Thursday, November 06, 2008

menjejak hantu

Publication : BM

Edition :

Date : 12/03/2006

Page Number : 01

Headline : Menjejak hantu

Words : 1056

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


DALAM kegelapan malam, penulis dengan berbekalkan Surah an-Nas yang
dibaca berulang kali melangkah perlahan memasuki sebuah rumah papan usang
di tengah ladang kelapa sawit, jauh dari penempatan manusia.
Jam menunjukkan hampir 2.20 pagi ketika penulis keseorangan duduk di
kerusi dalam rumah yang terbiar hampir 26 tahun itu. Dingin pagi itu
menusuk tulang dan sesekali naik bulu roma apabila mendengar pelbagai
bunyi.
Dulu, rumah itu khabarnya dimiliki seorang alim tempatan tetapi sejak
beliau meninggal dunia sekitar 1980, rumah itu terbiar tanpa didiami
manusia dan sejak itu, ada pihak mendakwa berlaku pelbagai perkara aneh -
kedengaran bunyi orang memasak pada waktu malam atau ada aktiviti di
rumah itu seakan-akan ia berpenghuni.
Tingkap di sebelah kanan terbuka mempamerkan kegelapan malam manakala
di belakang adalah bilik yang pernah menempatkan jenazah pemilik rumah
ketika meninggal dunia sekitar usia 110 tahun.
Masa terus berlalu tetapi dalam suasana tenang dan sunyi, mula timbul
kerisauan mengenai pengalaman `kerja gila' yang bakal ditempuhi.
Dalam kebimbangan memikirkan pelbagai kemungkinan, tiba-tiba ekor mata penulis
kemudiannya menangkap suatu `objek' seperti kain berwarna putih di
sebelah kiri tetapi sebaik menoleh, objek itu hilang.
Seketika kemudian, di hadapan mata penulis, kelihatan dengan jelas,
suatu objek kecil seolah-olah kain perca berwarna perang cerah terbang
melintas laju. Teringat pesanan orang tua bahawa hantu memang suka
menakut dan menyesatkan manusia, jadi penulis harus sentiasa berwaspada.
Penulis cuba menenangkan diri dan mula membaca Surah an-Nas secara
berulang sehinggalah kedengaran deruan angin.
Keadaan itu kemudian penulis maklumkan menerusi walkie-talkie sebelum melihat
jam dinding di sisi yang berdetik menunjukkan waktu 2.33 pagi.
"Mengikut kajian, hantu akan mula bergerak aktif antara jam 2.30 pagi
dan 4 pagi. Selamat meneruskan cabaran anda; anda adalah mangsa pertama
dalam ujian ini," walkie talkie berkenaan kemudian bersuara bagi membalas
penjelasan yang diberikan.
Situasi berkenaan adalah sebahagian pengalaman sebenar penulis ketika
mengikuti operasi menjejak hantu yang dianjurkan pasukan penyiasat
paranormal, Seekers di sebuah kawasan terpencil di Tanjung Karang,
Selangor, baru-baru ini.
Seperti juga kebanyakan individu lain, debaran dan diri menjadi seram
sejuk adalah reaksi biasa apabila berada pada tengah malam di lokasi
asing yang jauh dari orang ramai. Ini disebabkan ketakutan berhadapan
dengan `hantu' seolah-olah menjadi fobia di kalangan kebanyakan
masyarakat negara ini.
Pengkaji paranormal tempatan yang juga ketua Seekers, Syed Abdullah
Syed Hussein Al-Attas, berkata dalam kebanyakan kes dakwaan diganggu
hantu, kejadian sebenar adalah individu terbabit menetapkan dalam minda
mereka bahawa gangguan itu benar-benar berlaku.
"Memang benar ada kes diganggu atau diri diresapi hantu tetapi ia
sangat sedikit manakala kebanyakan kes hanyalah mainan minda dan perasaan
individu saja," katanya yang mengkaji mengenai hantu secara serius sejak
dua tahun lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, hantu atau makhluk alam ghaib memang wujud
seperti firman Allah SWT: "Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib,
yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami
anugerah kepada mereka," (al-Baqarah: 3).
Berikutan itu, kata beliau seperti juga manusia, hantu juga adalah
makhluk yang wujud di dunia ini menyebabkan manusia tidak perlu takut
apabila berhadapan dengan mereka.
Misteri makhluk alam ghaib masih terlalu banyak contohnya perihal roh
seperti firman-Nya: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh, katakan
roh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan melainkan sedikit saja," (al-Isra': 85).
