| PANORAMA tradisi dalam mengusahakan sawah padi seperti menggunakan kerbau untuk membajak tanah bendang selain golongan petani secara berkumpulan menabur benih padi seolah-olah semakin luput ditelan zaman, kini. Ini kerana pelbagai peralatan moden berasaskan teknologi sudah tercipta untuk mempermudahkan selain meningkatkan kualiti serta kuantiti dalam sektor pertanian itu. Pengusaha sawah padi, Umar Salim, 24, berkata dengan adanya bantuan peralatan berteknologi moden dalam bidang berkenaan, mereka tidak lagi perlu membazir banyak masa dan tenaga untuk mengusahakan sawah padi. Katanya, jika dahulu golongan pesawah perlu menghabiskan masa sehari suntuk untuk mengusahakan perusahaan itu, kini masa menjadi lebih fleksibel dan mereka tidak perlu turun ke bendang pada awal pagi dan pulang lewat petang untuk membajak, menabur benih atau mengetam padi. "Pelbagai peralatan moden yang tercipta memudahkan kami mengusahakan penanaman padi. Contohnya jika dahulu golongan petani membajak tanah sawah menggunakan kerbau, sekurang-kurangnya sehari hanya satu petak sawah yang boleh dibajak. "Tetapi kini, dengan menggunakan jentera membajak, dalam sehari sekurang-kurangnya hampir enam petak sawah berukuran 10,000 meter persegi boleh dibajak," katanya. Umar berkata, kebanyakan golongan pesawah di daerahnya di Pokok Sena, Kedah, kini menggunakan teknologi moden dalam mengusahakan perusahaan sawah padi dan beliau percaya tiada lagi pesawah yang menggunakan kaedah tradisi dalam bidang itu masa kini. Beliau berkata, untuk mendapatkan peralatan berteknologi moden dalam bidang itu, harganya agak mahal sedikit tetapi ia berbaloi kerana hasil sawah juga turut meningkat. "Saya fikir dengan pendapatan daripada perusahaan ini, golongan pesawah mampu untuk memiliki peralatan berkenaan dan ia banyak dijual di pasaran di seluruh negara kini," katanya. Katanya, antara peralatan yang digunakannya untuk mengusahakan sawah padi adalah mesin penyembur, jentera membajak, pam penyedut air dan mesin pemotong rumput. "Sebagai contoh, mesin penyembur yang berharga sekitar RM600 ini banyak kegunaannya dan boleh menggantikan banyak tugas yang dahulu dilakukan dengan tenaga manusia. "Kami menggunakan mesin ini untuk menabur benih padi dan baja. Jika dahulu, kami hanya menabur benih dan baja menggunakan tangan dan jarak benih atau baja yang ditabur adalah terhad. "Akan tetapi, dengan menggunakan mesin ini, kawasan taburan benih atau baja semakin luas iaitu sekitar 20 meter malahan kami tidak perlu turun ke dalam sawah untuk menjalankan kerja ini sebaliknya hanya berdiri di batas," katanya. Katanya lagi, jika dahulu golongan pesawah perlu mengali batas sawah untuk membuat saliran supaya kawasan bendang tidak kering kini dengan adanya pam penyedut air, tugas ini menjadi lebih mudah. "Jika dilihat di negara-negara barat, mereka menggunakan kapal terbang mini untuk menabur benih dan baja tetapi kaedah itu masih belum diaplikasikan di negara ini. "Mungkin kerana kosnya agak mahal dan kapal terbang itu jarang dijual di sini tetapi saya rasa, dalam sedekad akan datang, golongan petani dan pesawah di negara ini akan turut menggunakan kaedah itu. "Dengan adanya peralatan moden ini, bidang penanaman padi kini tidak lagi menjadi bidang sekunder sebaliknya semakin ramai usahawan yang memilih mengusahakan sektor ini kerana ianya memberi pulangan yang agak lumayan. "Secara tidak langsung, peralatan berteknologi menyebabkan golongan petani kini digelar petani moden dan jarang antara mereka yang hidup susah seperti dahulu," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home