Thursday, November 06, 2008

news balik raya

Publication : BM

Edition :

Date : 29/01/2006

Page Number : 01

Headline : 1 juta warga kota balik kampung

Words : 760

Byline : Oleh Hafizah Iszahanid; Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Semua laluan keluar dari ibu kota semalam mengalami
kesesakan teruk apabila lebih sejuta warga kota pulang ke kampung halaman
masing-masing secara berperingkat berikutan cuti panjang sempena sambutan
Tahun Baru Cina, Maal Hijrah dan Hari Wilayah Persekutuan.
Malah sejak kelmarin, warga kota beransur meninggalkan ibu negara yang
menyaksikan Lebuhraya Utara Selatan menghala ke dua-dua arah mengalami
kesesakan di semua laluan sejak jam sembilan malam.
Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya juga sesak apabila
orang ramai mengambil kesempatan berehat seketika sebelum meneruskan
perjalanan.
Tinjauan Berita Minggu di Tol Sungai Besi arah ke selatan, semalam
mendapati sejak awal pagi, kenderaan bersesak-sesak di jalan raya tetapi
masih bergerak lancar. Menjelang tengahari jumlah kenderaan semakin
bertambah. Ini menyebabkan berlakunya kesesakan dari Kuala Lumpur hingga
ke Plaza Tol Senawang.
Tetapi, menjelang petang, kesesakan begitu dirasakan di semua laluan
menyebabkan pengguna mengeluh panjang. Perkara yang sama juga dijangka
berterusan apabila orang ramai memilih hari ini untuk pulang.
Keadaan yang sama dilaporkan di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol
Sungai Buloh menghala ke utara dengan Plaza Tol Sungai Buloh mengalami
kesesakan yang teruk sejak awal pagi yang menyebabkan kesesakan hingga ke
Plaza Tol Ipoh Selatan. Begitu juga Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)
yang turut mengalami kesesakan sejak pagi.
Daripada pemerhatian, walaupun Plus membuka 16 kaunter tol tambahan di
Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Sungai Buloh, kebanyakan pemandu
menggunakan sistem bayaran tunai yang menyebabkan kesesakan di lorong
berkenaan, sementara lorong Touch & Go juga Smart Tag didapati tidak
begitu sesak.
Bagi perjalanan menggunakan bas ekspres, Pengurus Operasi Eltabina
Ekspress, Salehan Mohd Basir, berkata pihaknya terpaksa menambah tiga bas
tambahan selain menggunakan 24 bas ekspres Eltabina bagi membolehkan
warga kota pulang bercuti. Lebih 500 penumpang menggunakan perkhidmatan
bas Eltabina untuk pulang bercuti pada setiap hari.
"Lebih 20 perjalanan dilakukan setiap hari ke tujuh destinasi dari
Singapura hingga Bukit Kayu Hitam dan sejak empat hari lalu, semua tiket
untuk perjalanan ke Utara habis dijual. Keadaan ini dijangka berlanjutan
sehingga 5 Februari ini. Kami ingin menempah lebih banyak bas tambahan
tetapi hanya tiga bas saja yang diperoleh," katanya.
Pegawai Penyelia Operasi Transnasional, Maslan Dagang, berkata pihaknya
menyediakan 80 bas untuk 80 perjalanan ke Utara tanah air dan lebih 2,400
penumpang menggunakan perkhidmatan mereka setiap hari. Bagaimanapun,
jumlah itu tidak mencukupi kerana ada pengguna yang ingin mendapatkan
tiket pada saat akhir walaupun semua tiket sudah habis dijual sejak tiga
hari lalu.
Di JOHOR BAHRU, keadaan lalu lintas di kedua-dua pintu masuk utama ke
negara iaitu Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Linkedua, sesak
dengan kenderaan warga Singapura yang mahu menyambut Tahun Baru Cina di
Malaysia.
Keadaan sesak di Tambak Johor sudah bermula sejak dua hari lepas, kata
jurucakap Jabatan Imigresen di tambak itu.
Katanya, jabatan itu bagaimanapun sudah bersedia dengan beberapa
perancangan bagi memastikan lalu lintas kenderaan serta orang ramai di
pintu masuk itu berjalan lancar, termasuk membekukan cuti kakitangan yang
bertugas sepanjang tempoh Tahun Baru Cina ini.
"Kita juga membuka 36 kaunter imigresen bagi melancarkan perjalanan
masuk dan keluar Malaysia," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di
sini, hari ini.
Jurucakap itu menjangkakan keadaan kesesakan ini akan pulih menjelang
petang ini, apabila ramai yang sudah pulang untuk menyambut Tahun Baru
Cina, yang dimulakan dengan majlis makan malam sekeluarga malam ini dan
dijangka akan sesak semula pada Isnin dan Selasa ini apabila warga
Singapura yang bercuti di Malaysia kembali ke republik tersebut untuk
kembali bekerja Khamis depan.
Jurucakap Linkedua (M) Berhad pula berkata pihaknya menjangka 15,000
kenderaan Singapura akan memasuki Malaysia setiap hari sepanjang Tahun
Baru Cina, mulai hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh yang sama tahun lepas, syarikat itu
mencatatkan kemasukan sejumlah 16,400 kenderaan dari Singapura sehari,
dan beliau menjangka kesesakan di Linkedua itu akan berterusan sehingga
Khamis ini.
Tinjauan Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Skudai juga
mendapati berlaku kesesakan lalu lintas dengan ratusan kenderaan beratur
sehingga lima kilometer.
Di PULAU PINANG, aliran lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang sejak pagi
ini lancar. Menurut jurucakap Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), kesesakan
dijangka berlaku lewat petang ini apabila mereka yang datang dari luar
negeri itu, dijangka tiba.
"Pergerakan kenderaan ketika ini terkawal dan kita minta pengguna
jambatan supaya berhati-hati serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh
kakitangan PBSB," katanya.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Supritendan Wan Abdullah
Tengku Said pula berkata, lebih 100,000 kenderaan di jangka masuk ke
pulau ini pada musim perayaan ini.
Kira-kira 80 peratus daripada jumlah itu dijangka menggunakan Jambatan
Pulau Pinang manakala bakinya menaiki feri.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home