| SELEPAS manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s diciptakan, Allah memperlihatkan kepada baginda dosa atau sifat tercela pertama yang dimurkai-Nya iaitu perlakuan takbur dan bangga diri. Sifat itu ditunjukkan iblis apabila ia enggan menurut perintah Allah supaya sujud kepada Adam dan peristiwa ini dinyatakan dalam al-Quran menerusi surah Al-A'raaf, ayat 12 dan 13. "Allah berfirman: Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu? Menjawab iblis: Saya lebih baik daripadanya, Engkau menciptakan saya daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah." "Allah berfirman: Turunlah engkau dari syurga kerana kamu tidak sepatutnya menyombong diri, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina." Sikap takbur atau sombong yang berasal daripada iblis ini adalah antara penyakit batin yang menjangkiti manusia secara tersembunyi sehingga mencetuskan kemurkaan Allah. Tidak seperti dosa nyata seperti membunuh atau minum arak, sifat takbur amat sukar dikesan kerana ia tersembunyi dalam diri individu termasuk golongan yang kelihatan warak dan alim. Sikap tercela ini menyebabkan individu terbabit menganggap dirinya lebih sempurna atau mulia berbanding orang lain manakala orang lain adalah hina dan kecil daripada pandangannya. Manusia biasa yang daif, lemah dan tidak berkuasa tidak sepatutnya memiliki sifat ini kerana ia adalah sifat Allah semata-mata dan manusia tidak dapat memiliki atau melakukan sesuatu melainkan dengan pertolongan- Nya. Rasulullah bersabda menerusi sebuah hadis qudsi: "Berfirman Allah s.w.t: Sifat kesombongan itu kain selendang-Ku dan sifat kebesaran itu kain sarung-Ku. Maka barang siapa merampas daripada-Ku salah satu daripada keduanya, nescaya Aku lemparkan dia ke dalam Neraka Jahaman dan tidak Aku pedulikan lagi." Menerusi surah Al-Mu'min pula, Allah berfirman menerusi ayat 60: "Sesungguhnya orang yang menyombong diri daripada menyembah Aku, mereka akan masuk neraka jahaman dengan menderita penuh kehinaan." Ulama terkemuka Imam Al-Ghazali menjelaskan terdapat tujuh perkara yang menyebabkan manusia itu memiliki sikap takbur dan ia terbahagi kepada dua bidang iaitu bidang agama dan bidang dunia. Menurut beliau, menerusi bidang agama, manusia akan berasa takbur menerusi ilmu dan amal ibadah yang dilakukan manakala dalam bidang dunia pula, ia akan berbangga dengan paras rupa, harta, keturunan, kekuatan dan pengaruhnya. Seseorang yang memiliki ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama atau ilmu keduniaan selain golongan yang kuat beribadah turut tidak terlepas daripada diresapi penyakit takbur. Antara sikap golongan ini kebiasaannya mereka tidak akan menerima pandangan orang lain kerana menganggap orang lain bodoh dan mereka lebih mengetahui daripada orang berkenaan. Mereka suka sekiranya ilmu pengetahuan dan amal ibadah yang dilakukan disebut-sebut dan mereka diberikan perhatian atau layanan istimewa oleh masyarakat. Mereka juga biasanya menganggap darjat mereka lebih tinggi di sisi Allah dan mereka akan terselamat di akhirat kelak berbanding orang lain berdasarkan amal ibadah dan ilmu yang mereka miliki. Allah banyak memberi amaran terhadap golongan seperti ini antaranya dalam surah An-Najm, ayat 32 yang berbunyi: "Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui orang yang bertakwa." Selain ilmu dan amal ibadah, seseorang yang tidak bersyukur terhadap harta, keturunan, paras rupa, kekuatan dan pengaruh yang dikurniakan Allah terhadap mereka akan menyebabkan diri mereka dikuasai sikap takbur dan bangga diri. Ini kerana mereka mungkin tidak menyedari segala nikmat berkenaan tidak kekal. Mereka juga lupa bahawa nikmat itu semua adalah milik Allah dan Dia berhak mengambilnya kembali. Allah juga tidak mengurniakan kelebihan kepada mereka sebagai nikmat tetapi ia juga adalah ujian bagi memastikan sama ada manusia itu akan bersyukur atau kufur seperti firman-Nya: "Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah Al-Munaafiquun, ayat 9). Sekiranya golongan ini tidak berhati-hati, akan wujudlah takbur melebihi syukur dalam diri mereka malahan mereka akan menganggap segala nikmat itu adalah hak milik mereka yang kekal. Islam mencela sifat takbur kerana akan menjadi tabir pemisah antara individu berkenaan dengan syurga kerana Allah sudah menjanjikan bahawa hamba-Nya yang memiliki pekerti mulia sahaja yang layak menjadi penghuni syurga. Berbanding sifat takbur, Islam menekankan umatnya supaya mengamalkan sikap merendah diri atau tawaduk dan diibaratkan akhlak mulia itu sebagai satu daripada kunci pintu syurga. Dengan mengamalkan sikap merendah diri, individu terbabit tidak hanya akan dicintai Allah, malah dia juga akan dipandang mulia dan disukai masyarakat. Allah sudah berjanji individu yang tidak takbur sebaliknya bersifat merendah diri akan diangkat darjatnya ke tahap yang lebih tinggi di sisi- Nya seperti sabda Rasulullah: "Tidaklah seseorang yang bersedia memaafkan orang lain melainkan Allah akan menambahkannya dengan kemuliaan. Dan tidaklah seorang itu merendah diri kerana Allah melainkan Allah mengangkatnya ke darjat yang lebih tinggi." (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home