| HOBI, bakat dan minat yang digembleng dapat memberi keuntungan sekiranya seseorang bijak memanfaatkannya. Menyedari hakikat itu, Hasnoddin Mat Isa, 33, tidak mensia-siakan bakat melukisnya dengan menjadikan kemahirannya sebagai sumber pendapatan. Berbekal bakat sejak kecil itu, beliau kini mengusahakan perniagaan membuat kain rentang serta poster iklan mulai 2002. Menerusi syarikat yang diusahakannya, Has'Art di Seberang Takir, Kuala Terengganu, Hasnoddin menerima banyak tempahan kain rentang dan poster daripada pelbagai pihak yang ingin mengadakan program atau pertandingan di bandar berkenaan. "Melukis kain rentang dan poster secara tak langsung memberi kepuasan kepada minat saya terhadap seni lukis selain sebagai sumber pendapatan," katanya. Katanya, bagi menghasilkan tempahan poster dan kain rentang terbaik, beliau menggunakan bantuan komputer untuk `menterjemahkan' idea yang tercetus dalam pemikirannya. Selepas berpuas hati dengan sampel yang dihasilkan dan diterima pelanggannya, barulah Hasnoddin memulakan aktiviti melukis pada kain atau kertas lukisan. Kebiasaannya, beliau mengambil masa sehari bagi menyiapkan satu kain rentang berikutan kerja berkenaan dilakukannya seorang diri. Sebelum membuka perniagaan berkenaan, Hasnoddin pernah bekerja sebagai pelukis iklan di sebuah syarikat pengiklanan di Kuala Terengganu. Bagaimanapun, katanya, minat untuk bekerja sendiri menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan mengusahakan perniagaan sendiri. Katanya, selain menyiapkan tempahan kain rentang dan poster iklan, beliau melukis potret serta pemandangan tempat menarik sekitar Terengganu pada masa lapang. "Biasanya melukis potret dan permandangan ini dilakukan secara suka-suka kerana pasaran bagi lukisan seperti ini tidak begitu memberangsangkan di Terengganu. "Saya pernah meletakkan lukisan saya di kedai lukisan di Lapangan Terbang Kuala Terengganu untuk dijual, tapi ia tidak mendapat sambutan. "Pada pendapat saya, tak ramai penduduk di negara kita berminat untuk membeli atau mengumpul lukisan sebagai koleksi terutama mereka daripada golongan pertengahan. "Bagaimanapun, saya sedia melukis potret atau permandangan sekiranya ada tempahan," katanya. Hasnoddin berkata, keadaan itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus bergiat dalam bidang berkenaan kerana baginya, melukis untuk sumber pendapatan adalah perkara kedua, manakala minat adalah dorongan utama. Berkat kesungguhannya mengusahakan perniagaan berkenaan, beliau memiliki beberapa pelanggan tetap termasuk The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) cawangan Kuala Terengganu. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home