Thursday, November 06, 2008

syamirullah

Publication : BM

Edition :

Date : 05/03/2006

Page Number : 10

Headline : EMAS rekaan terbaik Mohd Syamirulah

Words : 717

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KREATIF, berbakat dan cemerlang pada usia muda. Mungkin itulah tanggapan
panel penilai Pertandingan Tunas Saintis Antara Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) 2005 apabila meneliti perisian komputer ciptaan Mohd Syamirulah
Rahim pada pertandingan itu, baru-baru ini.
Ini di sebabkan Mohd Syamirulah ketika itu hanyalah seorang pelajar
tingkatan lima tetapi kemampuannya menghasilkan program komputer yang
agak kompleks mengatasi kebolehan sesetengah pelajar universiti dalam
bidang berkenaan.
Kemahiran inovatif pelajar berusia 17 tahun itu akhirnya diiktiraf
apabila sistem komputer yang direkanya dipilih sebagai rekaan terbaik
bagi kategori pembangunan sistem komputer pada pertandingan itu.
Keputusan itu membolehkan beliau bersama dua lagi rakan sepasukan yang
mewakili MRSM Kulim, Kedah menerima honorarium bernilai RM600 dan sijil
penyertaan daripada penganjur pertandingan, Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Sistem Pentadbiran Pengurusan E-Integrasi (EMAS) ini direka bagi
mempermudahkan pihak pentadbiran sekolah merekodkan segala urusan pelajar
dan persekolahan untuk disimpan dalam satu pangkalan data komputer.
"Selain itu, menerusi EMAS juga, pentadbir sekolah boleh mengawal
penggunaan elektrik antaranya memadamkan lampu di asrama atau kawasan
sekolah dengan menggunakan komputer yang dipasangkan sistem berkenaan.
Fungsi lain adalah sebagai perisian tutorial maya bagi membolehkan
pelajar mengulangkaji pelajaran," katanya.
Mohd Syamirulah berkata, menerusi pertandingan itu, beliau menguruskan
bahagian pembangunan sistem manakala dua lagi rakannya terbabit dalam
tugasan menguruskan dokumentasi dan kajian produk.
Beliau berkata, program komputer yang mengambil masa kira-kira setahun
untuk disiapkan itu dibina menggunakan perisian asas dalam pembangunan
sistem iaitu Visual Basic selain Kit Modeler, Macromedia Flash dan
Firework.
"Menerusi fungsi merekodkan maklumat, perisian ini dapat menggantikan
prosedur merekodkan data secara manual sekali gus menghindarkan masalah
membabitkan ruang simpan yang luas dan keselamatan fail rekod.
"Fungsi kawalan bekalan elektrik pula memudahkan pihak pengurusan untuk
memadamkan peralatan elektrik yang dikenal pasti tidak digunakan atau
digunakan tanpa kebenaran pihak sekolah.
"Ia dapat dilakukan menerusi komputer yang dipasang sistem ini dan
dapat dikawal secara berpusat contohnya dari rumah pengetua asrama atau
bilik guru tanpa perlu bergerak ke kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata, ciri lain pada EMAS adalah ia dibina untuk menyokong
teknologi kad pintar, sama seperti kad 'Touch & Go' bagi membolehkan
rekod pelajar dikesan selain mempermudahkan urusan pembayaran termasuk di
kantin sekolah.
Pelajar kelahiran Pulau Pinang itu mula meminati bidang pembangunan
perisian komputer sejak di tingkatan tiga di sekolah sama selepas melihat
program komputer yang dibina pelajar seniornya.
Mohd Syamirulah berkata, berikutan itu, timbul minat untuk membina
program komputer dan beliau mendalami bidang itu dengan membaca buku
mengenai bahasa pengaturcaraan komputer selain mendapat tunjuk ajar
daripada guru dan mengikuti kursus berkaitan.
"Saya mula didedahkan kepada komputer ketika berusia sembilan tahun
iaitu ketika kali pertama bapa membelikan komputer tetapi ketika itu saya
lebih banyak bermain permainan komputer sehinggalah saya didedahkan
kepada pembangunan sistem oleh pelajar senior.
"Membangunkan sistem komputer sungguh menyeronokkan dan ia memberi
cabaran untuk kita membina program berkenaan supaya mengikut arahan dan
kehendak kita; perasaan pula akan merasa puas selepas program berkenaan
dapat disiapkan dan berfungsi," katanya.
Sejak mendalami bidang itu pada 2003, beliau menyertai Pertandingan
Tunas Saintis MRSM pada setiap tahun tetapi gagal menempatkan sistem
rekaannya pada tiga kedudukan terbaik.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman menyertai pertandingan itu selama
dua tahun, kemahirannya jelas semakin meningkat sehinggalah produk
terbarunya itu berjaya menambat perhatian juri dan diiktiraf sebagai
sistem komputer terbaik keseluruhan.
"Ketika mula menyertai pertandingan itu tiga tahun lalu, saya membina
produk e-learning menggunakan perisian Macromedia Flash dan hanya
mendapat tempat kelima; pada 2004 pula saya membina sistem jadual
penerbangan menggunakan Autoware tetapi tidak memperoleh sebarang hadiah.
"Pada pertandingan terbaru ini yang juga pertandingan Tunas Saintis
MRSM terakhir saya kerana akan menamatkan alam persekolahan, saya membina
sistem EMAS yang menggabungkan pelbagai perisian pembangunan serta
mempelbagaikan fungsi dan saya bersyukur kerana ia dipilih sebagai produk
terbaik," katanya.
Selain membina program komputer untuk pertandingan, remaja itu turut
membina perisian untuk kegunaan sendiri bagi mengasah kemahirannya dan
antara produk yang berjaya disiapkan adalah Pangkalan Data MRSM 2005.
Walaupun berbakat dalam bidang pembangunan perisian komputer, Mohd
Syamirulah menjelaskan bahawa beliau bercita-cita untuk menceburi bidang
perubatan seterusnya menjadi seorang doktor pakar.
"Walaupun saya bercita-cita untuk menjalani hidup sebagai seorang
doktor, kemahiran menggunakan komputer tidak dapat dipinggirkan
sebaliknya menjadi satu nilai tambah kepada kemampuan diri saya.
"Ini kerana pada zaman teknologi maklumat kini, pengetahuan dan
kemahiran mengendalikan komputer bukan lagi satu kehendak individu
sebaliknya menjadi keperluan yang harus dikuasai semua masyarakat,"
katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home