| SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan melakukan inkuiri awam berhubung kes kematian dalam tahanan kerana berasakan pihaknya perlu bertindak serius dalam kes sebegini. Buat permulaan dua kes kematian dalam tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor dan lokap Balai Polis Jalan Patani, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang akan melalui proses ini. Wartawan Berita Minggu, AZRAN JAFFAR dan NASRON SIRA RAHIM menemui Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Dr Mohd Hamdan Adnan bagi melihat keperluan kepada siasatan awam ini dan tugas Suhakam. Kematian tahanan SIASATAN awam bukan benda baru bagi Suhakam. Suhakam pernah membuatnya iaitu yang membabitkan kes lebuh raya Kesas (dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh polis ketika menangani insiden perhimpunan haram di Lebuh Raya Kesas - Jalan Kebun pada 2001) dan yang kedua kes di Kundasang, Sabah (dakwaan penduduk Kampung Desa Monteki diusir dari kampung itu dan ditahan polis selepas membuat bantahan). Siasatan awam mengenai kematian dalam tahanan adalah untuk menunjukkan kita sentiasa peka dan sudah tiba masanya untuk memastikan kematian dalam tahanan adalah sesuatu yang serius. Kita membuat keputusan bahawa berlakunya setiap kematian dalam tahanan akan dilakukan siasatan awam. Begitu juga untuk kes Najmi Kamal Amir (yang mendakwa dipukul sewaktu disoal siasat), kesnya sudah mendapat perhatian media dan perlulah dijalankan pembelaan kerana sebarang kes pencabulan hak asasi manusia, kita akan ambil tindakan sewajarnya. Sebarang aduan kita akan siasat manakala siasatan awam hanya dilakukan apabila dirasakan sangat perlu. Ada yang mengatakan siasatan itu seolah-olah memberi tekanan kepada polis. Kita bukan hendak memberi tekanan kepada polis tetapi kita menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan. Kalau polis mungkin berasa tertekan maka mereka silap kerana tujuan siasatan awam adalah untuk membersihkan nama polis kerana Suhakam menyiasat aduan berkaitan hak asasi manusia. Suhakam adalah badan bebas yang ditubuhkan kerajaan di bawah Akta 597 (Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999) dan diberikan kuasa siasatan termasuk melakukan siasatan awam. Mereka (polis) patut menyambut baik kerana ia dapat membantu anggota polis yang kurang berdisiplin supaya lebih disiplin. Pihak polis umumnya berdisiplin maka mereka patut menyokong kita supaya anggota yang mencemarkan nama polis tidak melakukan sesuatu sewenang-wenangnya kerana tahu jika polis tidak buat (siasatan dalaman) maka Suhakam akan buat. Bukan cari salah SIASATAN awam bukan bermaksud kita hendak menang atau kalah tapi untuk mendapatkan keadilan, jadi tidak timbul soal itu. Kaedah Suhakam menjalankan siasatan awam bukanlah seperti mahkamah, ia cuma mendapatkan maklumat yang perlu untuk mendapat rumusan yang tepat supaya hak asasi di negara kita berdaulat. Oleh kerana siasatan awam ini mengkhusus kepada polis, kita memerlukan kerjasama mengenai butiran yang dikehendaki mengikut undang-undang Akta 597 yang memberi 'nyawa' kepada Suhakam. Apabila kita melakukan siasatan awam, sebarang dokumen yang diminta mesti diberi bagi membantu kita mendapat kebenaran. Sesiapa juga yang dijemput menjadi saksi untuk memberi penerangan pun perlu hadir. Polis pun sudah tentu tidak hendak orang yang melanggar undang-undang dalam pasukannya. Mereka pun hendak anggota yang berdisiplin dan profesional. Kita bukan hendak mengacau polis yang disiplin dan profesional, kita cuma membantu polis memastikan tiada kambing hitam dalam anggota mereka. Ibu segala hak asasi manusia adalah nyawa dan jika kita tidak perjuangkan, maka apa yang akan diperjuangkan? Kematian dalam tahanan ini tidak saja di lokap tetapi di penjara pun boleh berlaku. Orang ramai hendak tahu kebenarannya dan dengan adanya Suhakam, maka tidak perlulah setiap kali berlaku kes sebegini, pihak Perdana Menteri terpaksa mengumumkan penubuhan suruhanjaya siasatan walhal mengikut undang-undang yang diberi kepada Suhakam untuk mendaulatkan hak asasi manusia, sudah ada peruntukan undang-undang untuk membuat siasatan. Suhakam sudah buat dulu tetapi sekarang ini