| KATA orang, berbudi pada tanah banyak faedahnya. Bidalan berkenaan secara tidak langsung menggambarkan bagaimana penduduk zaman dulu berusaha menentukan mata pencarian mereka. Dulu, kebanyakan penduduk memilih untuk tidak membazirkan tanah lapang di sekeliling mereka. Setiap tanah lapang akan diusahakan dengan pelbagai tanaman sehingga memberikan hasil kepada mereka. Bagaimanapun, dengan perkembangan sains dan teknologi pada masa kini, satu alternatif baru wujud sekiranya golongan petani ingin mengusahakan tanaman tanpa `berbudi kepada tanah'. Bagi Ismail Yusuf, 55, dia memilih untuk mencuba kaedah hidroponik yang kini semakin jarang diusahakan walaupun suatu ketika dulu mendapat perhatian ramai. Katanya, dia memulakan usahanya itu atas cadangan seorang rakan supaya kembali mengusahakan tanaman berkenaan di ruang hidroponik yang sudah ditinggalkan di Kampung Alur Tuman, Marang. "Kawasan ini dulu diusahakan penanaman sayur hidroponik tetapi disebabkan pemilik kawasan ini sibuk, perusahaan itu diberhentikan dan dibiarkan begitu saja. "Atas cadangan seorang rakan, saya menyewa kawasan seluas kira-kira 26 meter panjang dan 13 meter lebar ini dengan harga RM300 untuk kembali mengusahakan tanaman hidroponik," katanya yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu. Katanya, dia yang memulakan usahanya, akhir Januari lalu kini berpuas hati dengan kadar tumbesaran tanaman `salad ponik' yang diusahakannya dan sehingga kini, belum ada masalah besar yang timbul. "Untuk permulaan, saya menanam sejenis salad yang dikenali sebagai `salad ponik' dan dalam kawasan seluas ini, sebanyak 300 pokok boleh dimuatkan," katanya. Dia berkata, menerusi proses penanaman hidroponik yang ringkas dan mudah diusahakan itu, sayur-sayuran kebiasaannya boleh dimakan dan dijual selepas tempoh 40 hari. "Sekiranya tanaman hidroponik ini menjadi, saya akan menjualkannya kepada pemborong sekitar bandar ini atau kepada orang perseorangan dengan harga RM3 hingga RM3.50 sekilo," katanya. Katanya, perusahaan tanaman hidroponik tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai kerana ia tidak memerlukan kerahan kudrat yang banyak seperti mengusahakan tanaman pada tanah. Sehingga kini, dia berseorangan mengerjakan perusahaan itu. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home