| DINDING surau Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama 4 (SMKBU4), Damansara, Kuala Lumpur; tertera mural berupa ayat suci al-Quran dan hadis yang ditulis dalam seni khat. Mural berkenaan membuatkan pengunjung yang memasuki ruang ibadat itu tidak mampu mengalihkan pandangan mereka daripada menatap hasil seni berkenaan. Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui bahawa insan yang bertanggungjawab menghasilkan mural khat itu adalah Tutor Bahasa Arab di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Hanif Arkurni Abas. Beliau mengakui khat adalah minatnya manakala mural khat adalah tumpuan kemahirannya dan sehingga kini, hasil kerja tangan pemuda berusia 28 tahun itu sudah tertera di hampir 10 sekolah dan surau sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. "Saya hasilkan mural khat kerana diminta pihak tertentu tambahan pula ia adalah antara kaedah untuk melatih kemahiran saya; saya berasa tenang dan seronok ketika menulis khat di dinding," katanya. Kemahirannya dalam bidang khat diasah seawal usia 13 tahun iaitu ketika Mohd Hanif terpaksa menduduki ujian kelayakan khas untuk memasuki Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Lelaki (SMAMML) di Kota Bharu, Kelantan. "Pelajar dari luar Kelantan yang ingin memasuki sekolah berkenaan perlu menduduki ujian kelayakan khas iaitu berkemampuan menulis dalam tulisan jawi dengan baik dan cepat," katanya. Semangatnya untuk menyambung pengajian agama di sekolah itu menyebabkan beliau terpaksa berlatih menulis jawi dengan tekun bagi memastikannya dapat menguasai kemahiran itu dengan baik iaitu menulis jawi dengan cepat dan kemas. Akhirnya selepas menjalani ujian, beliau diumumkan layak memasuki sekolah agama berkenaan seterusnya membuka pintu pembabitannya dengan lebih serius dalam bidang seni itu berikutan terdapat ramai pakar khat di SMAMML. "Di SMAMML, ada ramai pakar khat yang terdiri daripada pelajar senior dan guru. Persekitaran di situ mencambahkan minat saya; di situlah saya temui beberapa mentor saya antaranya Nik Abdurrahman Zaki Nik Abdul Kadir dan Mohd Helmi Ramadhan," katanya. Selain dua tokoh itu, Mohd Hanif turut mempelajari seni khat daripada Ahmad Mustapa, Shaharizal Shapiai dan Falah Lai selain sentiasa meneliti dan meniru khat yang dihasilkan pakar khat lain. "Bagi saya, hasil khat sungguh berseni tambahan pula kita secara tidak langsung akan memperoleh pahala apabila menulis ayat suci al-Quran menggunakan kaedah khat. Lebih mudah untuk kita menghafal ayat Arab jika menjiwai khat," katanya. Mohd Hanif berlatih menulis khat sehingga tiga jam setiap hari bermula selepas jam 10 malam. Beliau menjelaskan bahawa semakin mahir penulis khat, semakin lambat beliau menulis sesuatu perkataan. Beliau berkata, ada banyak jenis tulisan khat antaranya Thuluth, Naskh, Riq'ah, Diwani, Farisi, Diwani Jali, Kuffi dan Ijazah. Khat berjenis Thuluth adalah yang paling sukar ditulis manakala kebanyakan al-Quran ditulis dalam bentuk khat berjenis Naskh. Mohd Hanif lebih gemar menggunakan khat Riq'ah apabila memasuki pertandingan dan sehingga kini, beliau pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Seni Khat Manifestasi Perdana (Amatur) anjuran Muzium Kesenian Islam pada 1999. Berbeza dengan hasil seni lukis lain, kaedah menulis khat agak 'melecehkan' kerana penulis perlu mematuhi beberapa peraturan tertentu bagi memastikan khat yang dihasilkan kemas, berseni dan menarik. Antara syarat berkenaan adalah pen harus digerakkan pada helaian kertas putih dengan perlahan, tenang dan berhati-hati; mata penulis perlu sentiasa memerhatikan gerakan mata pen dan mata pen tidak boleh diangkat daripada kertas sehinggalah selesai menulis sesuatu gabungan huruf. Syarat lain adalah helaian kertas perlu dilapik bagi memastikan ia tidak bergerak apabila terkena mata pen selain kedudukan badan perlu tegak manakala tangan pula perlu rapat di sisi badan. "Sebaik-baiknya khat ditulis menggunakan berus tetapi saya lebih gemar menggunakan pen, kebanyakan pakar menulis khat menggunakan berus kerana ia agak sukar berbanding menggunakan pen," katanya. Suatu perkara yang unik mengenai Mohd Hanif apabila menulis khat adalah beliau boleh menulis menggunakan tangan kanan dan tangan kiri walaupun beliau adalah seorang yang kidal iaitu menggunakan tangan kiri untuk melakukan banyak perkara termasuk menulis. Mengenai harapan pada masa hadapan, selain ingin mengembangkan kemahirannya dengan mengikuti kursus tertentu dan melatih secara berterusan terutamanya dalam bidang mural khat, Mohd Hanif turut ingin menyemai minat khat kepada generasi muda. "Jika kita dapat mengajar seni khat kepada remaja dan kanak-kanak, ia secara tidak langsung dapat mendekatkan mereka dengan Islam kerana mereka akan menulis ayat suci al-Quran," katanya. PROFIL MOHD HANIF AKRURNI ABAS * Lahir: 5 Oktober 1978 * Asal: Segamat, Johor. * Pekerjaan: Tutor Bahasa Arab di Pusat Matrikulasi UIAM. * Anugerah: Tempat kedua dalam Pertandingan Seni Khat Manifestasi Perdana (Amatur) anjuran Muzium Kesenian Islam. * Kemahiran: Mendalami seni khat selama hampir 16 tahun. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home