kita memiliki lebih banyak kakitangan dan sebagainya dan untuk melakukan sesuatu itu, kita mestilah bersedia. Saya rasa Suhakam begitu aktif melakukan program 'Suhakam Bersama Rakyat' untuk menerangkan tanggungjawab kita kepada masyarakat iaitu jika hak mereka sebagai manusia dicabuli, maka sila datang kepada Suhakam untuk mengadu dan memberi maklumat yang perlu untuk kita menjalankan siasatan. Akan tetapi, perlu ditegaskan bahawa Suhakam hanya boleh menyiasat saja dan ada undang-undang untuk kita menyiasat. Selepas kita mendapat maklumat, melakukan rumusan dan saranan maka akhirnya ia perlu dikemukakan kepada agensi yang berkuasa menjatuhkan hukum untuk mengambil tindakan disiplin. Maruah dicabul KITA sebagai manusia ada harga diri dan tidak mahu maruah kita dicabuli dan itu tidak sepatutnya berlaku. Ada kaedah yang boleh dilakukan untuk mendapatkan maklumat. Membelasah orang bukan satu kaedah yang boleh diterima lagi dalam dunia hari ini. Mungkin dulu ia biasa, seperti cabut kuku dan sebagainya. Kerajaan sudah tubuhkan Suhakam. Apa kerja Suhakam jika perkara seperti ini berlaku tetapi kita buat tidak nampak saja? Itu sebabnya kita perlu melakukan tanggungjawab sebaik-baiknya. Sebelum ini, masyarakat hanya diam kerana tiada tempat mengadu. Profil Suhakam pun sudah meningkat. Apabila mengadakan siasatan terbuka ini maka orang ramai lebih yakin dan lebih sayang kepada kerajaan. Kerajaan yang menubuhkan Suhakam tetapi ramai menganggap Suhakam sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Suhakam ditubuhkan Parlimen di bawah Akta 597 dan pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Kita perlu menjalankan tugas dengan lebih teliti dan rapi kerana harapan masyarakat kepada kita meningkat. Dengan memiliki profil lebih tinggi maka kita meramalkan jumlah aduan akan meningkat. Mungkin ramai yang menerima layanan buruk apabila ditahan polis tetapi mereka tidak mahu mengambil peguam kerana mahal, maka akhirnya mereka mengadu kepada Suhakam. Suhakam menjalankan tugas mengikut undang-undang dan polis juga menjalankan tanggungjawab mereka mengikut undang-undang. Tiada akta yang membenarkan sesiapa pun membelasah orang walaupun ada pihak mendakwa itu adalah tradisi bagi mendapatkan maklumat. Contohnya, untuk membolehkan dadah yang disembunyikan di kemaluan jatuh, ada cara lebih baik dan perlu mencari kaedah yang tidak menjatuhkan maruah seseorang. Itu yang penting dan itulah hak asasi manusia, harga diri dan maruah seseorang itu mesti dijamin. Semua tindakan perlu mengikut undang-undang kerana dunia sekarang sangat sensitif mengenai sebarang penderaan. Kita sibuk mengutuk negara lain mendera di sana sini tetapi jika kita pun tiada bezanya, apa ceritanya? Oleh itu kita terpaksa lebih berhati-hati. Baru-baru ini ketika Persidangan Kemuncak Asean Ke-11, kita mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean, maka kita kena tunjuk teladan lebih baiklah. Lebih berdisiplin DENGAN adanya siasatan awam ini, ia akan merangsang anggota polis supaya lebih berdisiplin kerana mereka tahu jika pihak mereka tidak buat (siasatan dalaman), maka Suhakam akan buat. Polis diwujudkan untuk menjaga keamanan negara, Suhakam diwujudkan untuk memastikan tiada pencabulan hak asasi manusia, kerja kita sama. Anggota polis ramai dan terpaksa melakukan siasatan terhadap penjenayah, ahli kongsi gelap untuk mendapatkan maklumat bagi menyelesaikan kes tetapi mereka perlu mencari kaedah yang tidak melanggar hak asasi manusia, itu penting. Kita tidak mahu menjadi bahan lawak contohnya pesalah didakwa akibat memiliki dokumen palsu tetapi kenapa sampai perlu bogel pesalah, kalau pesalah didakwa akibat kesalahan dadah, kita fahamlah. Jika disuruh telanjang tanpa ada kena mengena dengan dakwaan, maknanya mesti tindakan itu melanggar peraturan. Jika polis yang mengatakan itu prosedur biasa, maka polis itu tidak berfikir panjanglah dan akan jadi bahan ketawa. Jika seseorang itu perlu dilakukan tindakan itu, contohnya pengganas atau penyeludup dadah, maka ada relevan untuk membogelkan seseorang. Pihak media sudah memberi gambaran negatif terhadap polis dengan kadar kerap dan mereka pun begitu terjejas sehingga ada anggota