| UBAT tradisional yang diwarisi sejak 80 tahun lalu mengubah seorang wanita berusia emas daripada menjadi suri rumah sepenuh masa kepada usahawan yang akan meneruskan tradisi penggunaan minyak urut sebagai alternatif menyembuh dan melegakan penyakit. Segala-galanya bermula pada November 2004 apabila Wan Sri Zaitun, 60, membantu suaminya, Abdul Majid Hasan, 65, mengusahakan kilang perusahaan minyak urut yang diwarisi daripada datuk suaminya itu secara kecil-kecilan. "Suami saya adalah cucu kepada Ali Idris iaitu antara tabib terkenal di Terengganu suatu masa dulu kerana beliau mahir mengubat penyakit dengan cara merasa nadi pesakit selain pakar membuat minyak urut. "Minyak urut yang dibuat datuk suami saya itu sudah dipasarkan di negeri ini lebih 80 tahun dan digunakan pelbagai lapisan masyarakat dan ia lebih dikenali sebagai 'Minyak Pak Ali' di kalangan penduduk setempat," kata Pengarah Urusan syarikat Koleksi Idaman Wanita itu. Sebagai waris ketiga kepada Minyak Pak Ali, suaminya itu tidak membenarkan orang lain mengusahakan minyak berkenaan sebaliknya memproses sendiri bagi mengawal mutu ubat tradisional itu. "Saya hanya membantu suami dari aspek perniagaan; selain mengusahakan Minyak Pak Ali, saya turut mempelajari kaedah membuat minyak urut daripada seorang bidan terkenal dari Rhu Muda, Seberang Marang, Terengganu," katanya. Walaupun berusia kurang dua tahun, perusahaan Koleksi Idaman Wanita sudah memperoleh taraf Perusahaan Produk Bermutu (GMP) oleh kerajaan pada September tahun lalu dan hingga kini, lima produk dihasilkan iaitu Minyak Kembar, Minyak Ramuan Dhab, Minyak Akar Kayu (Minyak Pak Ali), Minyak Warisan Pak Ali dan Minyak Pak Ali. Pasaran produk Koleksi Idaman Wanita kini tidak lagi bertumpu di sekitar Terengganu sebaliknya sudah dipasarkan di Johor dan Pahang selain ada pelancong asing dari Mesir, Australia, Filipina dan Dubai yang membeli produk itu dalam kuantiti banyak untuk dibawa pulang. Sebagai wanita Melayu tempatan pertama yang mengusahakan kilang sehingga memperoleh taraf GMP, Wan Sri menjelaskan ia bukanlah suatu usaha yang mudah sebaliknya beliau dan suami menghadapi pelbagai kesukaran pada peringkat awal. "Saya terpaksa berusaha keras bagi memastikan ubat yang kami hasilkan mendapat pengiktirafan daripada Biro Farmasaeutikal, Kementerian Kesihatan dan dalam ikhtiar itulah kami dinasihatkan supaya menubuhkan kilang. "Peringkat awal memang sukar kerana menghadapi masalah kewangan dan tenaga kerja tetapi hasil dorongan kaum keluarga dan rakan, kini produk kami semakin maju dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan," katanya. Bagaimanapun, sebagai pengusaha baru, Wan Sri mengakui masih banyak pengetahuan mengenai bidang perniagaan yang perlu dipelajarinya dan beliau kini berusaha mengikuti kursus perniagaan daripada pelbagai pihak. Wan Sri berharap perusahaannya itu dapat dimajukan hingga ke pasaran antarabangsa. Wan Sri berkata, pembabitannya dalam perniagaan pada usia emas itu diharap mampu memberi cabaran dan motivasi kepada golongan muda untuk terus berjaya. "Dalam usia muda, terlalu banyak ruang dan peluang untuk mereka maju terutamanya dalam bidang perniagaan," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home