| RAMADAN, bulan yang penuh dengan keberkatan dan keampunan Allah muncul lagi. Kehadiran bulan kesembilan dalam kalendar Islam ini turut melengkapkan asas keislaman umat Islam menerusi ibadat puasa yang diwajibkan pada bulan ini. Rasulullah bersabda: "Islam itu dibina di atas lima asas iaitu syahadah atau naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah." "Kedua ialah mendirikan solat fardu lima waktu. Ketiga ialah berpuasa sebulan pada bulan Ramadan. Keempat ialah membayar zakat dan kelima ialah menunaikan fardu haji ke Makkah bagi yang berkuasa." Menerusi hadis berkenaan, jelas bahawa ibadat wajib bagi mereka pada bulan berkenaan adalah berpuasa iaitu menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Selain ibadat puasa iaitu antara ibadat wajib dalam Rukun Islam, umat Islam turut digalakkan melakukan ibadat sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berjaga malam untuk beribadah sepanjang bulan berkenaan. Selain ibadat sunat berkenaan, Allah menghadiahkan kepada hamba-Nya ibadat sunat yang hanya boleh dilakukan pada bulan Ramadan iaitu solat sunat Tarawih. Ibadat sunat seperti solat Tarawih ini dilakukan dengan tekun oleh umat Islam dengan harapan mereka akan memperoleh keredaan Allah dan keampunan- Nya seperti firman Allah menerusi surah Faathir, ayat ke-29: "Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan solat dan membelanjakan rezeki yang kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka itulah yang mengharapkan perniagaan yang tidak boleh rugi." Bagaimanapun, harapan mendapatkan pahala dan keredaan Allah menerusi solat Tarawih pada bulan Ramadan dikhuatiri boleh mendatangkan dosa sekiranya umat Islam masih mempercayai sebuah hadis palsu mengenai kelebihan ibadat itu. Masyarakat Islam sebelum ini khususnya di negara kita, menerima satu hadis maudhu (hadis rekaan golongan Syiah) berkenaan solat Tarawih sebagai galakan untuk melakukan ibadat berkenaan. Bagaimanapun, perkara itu semakin berkurangan beberapa tahun kebelakangan ini selepas pendedahan mengenai kesahihan hadis berkenaan disebarkan kepada masyarakat. Akan tetapi terdapat segelintir umat Islam yang tidak peka masih mempercayai hadis maudhu berkenaan dan bersungguh-sungguh melakukan solat sunat Tarawih dengan harapan memperoleh pahala seperti yang diwar-warkan. Tindakan itu jelas boleh mencemar kesucian Islam memandangkan hadis adalah sumber hukum yang disepakati para fuqaha untuk menyelesaikan segala masalah selain pegangan hidup kedua umat Islam selepas al-Quran. Umat Islam yang beriktikad untuk menerima hadis maudhu sebagai pegangan atau galakan dalam beribadah pula dikhuatiri boleh menjurus kepada kufur. Hadis maudhu mengenai kelebihan solat sunat Tarawih ini dikatakan sebuah hadis yang agak panjang dan kononnya diriwayatkan oleh Khalifah ar- Rasyidin keempat iaitu Ali bin Abi Talib. Mengikut hadis rekaan itu, kononnya dengan mengerjakan solat sunat tarawih pada setiap malam dalam bulan Ramadan, umat Islam akan memperoleh pahala besar dan pahala itu adalah berlainan mengikut hari. Antara pahala yang agak keterlaluan kononnya akan diperoleh individu yang mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tarawih mengikut hadis palsu itu adalah: Malam keempat: Memperoleh pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Malam keenam: Memperoleh pahala 70 ribu malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur. Malam ketujuh: Seolah-olah dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s. serta menolong baginda menentang Firaun dan Hamman. Malam kelapan: Memperoleh pahala seperti Nabi Ibrahim a.s. Malam kesembilan: Memperoleh tingkatan ibadah seperti Nabi Muhammad s.a.w. Malam ke-17: Memperoleh pahala sebanyak pahala nabi-nabi. Malam ke-29: Allah mengurniakan pahala 1,000 kali haji yang mabrur. Wujud dan tersebarnya hadis palsu seperti ini akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara dengan begitu baik oleh ulama terdahulu. Rasulullah memberi amaran terhadap orang yang mengadakan pendustaan dengan menggunakan nama baginda sepertimana sabdanya: "Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka." Berdusta dengan menggunakan nama orang biasa sudah dianggap sebagai haram dan fitnah, inikan pula menggunakan nama Rasulullah s.a.w penghulu bagi umat Islam dan kekasih Allah. Antara hadis sebenar yang menggambarkan mengenai kelebihan ibadat dalam bulan Ramadan adalah seperti sabda Rasulullah: "Demi Allah yang jiwaku berada di dalam gengaman-Nya bahawa bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau-bauan kasturi. "Allah azzawajalla berfirman: Sesungguhnya ia meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku dan Akulah yang akan memberi balasannya sendiri." Hadis yang lain bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu." Cukuplah dengan hadis sahih dan janji Allah menerusi al-Quran mengenai kelebihan ibadat dalam bulan Ramadan sebagai galakan untuk umat Islam melakukan ibadat. Janganlah sampai umat Islam melakukan sesuatu ibadat sedangkan dosa besar pula yang diperoleh kerana menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis palsu seperti ini. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home