Thursday, November 06, 2008

adab bercinta

Publication : HM

Edition : TE

Date : 14/02/2003

Page Number : 10

Headline : Cinta kekasih kerana Allah

Words : 738

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


FEBRUARI, bulan yang sering dikaitkan dengan cinta dan kasih sayang muncul
lagi. Umum mengetahui hari ini (14 Februari) ulang tahun Hari Valentine
yang dianggap detik paling istimewa untuk menyemarakkan ikatan kasih bagi
pasangan yang bercinta.
Sebagai umat Islam, Hari Valentine tidak wajar disambut kerana ia bukan
berasal daripada rentetan sejarah dan budaya agama kita.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna Islam melarang umatnya menghampiri
cinta malahan syumulnya Islam itu tidak pernah meminggirkan perasaan cinta
dalam kehidupan manusia.
Cinta adalah fitrah yang dilahirkan bersama kewujudan manusia ke muka
bumi ini. Ia adalah nikmat kurniaan Allah swt kepada manusia selain ujian
untuk menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan manusia itu sendiri.
Allah mengurniakan nikmat cinta untuk menyelamat, mententeram serta
membahagiakan manusia. Untuk mencapai tujuan itu, maka Allah swt turut
menetapkan hukum cinta supaya kurniaan-Nya itu tidak disalahgunakan.
Selagi hukum cinta ini dipatuhi, ia pasti kekal terpelihara dalam
fitrahnya yang suci tetapi sekiranya peraturan ini dilanggar, cinta akan
berubah menjadi sesuatu yang jijik, kotor dan menyeksakan.
Peraturan pertama cinta ialah perasaan cinta perlu dibina atas dasar
cinta kepada Allah swt. Kita dibenarkan mencintai sesiapa saja tetapi
mestilah mencintainya kerana Allah swt.
Seorang ibu boleh mencintai anaknya, rakyat mencintai pemimpinnya,
isteri mencintai suaminya tetapi perlulah mendahului cinta itu kerana
mengharapkan keredaan Allah swt.
Umum lebih memandang kisah cinta antara manusia seperti Romeo dan
Juliet, Uda yang bersanding dengan Dara di pusara, Cleopatra yang sanggup
membunuh diri kerana Mark Anthony dan Qais yang menjadi gila kerana Laila
daripada mengimbau kecintaan Rabiatul Adawiyah kepada Allah swt.
Allah berfirman dalam surah at-Taubah ayat 24 bermaksud: "Katakanlah
jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu,
harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri
kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai lebih kamu cintai
daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah
sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk
kepada orang yang fasik."
Antara tanda kita mencintai seseorang itu kerana Allah swt ialah kita
sentiasa mendahulukan kehendak Allah swt sebelum memenuhi kehendak
individu yang kita cintai.
Dalam kenikmatan mencintai individu terbabit, kita turut merindui untuk
bermunajat dan qiamulail kepada Allah swt, sentiasa solat di awal waktu
dan bersedia menghadapi kematian untuk bertemu dengan-Nya.
Lidah sentiasa dipenuhi kalimah Allah swt, sanggup berjuang
mempertahankan hak-Nya dan sentiasa berasa nikmat dalam mentaati segala
suruhan-Nya.
Al-Quran banyak menerangkan contoh individu yang dicintai Allah swt,
antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 195, Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."
Dalam surah yang sama, Allah berfirman menerusi ayat 222 bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang
yang membersihkan diri."
Selain itu, antara sikap manusia yang dicintai Allah seperti yang
tercatat dalam al-Quran ialah bertaqwa (Ali Imran: 76), sabar (Ali Imran:
146), sentiasa bertawakal (Ali Imran: 159) dan adil (al-Maidah: 45).
Syarat kedua ialah cinta itu harus berlandaskan kepada syariat dan
ajaran Islam. Jangan kerana leka dalam cinta terlarang, kita sanggup
mengabaikan hak Allah sehingga mengundang kemurkaan-Nya.
Dalam konteks percintaan, seharusnya keimanan terhadap Allah mendahului
segala keinginan duniawi. Cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak
dan keperibadian Islam tanpa sebarang kepentingan dan keinginan nafsu.
Apabila wujudnya perasaan cinta antara dua manusia, syaitan akan turut
memasang perangkap untuk memastikan cinta itu sebahagian pintu kehancuran
dan kesesatan umat manusia.
Perasaan cinta yang tidak mematuhi syariat Islam lazimnya terdedah
kepada risiko dan bahaya zina, sama ada zina secara lisan atau perbuatan,
disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan nafsu dan syaitan.
Sepasang kekasih pasti memerlukan masa untuk bersama tanpa menyedari
tindakan mereka itu sudah dalam perancangan syaitan seperti mana sabda
Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sekiranya seorang lelaki dan wanita yang
bukan mahram itu berdua-duaan, nescaya yang ketiga adalah syaitan."
Jika tidak dapat menggoda lelaki dan wanita itu melakukan kemaksiatan
ketika bersama, syaitan akan berusaha supaya mereka tidak akan khusyuk
dalam beribadat kerana terlalu mengingati pasangan mereka.
Lebih membimbangkan apabila individu terbabit lebih mengasihi dan
mendambakan kasih temannya melebihi Allah swt sehingga menjadikannya
syirik, kufur dan murtad.
Oleh itu, untuk mengelak masalah ini berlaku, wajarlah pasangan itu
berkahwin kerana dengan wasilah ini, keharmonian dan kesucian cinta dapat
terpelihara dan diselamatkan.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah
separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakan."
Apabila kedua syarat ini dilanggar, maka cinta tidak lagi murni dan
berkekalan. Cinta yang asalnya suci kini diibaratkan pepohon mawar berduri
yang harum bau dan indah dipandang tetapi durinya akan memudaratkan kita.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home