yang beritahu saya: "Nak pakai pakaian polis pun malu". Kita takut nanti orang nak jadi polis pun malu, maka apa hendak jadi dengan negara ini? Pihak polis perlu telus menjalankan tanggungjawab terutama dalam mendisiplinkan anggota yang melanggar peraturan, menyalahgunakan kuasa atau mengambil rasuah. Jika polis boleh melakukan hal ini secara telus, ia akan membantu memulihkan nama baik mereka. Kita tidak mahu keadaan polis yang tidak bersemangat membuat kerja kerana ia akan meningkatkan kadar jenayah di negara ini. Kita kena cari kaedah terbaik. Saya sudah meminta kerjasama polis dan membuat sesuatu tindakan mengikut peraturannya untuk kita lihat bagaimana ia dapat membantu negara dan pada masa sama budaya hak asasi manusia diamalkan seluruhnya termasuk oleh anggota polis. Suhakam sudah mengadakan beberapa program dan berbincang untuk menerapkan hak asasi manusia dalam semua latihan polis dan mereka sudah bersetuju. Kaji sebelum siasatan MACAM kes Najmi, saya difahamkan bahawa pihak polis sudah menghantar laporan lebih rapi kepada pihak peguam negara dan peguam negara mengumumkan mereka akan menjalankan pendakwaan, maka Suhakam tidak perlu lagi menjalankan siasatan awam buat sementara kerana selagi kes itu menjadi kes mahkamah, kita tidak boleh menjalankan siasatan yang sama kerana nanti ia akan mengelirukan. Undang-undang mengatakan apabila sesuatu kes menjadi kes mahkamah, kita tidak boleh lagi sentuh. Kita kena kaji sesuatu kes bagi menentukan perlu dilakukan siasatan awam atau tidak. Jika polis memberi kerjasama sepenuhnya dan pengadu yakin polis menjalankan tanggungjawab mencari pesalahnya, maka tidak perlulah. Suhakam pun pernah didakwa beberapa juta ringgit kerana enggan menjalankan siasatan awam membabitkan kes rusuhan di Kampung Medan beberapa tahun lalu. Apabila kita mengkaji dan melakukan risikan, maka kita dapati tidak perlu menjalankan siasatan awam tetapi ada kumpulan yang tidak berpuas hati dan mendakwa Suhakam lalai menjalankan tanggungjawabnya maka kita kena dakwa, terpaksa mengambil peguam dan membazir duit. Kita tidak jalankan siasatan awam kerana sifat kes itu dan tidak mahu timbul pula pelbagai kes lain sehingga orang yang sudah berbaik bergaduh semula manakala polis juga sudah menjalankan siasatannya. Kita percaya kepada polis tetapi perlu memantau juga. Kalau tiada polis untuk menjaga keamanan maka siapa lagi? Namun polis sendiri perlu menjaga dan memastikan anggota mereka tidak menyalahgunakan kuasa dan jika ia mengganggu hak asasi manusia, maka Suhakam perlu bertindak kerana berdasarkan akta Suhakam, dari segi siasatan tidak perlu aduan, jika kita tahu perlu diadakan, maka kita akan siasat. Jika kes kematian, kita periksa tetapi jika kita pergi didapati tiada apa, tak perlulah membazir masa tetapi jika ada syak wasangka, kecurigaan maka perlulah siasatan. Ada NGO seperti Suaram sangat aktif menghantar memorandum dan melakukan siasatan sendiri dan mereka datang kepada kita. Kita tidak cukup kakitangan dan mereka bantu dan jika kita yakin terhadap kes mereka untuk diambil tindakan dan perlu menjalankan siasatan awam, maka kita akan bawa kepada Lembaga Pengarah Suhakam untuk mendapatkan kelulusan. Kerajaan tentu mengharapkan Suhakam menjalankan tanggungjawabnya kerana sudah ada peruntukan undang-undang dan tanggungjawab. Jika kita tidak berperanan tidak patutlah. Akan tetapi, jika kita berperanan, ada pihak yang syak wasangka misalnya ada yang mengatakan Suhakam terlalu pro kepada barat dan akhirnya kita mengatakan kita menjalankan tanggungjawab dan perkara itu (pencabulan hak asasi manusia) berlaku. Kerajaan juga memberi kita kuasa untuk menyiasat dan membuat cadangan tetapi apa saja cadangan terpulanglah kepada mereka untuk melaksanakan. Mereka yang datang kepada Suhakam amat berharap Suhakam menjalankan siasatan awam tetapi kita kena siasat semua aduan yang diterima dan akan mengenalpasti sama ada perlu atau tidak melakukan siasatan awam kerana bukan murah hendak melakukan siasatan awam; dari segi masa dan wang tetapi jika perlu dilakukan, maka kita akan lakukan tanpa ada alasan masalah kewangan atau sebagainya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home