| HANYA jauhari mengenal manikam. Begitulah antara bidalan yang sesuai untuk menggambarkan ketrampilan pengusaha ternakan tiram. Ini kerana kebanyakan pengusaha tiram terutama di Kampung Pantai Merchang, Marang, terdiri daripada nelayan dan jarang disertai golongan yang alah dengan disiplin lautan. Perusahaan ini diibaratkan sebagai warisan kepada nelayan di kampung itu kerana tradisi menternak tiram sudah diusahakan dari zaman ke zaman, daripada satu generasi ke generasi lain sehingga kini. Seperti mana hanya jauhari mengenal manikam, maka nelayan sahaja yang mengetahui bahawa penternakan tiram adalah perusahaan paling mudah untuk dilaksanakan. Malahan, perusahaan ini tidak memerlukan belanja besar, tidak rumit seperti perusahaan lain dan tidak memerlukan komitmen serta tumpuan sepenuh masa. Faktor berkenaan juga menyebabkan ramai golongan nelayan di kampung itu mengambil inisiatif menternak tiram sebagai satu cara mendapatkan pendapatan sampingan. Seorang pengusaha tiram di kampung itu, Zahainali Mat Amin, 42, berkata 46 pengusaha ternakan tiram bergiat di persisiran pantai di kampung itu dan kebanyakan mereka adalah nelayan. Mereka mengagihkan kawasan penternakan itu secara muafakat. Beliau yang seronok mengusahakan penternakan tiram mula mengusahakan nya 10 tahun lalu dengan inisiatif sendiri selepas yakin ia boleh mendatangkan keuntungan. "Modal asal saya ketika membuka kawasan penternakan tiram ini cuma kira- kira RM400 dan kos itu hanya untuk membeli tayar terpakai, tali serta pelampung," katanya. Beliau berkata, sehingga kini, beliau belum pernah mengalami kerugian teruk, malah sudah membuka satu lagi kawasan penternakan tiram selepas mendapati perusahaannya bertambah maju, tiga tahun lalu. "Tiada sebarang masalah besar dalam mengusahakan penternakan tiram kerana hanya perlu membiarkan tayar terpakai serta pelampung ditenggelamkan ke dalam laut. "Tayar dan pelampung itu akan dibiarkan selama dua hingga tiga bulan dan tiram dengan sendirinya akan melekat pada peralatan berkenaan. Semakin lama dibiarkan, semakin banyak tiram yang akan melekat," katanya. Zahainali yang juga seorang nelayan berkata, proses semudah itu disebabkan kawasan kuala Pantai Merchang sememangnya dipenuhi benih tiram sejak dahulu lagi. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home