapi tidak ramai yang mampu menghafaz banyak surah; saya sendiri tidak
mampu," kata Zakaria yang juga Pengerusi Biro Penerbitan, Persatuan Orang
Cacat Penglihatan Islam (Pertis).
Usaha tanpa jemu selama hampir 12 tahun akhirnya merealisasikan impian
berkenaan apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meluluskan kod
braille al-Quran dihasilkan mereka pada 1998.
Kelulusan Jakim itu disambut Zakaria dan Muhammad Lee dengan penuh
kesyukuran dan kini mereka sudah mampu tersenyum kerana ramai umat Islam
cacat penglihatan yang dapat membaca al-Quran.
"Sehingga kini, hampir 1,000 naskhah al-Quran braille sudah dicetak dan
diedarkan tidak saja di seluruh negara tapi sehingga ke Indonesia,
Singapura dan Thailand. Pertis menjadi pengedar tunggal al-Quran braille
ini.
"Terbaru, Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran bersetuju
bekerjasama dengan Pertis bagi mencetak al-Quran braille untuk diedarkan
kepada pelajar Islam yang cacat penglihatan di seluruh negara," katanya.
Ketika mengenangkan kembali sejarah penghasilan al-Quran braille di
negara ini, Zakaria berkata, negara dipercayai menerima al-Quran braille
pertama dari Jordan pada 1952; membuktikan usaha itu sebenarnya sudah
lama dilakukan negara Islam di Timur Tengah.
"Al-Quran itu dipercayai dikirimkan pihak tertentu yang prihatin
terhadap nasib umat Islam yang buta di negara ini dan ia mengandungi 30
juzuk yang dipecahkan kepada enam jilid," katanya.
Bagaimanapun, melewati perjalanan masa, hanya satu daripada enam jilid
al-Quran itu masih dijaga manakala selebihnya hilang tanpa dapat dikesan;
satu jilid kitab suci itu kini dipulihara Pertis.
"Selain dari Jordan, kami turut memperoleh al-Quran braille dari Mesir
pada 1964, Tunisia (1976) dan Indonesia (1970-an); al-Quran dari Jordan
itu mula-mula diajar kepada penuntut Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas
Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor," katanya.
Beliau berkata, usaha menyalin al-Quran braille di negara ini bermula
sekitar 1980 tetapi tidak ramai berupaya melakukannya kerana ia mengambil
masa bertahun bagi menyiapkan satu salinan, tambahan pula proses itu amat
merumitkan.
"Bagaimanapun, al-Quran braille pertama yang lengkap dengan hukum
tajwid berjaya disalin oleh Zahari Yani pada 1985 dan beliau mengambil
masa hampir tiga tahun untuk menyalin kitab itu berpandukan al-Quran
braille dari Indonesia.
"Selepas siap disalin, ia dicetak menggunakan teknologi termoform pada
kertas braillion dan untuk mencetak satu salinan al-Quran braille saja
mengambil masa seminggu, tambahan pula kertas braillion adalah mahal
iaitu kira-kira 90 sen sehelai," katanya.
Usaha mengembangkan ajaran Allah itu bagaimanapun dipermudahkan Tuhan
apabila pada awal 1990-an, teknologi komputer mula dihasilkan sekali gus
membolehkan Zakaria dan Muhammad Lee mencipta kod braille al-Quran
menggunakan komputer.
Muhamad Lee berkata, beliau mempelajari sendiri kaedah menukarkan kod
aksara papan kekunci komputer kepada kod braille menggunakan perisian
Duxbury sebelum dicetak pencetak braille.
"Selama tiga bulan, saya menukarkan kod braille al-Quran dari Indonesia
kepada kod braille komputer; selepas itu kami mengambil masa hampir empat
tahun untuk menyemak bacaan dan hukum tajwid bersama Jakim sebelum
diluluskan jabatan itu pada 1998," katanya.
Menggunakan teknologi komputer, Pertis dapat mencetak dua naskhah
al-Quran braille sehari dan setiap naskhah dijual pada harga RM200.
Zakaria berkata, mereka yang tidak mempelajari kod braille al-Quran
tidak dapat membaca kitab suci itu kerana ia berbeza dengan kod braille
tulisan rumi. Bagi mengatasi masalah itu, Pertis menganjurkan kelas
pengajian al-Quran braille pada setiap Sabtu.
"Di Masjidilharam, ada dua salinan al-Quran braille membuktikan ia juga
setaraf al-Quran biasa," katanya.
Masyarakat istimewa seperti mereka sudah berjaya menyahut seruan
Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: "Engkau mestilah membaca Al-Quran
kerana Al-Quran itu cahaya bagimu di bumi ini dan perbendaharaan bagimu
di langit." - (Riwayat Ibn Hiban)
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home