Thursday, November 06, 2008

baca al-quran melalui internet

Publication : BM

Edition :

Date : 26/02/2006

Page Number : 06

Headline : Cara mudah membaca al-Quran menerusi internet

Words : 636

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


USAHA berdakwah perlu bergerak selaras dengan perkembangan sains dan
teknologi bagi memastikan ia tidak ketinggalan zaman serta diterima
masyarakat.
Menyedari hakikat itu, Yayasan Restu dengan kerjasama syarikat
pengendali internet tempatan, TM Net Sdn Bhd menghasilkan portal web
Program Multimedia Quran versi On-line (QUMP) bagi mempermudahkan
pengguna menghayati ajaran Islam, membaca al-Quran dan beribadat.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu, Ahmad Ikram Hussain Abdul Mutalib,
berkata produk yang dihasilkan pihaknya dan dipaparkan TM Net itu
mengandungi 30 juzuk al-Quran bagi membolehkan ia dibaca menerusi
internet mengikut kesesuaian masa dan keselesaan pengguna.
Tidak seperti perisian internet lain yang terdapat di pasaran, QUMP
dihasilkan supaya bersifat interaktif antaranya memiliki petanda bagi
membolehkan pengguna menanda ayat al-Quran tertentu untuk menamatkan
pembacaan sebelum menyambung semula pada masa akan datang.
QUMP juga memiliki enjin pencarian bagi membolehkan pengguna mencari
surah atau ayat al-Quran tertentu. Ia memiliki lebih 12 paparan muka
laman web yang menarik dan berseni mengikut fungsi perkhidmatan yang
dibekalkan.
Portal itu juga dihasilkan dalam Bahasa Melayu bagi mempermudahkan
pengguna di negara ini memahami topik atau pengetahuan yang cuba
disampaikan.
Selain tumpuan terhadap pembacaan al-Quran, pakej lain yang dibekalkan
laman web itu adalah terjemahan al-Quran dalam Bahasa Melayu; muat turun
surah dari Juzuk Amma; pengetahuan mengenai sejarah kitab suci itu selain
himpunan hadis dan doa.
Menerusi laman web itu juga, pengguna dapat membaca beberapa buku
elektronik selain menonton tayangan dokumentari pendek mengenai keajaiban
al-Quran yang dihasilkan daripada kajian tokoh Islam terkemuka, Harun
Yahya.
Pautan ke 'Pohon Tajwid' memberikan pengajaran kepada pengguna
mengetahui kaedah membaca al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul dan
ia disampaikan secara interaktif bagi mempermudahkan pengguna mengingati
ilmu yang dipelajari.
Portal ini juga bersifat santai apabila pengguna dapat mendengar
nasyid, bermain permainan komputer, menonton persembahan multimedia
selain memuat-turun perisian komputer seperti penentu waktu solat atau
'screen saver' menarik.
Turut disertakan sisipan laman web interaktif untuk kanak-kanak iaitu
'Si Comel' yang mengandungi permainan komputer dan kuiz berkaitan dengan
al-Quran serta pendidikan Islam dan ia dihasilkan bagi mendedahkan
kanak-kanak dengan Islam sejak kecil.
Portal yang terdapat di http://qump.bluehyppo.com itu boleh dilayari
secara percuma selain langganan dengan bayaran RM25 setahun mengikut
jenis perkhidmatan yang diinginkan pengguna.
Ahmad Ikram berkata, hasrat membangunkan laman web interaktif mengenai
al-Quran itu timbul selepas menyedari bahawa ia adalah tanggungjawab
fardu kifayah yang perlu dilaksanakan umat Islam.
"Ini kerana kajian menunjukkan bahawa pada 2010 kelak, 80 peratus
kawasan di dunia ini akan dihubungkan menerusi internet menyebabkan
perlunya umat Islam menyediakan infrastruktur dan bahan mengenai Islam
secara online," katanya pada majlis pelancaran portal itu, di Kuala
Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TM Net,
Michael Lai.
Beliau berkata, portal berkenaan dihasilkan dengan kos kira-kira RM1
juta dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dibangunkan. Pihaknya
mengkaji beberapa laman web terbaik yang turut memiliki konsep sama
sebelum menghasilkannya dalam Bahasa Melayu.
"Memang banyak laman web yang mengetengahkan pengetahuan Islam
dihasilkan sebelum ini tetapi kami mengkaji perkara dan pendekatan baru
yang boleh diterapkan sehinggalah laman web yang membolehkan pengguna
berinteraksi secara interaktif ini dihasilkan.
"Berikutan internet sentiasa berkembang selaras peredaran masa, kami
juga akan sentiasa mengemaskini dan menaik taraf laman web ini dari
semasa ke semasa bagi membolehkan fungsinya lebih baik pada masa akan
datang," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah lama menghasilkan portal interaktif
berkenaan dan peluang diberikan TM Net untuk memaparkan produk itu
menerusi internet membolehkan umat Islam menggunakan perkhidmatan
berkenaan.
Kewujudan laman web berkenaan juga secara tidak langsung membolehkan
pengguna bukan Islam yang ingin mengetahui mengenai agama berkenaan
melayarinya untuk mendapatkan maklumat.
Pihak Yayasan Restu kini sedang dalam usaha menghasilkan portal
berkenaan dalam versi berbahasa Inggeris pula termasuk memuatkan
terjemahan al-Quran berbahasa Inggeris supaya ia dapat disasarkan kepada
pengguna berbilang kaum di peringkat antarabangsa.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home