Thursday, November 06, 2008

digi di terengganu

Publication : BM

Edition :

Date : 29/01/2006

Page Number : 18

Headline : Tradisi rewang pupuk silaturahim di kalangan masyarakat

Words : 362

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


PERJALANAN masa tidak menoleh ke belakang, tapi secara tidak langsung
sebahagian masyarakat negara ini sedikit demi sedikit seperti melupakan
amalan tradisi bantu membantu yang dapat memupuk silaturahim.
Apa yang jelas, sudah semakin jarang dilihat majlis kenduri kahwin
terutama di bandar diadakan secara rewang (bergotong-royong) malah di
kampung sekalipun, tidak ramai lagi penduduk yang memeriahkan rumah
pengantin untuk menyiapkan hidangan. Banyak yang lebih selesa mendapatkan
perkhidmatan katering.
Di sebalik 'kehilangan' beberapa amalan tradisi masyarakat negara ini,
ibadat korban yang dilaksanakan pada bulan Zulhijjah baru-baru ini masih
terus menjadi amalan masyarakat Islam di seluruh negara, sekali gus
mempertahankan tradisi ini daripada terus lenyap akibat globalisasi.
Di sebalik budaya tradisi seperti bergotong-royong, generasi terdahulu
sebenarnya merencanakan formula perpaduan di kalangan masyarakat bagi
memastikan kehidupan mereka aman dan harmoni.
Sehubungan itu, usaha mengekalkan tradisi seperti itu wajar diteruskan
pelbagai pihak termasuk melalui tanggungjawab sosial sektor korporat
(CSR) kerana tanpa usaha telus, generasi akan datang hanya mampu
membayangkan keadaan tradisi yang sudah kehilangan.
Di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu, Terengganu, misalnya
sambutan terhadap amalan gotong-royong sungguh meriah malah kehadiran
kira-kira 4,000 orang, membuktikan masyarakat setempat masih menghargai
perpaduan serta bantu-membantu dan meminggirkan sikap pentingkan diri.
Sebanyak 15 lembu yang disumbangkan syarikat telekomunikasi, Digi
Telecomunications Sdn Bhd (Digi) dikorbankan dan penduduk sama ada lelaki
atau wanita; tua dan muda masing-masing menghulurkan bantuan. Turut hadir
Ketua Pegawai Teknologi Digi, Johan Abdullah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu
Lima, Zainon Che Mat Zain, berkata walaupun amalan tradisi lain semakin
pupus, ibadat korban masih dijalankan setiap tahun dan suasananya masih
meriah.
Imam Masjid Tengku Tengah Zaharah, Che Ku Alias Che Ku Ali, berkata
program seperti itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama
penduduk Islam umumnya dan mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang
kaum di negara ini khususnya.
Beliau berkata, selain penduduk, sektor swasta juga mampu menyumbang
peranan dalam aktiviti kemasyarakatan seperti itu dan usaha mereka itu
mampu menghidupkan kembali amalan tradisi yang semakin pupus.
Setiausaha masjid berkenaan, Wan Kamal Wan Ismail, berkata ibadat itu
bukan saja mengeratkan perpaduan di kalangan penduduk tetapi membantu
penduduk kurang bernasib baik menerusi agihan daging yang disedekahkan.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home