| KEMUNCULAN cakera padat video (VCD) cetak rompak dan lucah kini dipandang serius dan tindakan berterusan diambil bagi membanterasnya habis-habisan agar Malaysia tidak menjadi `syurga VCD haram'. Kesungguhan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbukti apabila serbuan demi serbuan yang dijalankan di seluruh negeri melumpuhkan 80 peratus kegiatan berkenaan. Dalam operasi membanteras secara besar-besaran bermula 12 Mei hingga 17 Jun lalu, jumlah VCD dan CD haram yang dirampas melonjak kepada 436,465 unit membabitkan kos bernilai RM3.3 juta. Ops Bersepadu membabitkan 843 kes itu berjaya mengurangkan premis pengedaran VCD cetak rompak daripada 2,386 premis sebelum Mei kepada 157 pada minggu pertama Jun. Ketika lanun VCD cetak rompak ligat memikirkan pelbagai taktik bagi meneruskan kegiatan mereka, pihak berkuasa pula tangkas membongkar pelbagai taktik yang digunakan sindiket terbabit. Pelbagai helah sindiket terbabit serba tidak menjadi, antaranya menjadikan lori pengangkut makanan sebagai stor menyimpan VCD cetak rompak. Unit penguatkuasa KPDNHEP dapat menghidu taktik itu lalu menyerbu lori berkenaan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 24 Jun lalu. Taktik pengagihan VCD berkenaan dari pusat bekalan ke negeri lain menggunakan perkhidmatan kurier dan pos laju serta jualan murah VCD secara bergerak dari rumah ke rumah, turut terbongkar dan dapat disekat pihak berkuasa. Ketika operasi membanteras sedang rancak, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendedahkan wujudnya 21 kilang pengeluar cakera optik berlesen yang mendalangi kegiatan VCD cetak rompak selain pembabitan sindiket antarabangsa dalam jenayah terancang ini. Beberapa `orang dalam' yang sepatutnya bertanggungjawab membanteras kegiatan haram ini turut menerima padah selepas mereka didapati bersengkongkol dengan lanun terbabit akibat menerima rasuah. Kesungguhan dan keazaman pihak berkuasa mengatasi kegiatan pengedaran VCD cetak rompak tidak hanya memeningkan kepala lanun cetak rompak, sebaliknya ia turut meresahkan pengguna. Ini kerana pengguna seolah-olah kehilangan sumber hiburan yang diperolehi secara murah dengan terhapusnya VCD cetak rompak. Jika dahulu, filem popular yang masih belum ditayangkan di pawagam sudah boleh didapati VCDnya di tepi jalan dan pasar malam dengan harga kira-kira RM4, kini pengguna terpaksa menunggu lebih dua bulan bagi mendapatkannya dengan harga berlipat ganda. Tanpa VCD cetak rompak, mereka juga perlu keluar rumah dan berbaris panjang di panggung wayang hanya untuk menonton filem terbaru seperti Terminator III Rise of The Machine, Hulk atau Charlie's Angels II. Walaupun kegiatan VCD cetak rompak dianggap sebagai satu jenayah, pembasmian kegiatan itu secara habis-habisan hanya memberi keuntungan dan membela syarikat pengeluar VCD berlesen, yang masih enggan menyahut seruan kerajaan supaya menurunkan harga VCD selain golongan artis yang hanya mampu merayu supaya kerajaan menjaga periuk nasi mereka. Selain masalah VCD cetak rompak, pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih di tahap membimbangkan kerana kesannya jauh lebih teruk daripada menonton VCD cetak rompak. Kesan penyalahgunaan dadah merangkumi pelbagai pihak, bermula daripada peringkat individu, institusi keluarga, masyarakat dan negara. Jika pihak berkuasa menjadikan gejala dadah sebagai sasaran utama seperti pembasmian VCD cetak rompak, sudah pasti masalah itu dapat diatasi. Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menyabitkan hukuman mati mandatori sepatutnya menggerunkan pengedar baru. Ini kerana jumlah individu yang ingin berjinak-jinak dengan pengedaran dadah dipercayai semakin meningkat berikutan pengedar dadah kini dikesan cuba memperdaya golongan remaja bagi menyertai kumpulan mereka. Hal ini didedahkan sendiri Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad, bahawa sindiket terbabit menggunakan kaedah seperti skim piramid bagi mencari ahli baru. Taktik kumpulan berkenaan adalah pengedar dadah akan mengarahkan ahli bawahannya mencari lima ahli baru dan ahli baru itu akan melakukan perkara yang sama bagi mendapat komisen tertentu. Kegiatan berkenaan yang dikesan menular secara tersembunyi sejak April lalu mensasarkan golongan muda lepasan sekolah sebagai mangsa. Seriusnya masalah membabitkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini dapat dilihat daripada statsitik ADK iaitu 31,893 penagih ditahan pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, 17,080 adalah penagih baru dan selebihnya adalah penagih dadah kronik yang pernah ditahan sebelum ini. Turut ditahan pada tahun lalu juga adalah 2,120 penagih dadah berusia di bawah 19 tahun. Selain penagih, seramai 25,906 pesalah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan jumlah itu meningkat 13.64 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kesengsaraan akibat dadah tidak seharusnya dilihat daripada jumlah penagih yang ditahan sahaja. Ini kerana selain penagih, keluarga mereka turut menghadapi tekanan dan penderitaan. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home