Thursday, November 06, 2008

aquaria klcc

Publication : BM

Edition :

Date : 26/02/2006

Page Number : 07

Headline : Haiwan aneh di Aquaria

Words : 491

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


PERNAHKAH anda melihat seekor katak yang besarnya separuh bola sepak atau
menemui kura-kura sebesar peti sejuk? Bagi penduduk kota, hidupan seperti
itu pasti tidak pernah terfikir apa lagi melihatnya.
Spesies hidupan aneh dan pelik itu kini boleh dilihat di Pusat Pameran
Aquaria, bersebelahan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara.
Selain mempamerkan pelbagai jenis hidupan akuatik, Aquaria turut
mempertontonkan hidupan reptilia, amfibia dan serangga yang hidup di
daratan serta sudah jarang ditemui termasuk di seluruh dunia.
Eksekutif Perhubungan Awam Aquaria, Amanda Chong, berkata dengan
mengunjungi pusat pameran berkenaan, pengunjung dapat menambah
pengetahuan mengenai spesis hidupan laut dan darat yang unik.
Jika sebelum ini hidupan seperti itu hanya dapat dilihat menerusi
dokumentari pada kaca televisyen, pengunjung kini berpeluang melihat
lebih dekat rupa fizikal dan corak hidup haiwan berkenaan di Aquaria yang
dibuka setiap hari.
"Kami juga turut menyediakan maklumat mengenai hidupan akuatik termasuk
asal usul ikan pada zaman purba. Maklumat disampaikan secara persembahan
multimedia selain menerusi papan penerangan.
"Konsep yang diperkenalkan Aquaria adalah 'hidupan akuatik dari
pergunungan hinggalah ke lautan dalam' dan kompleks ini direka untuk
lawatan pengunjung berdasarkan konsep berkenaan," katanya.
Menyusuri kompleks berkenaan, pengunjung akan menemui seksyen hutan
gunung terlebih dulu bagi melihat jenis hidupan akuatik selain amfibia,
reptilia dan serangga yang terdapat di kawasan itu.
Selepas meneliti pelbagai spesies katak, ular, serangga serta ikan dan
belut yang mampu mengeluarkan kejutan elektrik; pengunjung seumpama
menuruni dari kawasan pergunungan ke kawasan tanah pamah selepas bergerak
ke seksyen ikan air tawar pula.
Di sini terdapat balang besar yang menyimpan pelbagai jenis ikan air
tawar selain kolam yang menempatkan kura-kura 'chitra-chitra' yang
dikatakan kura-kura terbesar di dunia dengan panjang maksimum adalah 2.15
meter.
Pengunjung juga secara tidak langsung didedahkan dengan pelbagai
pengetahuan baru dan menarik antaranya kewujudan ikan jerung serta tapak
Sulaiman yang mendiami kawasan air tawar. Pengunjung turut berpeluang
meneliti telur serta ikan jerung yang baru menetas.
Seksyen seterusnya adalah bahagian lautan dan pengunjung akan dibawa
memasuki terowong 'lautan' untuk melihat lebih dekat spesies hidupan laut
antaranya jerung 'Sand Tiger' dan pari terbesar. Aquaria juga turut
menyediakan persembahan memberi jerung makan di dalam senarai aktiviti.
Pengunjung juga dapat melihat sendiri keunikan hidupan laut dikenali
'Nautilus Pompilius' yang dikatakan sukar ditemui walaupun oleh penyelam
profesional berikutan hidupan itu bijak menyembunyikan diri.
Amanda berkata, pada masa akan datang, pihaknya akan turut menyediakan
aktiviti berenang bersama jerung bagi memberi pengalaman baru kepada
pengunjung.
Sejak ditubuhkan pada 20 Ogos tahun lalu, Pusat Aquaria yang bernilai
RM60 juta itu sudah dikunjungi lebih 500,000 pengunjung dengan purata
kira-kira 3,000 pengunjung pada hari biasa.
Pusat itu mengandungi lebih 150 spesies hidupan atau 5,000 haiwan dari
kawasan pergunungan hingga ke lautan dengan kedalaman kira-kira 3,000
meter yang diperoleh dari kawasan perairan dan daratan Afrika Selatan,
Sri Lanka, Indonesia, Taiwan, Brazil selain Malaysia.
FAKTA
BAYARAN MASUK
* RM38 (dewasa)
* RM26 (kanak-kanak 3-12 tahun)
* RM28 (pemegang MyKad)
* RM22 (pemegang MyKid)
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home