"Hantu atau jin juga makhluk ciptaan Allah SWT tetapi kehidupan sosial
mereka adalah misteri sebab itu kami ingin mengkaji kehidupan dan
kemampuan mereka; kita akan terus mengkaji sama ada hantu ada perasaan
marah, benci, suka, sedih atau cinta seperti manusia biasa," katanya.
Sebagai contoh, katanya, ada peralatan elektronik seperti kamera video
atau digital serta alat perakam bunyi yang mampu merakam kegiatan entiti
paranormal itu dan ia adalah satu perkembangan bahawa hantu boleh dirakam.
"Tujuan saya ingin merungkai misteri hantu adalah ingin menyedarkan
masyarakat terutama umat Islam bahawa mereka harus lebih takutkan Allah
SWT daripada takutkan makhluknya seperti hantu," katanya yang memaparkan
hasil kajiannya di http://www.myspace.com/ uncleseekers.
Syed Abdullah berkata, kebanyakan orang mengklasifikasikan hantu
sebagai satu jelmaan tetapi sebenarnya hantu itu terdiri daripada
pelbagai bentuk. Kajian paranormal seluruh dunia selama puluhan tahun
mengkelaskan fizikal hantu kepada beberapa jenis.
KEGIATAN HANTU
Menyesatkan manusia
HANTU dalam kategori ini disifatkan sebagai suka menyesatkan manusia,
membisik, menghasut, mengapi-apikan, menggoda, mengkhayalkan dan menipu
manusia.
Mereka bukan berasal daripada golongan roh sebaliknya lebih dikenali
sebagai syaitan seperti firman Allah SWT: "Dan demikianlah Kami jadikan
bagi setiap Nabi itu musuh daripada syaitan, manusia dan jin,
sesetengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata dusta yang
indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya," (Surah ALAnaam: 112).
Syaitan juga selalu menyamar menjadi makhluk lain dan kebiasaannya,
hantu jenis itu selalu menghadirkan diri di upacara `spirit of the coin'
dan upacara pemujaan syaitan.
Menakutkan manusia
JENIS ini ialah jenis yang suka menakut-nakutkan manusia dengan
pelbagai cara tersendiri. Kadang-kala, ada manusia yang pernah melihat
mereka dalam bentuk sepenuhnya atau sekadar biasan atau imbasan saja.
Ada juga individu yang bercerita mengenai pengalaman terdengar bunyi
seperti tapak kaki, suara, muzik selain bauan pelik manakala segelintir
individu lain mendakwa pernah disentuh atau mengalami perubahan suhu
persekitaran secara tiba-tiba.
Gangguan seperti lampu terpadam dan tertutup dengan sendirinya, barang
bergerak secara tiba-tiba dan bunyian seperti bisikan sebenarnya berlaku
kerana hantu itu memerlukan perhatian daripada yang masih hidup.
Namun begitu ada juga segelintir daripada hantu berkenaan yang sengaja
mengganggu dan menyakat kerana ingin menghalau manusia daripada
mencerobohi atau mengubah objek di kediaman mereka. Keadaan ini mungkin
memudaratkan mangsa.
FAKTA
Hantu dari kaca mata Syed Abdullah
* Hantu akan menjauhkan diri apabila mendengar bunyi yang frekuensinya
melebihi 20 hertz sama ada letupan mercun, jeritan, takbir atau bacaan
ayat suci.
* Bagi kebanyakan kes gangguan yang berasal daripada minda dan
perasaan; petua yang diberikan Syed Abdullah adalah mencurahkan sebaldi
air yang berisi penuh ais dan garam.
* Kecanggihan teknologi komputer membolehkan teknik `super impose'
dilakukan terhadap gambar bagi menjadikannya seolah-olah berjaya merakam
hantu.
Kawasan yang disukai hantu mengikut kajian Syed Abdullah
* Kubur: kawasan perkuburan sunyi, aman dan jauh daripada manusia
terutama kubur lama.
* Hotel: banyak aktiviti negatif yang dilakukan, peristiwa tragis,
tumpuan pelbagai jenis manusia dan reka bentuk dalaman yang mengundang
suasana sepi.
* Sekolah: disebabkan semua tenaga, hormon dan emosi berkumpul
membentuk sesuatu sumber tenaga bercas tinggi terutama sekolah berasrama.
* Masjid: Masjid yang ditinggalkan lebih 60 tahun terdapat bukti
kewujudan seperti orb dan lembaga hitam.
* Lain-lain: Premis kosong terutama yang pernah berlaku peristiwa
tragis, jalan raya yang pernah berlaku kemalangan, jambatan, tempat
bersejarah, medan pertempuran, panggung wayang dan teater.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home