Thursday, November 06, 2008

kem ringgit poket

Publication : BM

Edition :

Date : 05/02/2006

Page Number : 10

Headline : Kem Ringgit dan Poket

Words : 601

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


MENGURUSKAN kewangan mungkin memeningkan bagi remaja dan mereka yang
masih di alam persekolahan. Ini kerana sumber kewangan utama mereka
datangnya daripada ibu bapa.
Tanpa memiliki sumber pendapatan sendiri, kebanyakan mereka juga
didapati kurang menghargai wang seterusnya gagal dilatih untuk berbelanja
dengan bijak menyebabkan sikap itu terbawa-bawa sehingga dewasa.
Dengan pelbagai tarikan seperti permainan video atau nada dering
telefon bimbit yang bukannya keperluan, remaja yang tidak dilatih
mengenai kewangan pasti terjebak dengan pembaziran tanpa menyedari
tindakan itu memberi masalah kepada ibu bapa.
Bagi mengubah mentaliti remaja itu, Hijrah Strategic Advisory Group dan
Yayasan Asnita menganjurkan 'Kem Ringgit dan Poket' di Cermas Agro Park
dan Training Village, Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Seramai 62 pelajar tingkatan satu hingga lima dari sekolah sekitar
Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor ditaja Pusat Zakat Selangor
(PZS) bagi menyertai perkhemahan berkenaan.
Penyelaras program, Nooralim Mohd Yunos, berkata selain menerapkan
pengetahuan asas mengenai kewangan, pelajar turut diajar menghargai
keperluan itu selain menguruskannya dengan bijak tanpa pembaziran.
"Jika dilihat menerusi pendedahan media baru-baru ini, banyak berlaku
masalah tidak tahu menguruskan kewangan oleh masyarakat sehingga ada
antara mereka yang muflis akibat penggunaan kad kredit serta gagal
melunaskan pinjaman pendidikan.
"Sehubungan itu kami berpendapat bahawa perlu ada pihak yang tampil
membantu masyarakat mengatasi tabiat negatif ini dan menerusi kesedaran
itulah kami menganjurkan Kem Ringgit dan Poket ini," katanya.
Beliau berkata, kaedah terbaik bagi melahirkan masyarakat celik
kewangan adalah dengan melatih remaja supaya mereka dapat mengamalkan
kaedah pengurusan bijak sejak kecil sehinggalah dewasa seterusnya amalan
itu sebati dengan diri masing-masing.
"Selain mengajar mereka mengenai perihal kewangan, kem ini juga
dirangka supaya berkonsep tiga dalam satu iaitu selain aspek kewangan,
kami turut mengetengahkan motivasi kehidupan dan amalan kerohanian.
"Objektif program adalah membentuk remaja yang memiliki motivasi diri
yang positif, menitikberatkan aspek kerohanian dan celik kewangan dan
pelajar akan diajar memahami sumber kewangan, menghargai wang, mempunyai
matlamat kewangan, menyediakan pelan tindakan kewangan dan bijak
menguruskan kewangan sendiri," katanya.
Peserta kem, Nurul Izzatul Alya Abdul Shukor, 15, berkata walaupun
program selama tiga hari itu bertemakan kewangan, ia turut diselitkan
dengan aktiviti riadah dan bimbingan kerohanian.
"Aktiviti yang dijalankan adalah menyeronokkan. Ia tidak saja
membabitkan aktiviti di dalam kelas seperti seminar tetapi turut diadakan
aktiviti lasak seperti flying fox dan meredah halangan," katanya.
Pada malamnya, peserta menghadiri aktiviti kerohanian dan ibadat
seperti kuliah agama dan qiamulail bagi memastikan mereka tidak saja
mementingkan aspek keduniaan menerusi kaedah pengurusan kewangan tetapi
turut tidak melupakan tanggungjawab dalam agama.
Lebih unik, peserta tidak saja diajar mengenai kewangan mengikut aspek
keperluan kehidupan tetapi turut didedahkan mengenai hubungan antara
bidang kewangan dengan peranannya dalam Islam.
Bagi Siti Fatimah Az-Zahra Mohd Hamdan, 17; kaedah pengajaran, motivasi
dan bimbingan kerohanian yang disampaikan menerusi kem itu tidak
membosankan malah ia dirangka supaya bersesuaian dengan minat remaja.
Sebagai contoh, peserta diarah melakukan aktiviti lasak dan merempuh
halangan tapi pada masa sama, jurulatih mengaitkan aktiviti itu secara
motivasi iaitu jika remaja berjaya melalui aktiviti itu, mereka juga
sebenarnya mampu menempuh halangan dalam kehidupan.
"Konsep program dan aktiviti yang dirangka agak berlainan daripada
program motivasi yang pernah dianjurkan mana-mana pihak sebelum ini dan
diharap program seperti ini dapat diteruskan bagi menyedarkan lebih ramai
remaja," katanya.
Mohd Solihin Barudin, 17, berkata dengan menyertai program berkenaan,
dia semakin memahami kaedah terbaik dalam menguruskan kewangan sekali gus
melatihnya supaya menghargai kaedah kewangan dan mengelakkan pembaziran.
"Berbanding ketika belum menyertai program ini, kini saya mengetahui
dan dapat membezakan keperluan dan kemahuan dalam kehidupan saya
seterusnya dapat merancang kewangan dengan lebih bijak berdasarkan dua
aspek berkenaan," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home