Thursday, November 06, 2008

adab bergurau

Publication : HM

Edition : TE

Date : 02/04/2003

Page Number : 10

Headline : Adab bergurau dalam Islam

Words : 743

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


SETIAP kali muncul 1 April terdapat segelintir individu, khususnya remaja,
melakukan pelbagai gurauan untuk mempersendakan rakan terdekat pada hari
yang dikenali sebagai April Fool.
Saban tahun, April Fool memang dinantikan oleh sesetengah pihak, malah
boleh dikatakan sudah menjadi budaya mereka membuat gurauan hingga
kadangkala mengaibkan pihak lain.
Mencari sejarah wujudnya April Fool samalah seperti mengesahkan
kewujudan Hang Tuah. Ini kerana tiada bukti hitam putih tertera dalam buku
sejarah mengenai kewujudan hari berkenaan.
Bagaimanapun, hari berkenaan bukan berasal daripada rentetan sejarah dan
budaya agama kita.
Malah, terdapat pendapat mengatakan April Fool wujud bagi mengenangkan
peristiwa tentera Kristian memperbodoh serta menjalankan pembunuhan
beramai-ramai terhadap umat Islam di Granada, Sepanyol.
Menurut cerita, peristiwa itu berlaku pada 1 April, ketika umat Islam
yang ingin meninggalkan Granada diarah menaiki kapal yang disediakan
tentera Kristian.
Ketika umat Islam beramai-ramai dalam perjalanan ke kapal itu, tentera
Kristian bertindak membakar rumah serta kapal berkenaan sebelum membunuh
semua umat Islam.
Kini, selepas beratus tahun persitiwa itu berlalu, pelbagai pihak
termasuk individu Islam turut mempersenda atau bergurau secara melampau
pada hari berkenaan.
Daripada aspek psikologi, bergurau dapat menenangkan jiwa dan
mengelakkan tekanan dalam menjalani kehidupan seharian selain menjadikan
hidup kita lebih bermakna.
Islam tidak melarang kita melakukan sesuatu yang mubah (melakukan
sesuatu yang tidak mendatangkan pahala atau dosa) seperti bergurau jika
aktiviti itu dapat memberikan kemaslahatan kepada umatnya malah ia amat
digalakkan.
Akan tetapi, perlakuan mubah itu menjadi haram jika dilakukan dengan
niat yang tidak baik selain melalaikan kita daripada mengingati Allah
s.w.t sehingga terlampau taksub dengan dunia.
Firman Allah s.w.t: "Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanya permainan,
senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu serta berbangga dalam
harta kekayaan dan anak pinak, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan
petani, kemudian tanaman itu kering dan kamu lihat warnanya kuning
kemudian menjadi hancur.
"Dan di akhirat (nanti) ada azab yang lebih keras dan keampunan dari
Allah serta keredaan-Nya. Dan dunia ini hanyalah kesenangan yang menipu,"
(Surah al-Hadiid, ayat ke 20).
Imam al-Ghazali menggariskan beberapa adab bergurau, antaranya tidak
berbohong, tidak menyakitkan hati seseorang dan tidak berlebih-lebihan
ketika bergurau.
Menurutnya, jika melampaui adab ini, gurauan itu boleh menyebabkan
hilangnya perasaan hormat-menghormati sesama individu seterusnya
mengakibatkan tercetusnya perbalahan.
Manakala, Khalifah Ar-Rasyidin kedua, Umar Al-Khattab berkata: "Sesiapa
yang suka bergurau dengan kerap, nescaya orang akan memandang ringan
terhadapnya."
Dalam mengamalkan adab bergurau senda, model terbaik dapat kita ikuti
datang daripada penghulu kita iaitu Rasulullah s.a.w sebagaimana sabdanya:
"Aku juga turut bergurau senda tetapi aku tiada mengatakan sesuatu
melainkan yang benar belaka."
Hadis itu menerangkan tata cara Rasulullah s.a.w ketika bergurau iaitu
tidak berbohong dan membelakangkan syariat agama sehingga menyebabkan ia
terpesong daripada ajaran Islam.
Antara kisah yang menerangkan mengenai gurauan Rasulullah kepada sahabat
ialah apabila datang seorang wanita tua bertanyakan mengenai suatu
kemusykilan kepada baginda.
Lalu wanita tua itu bertanya: "Adakah wanita tua seperti aku ini dapat
memasuki syurga?" Maka Rasulullah s.a.w menjawab bahawa tiada perempuan
tua akan memasuki syurga. Jawapan itu menyebabkan wanita berkenaan
menangis.
Melihat keadaan itu, Rasulullah s.a.w lantas berkata: "Semua penghuni
syurga akan kekal muda dan tiada seorang pun menjadi tua." Baginda
kemudian membacakan ayat al-Quran:
"Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka
kami tukarkan mereka itu menjadi gadis-gadis perawan." (Ayat 35 dan 36,
surah al-Waqiah)
Selain Rasulullah s.a.w terdapat sahabat yang suka bergurau dengan
baginda, antaranya Nu'aiman al-Ansari yang mana setiap kali datang ke
Madinah, beliau pasti membeli suatu hadiah kepada baginda.
Pada suatu hari, Nu'aiman datang berjumpa Rasulullah s.a.w dengan
membawa suatu barangan lalu berkata: "Wahai Rasulullah, saya sudah membeli
ini dan saya hadiahkan untukmu."
Seketika kemudian, Nu'aiman datang kembali bersama pemilik barang
berkenaan lalu berkata kepada baginda: "Wahai Rasulullah, bayarkanlah
harga barang tadi."
Baginda yang kehairanan lantas bertanya: "Bukankah barang itu engkau
hadiahkan untuk aku?" Nu'aiman menjawab: "Benar wahai Rasulullah, tetapi
saya tidak punya harganya dan saya suka tuan memakannya."
Mendengar penerangan itu, Rasulullah s.a.w ketawa dan segera baginda
membayar harga barang berkenaan.
Dalam suatu peristiwa lain, Rasulullah bertanya kepada Suhaib yang
sedang makan buah kurma sedangkan ketika itu beliau dijangkiti sejenis
penyakit mata.
Baginda bertanya: "Boleh makan kurma juga, bukankah matamu sakit?"
Suhaib menjawab: "Saya makan dengan sebelah mata saja wahai Rasulullah."
Mendengar jawapan itu baginda tersenyum.
Begitulah antara gurauan Rasulullah s.a.w serta sahabat yang jelas tidak
melanggar syariat Islam dan wajarlah sunnah baginda menjadi ikutan semua
umat Islam dalam mengamalkan gurau senda.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home