Thursday, November 06, 2008

pertandingan IKIM

Publication : BM

Edition :

Date : 05/02/2006

Page Number : 06

Headline : Radio IKIM cungkil penulis skrip drama dakwah

Words : 536

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


USAHA berdakwah tidak lagi tertumpu kepada buku, risalah, ceramah agama
dan syarahan di masjid semata-mata, sebaliknya media televisyen menerusi
program agama dan drama turut memainkan peranan besar.
Pendekatan itu selaras dengan firman Allah SWT menerusi ayat 125
daripada Surah An-Nahl: "Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan
nasihat-nasihat yang baik-baik, dan bertukar pendapat dengan cara yang
lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari
jalan-Nya, dan Dialah yang mengetahui siapa yang terpimpin."
Menyedari televisyen antara keperluan kebanyakan penduduk pada masa
kini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini
menganjurkan Peraduan Menulis Skrip Drama Televisyen dan Radio berunsur
Islam.
Peraduan kali kedua dianjurkan itu menerima 175 penyertaan bagi
kategori skrip drama televisyen manakala bagi kategori skrip drama radio
pula, IKIM menerima 220 penyertaan.
Ketua Pengarah IKIM, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, berkata drama
televisyen memiliki pengaruh dan kesan besar terhadap masyarakat dan ia
boleh digunakan untuk meningkatkan kefahaman mengenai Islam di kalangan
penduduk.
Beliau berkata, menerusi peraduan itu, pihaknya berharap penerbit drama
di negara ini dapat menerbitkan lebih banyak drama yang bermanfaat dan
memberi mesej mengenai kebaikan dan nilai Islam kepada masyarakat.
"Diharapkan peraduan ini dapat menggalakkan penulis menghasilkan skrip
drama berunsur Islam bagi membolehkan masyarakat dididik dan ditanam
dengan nilai keislaman selain menambah khazanah drama tempatan," katanya.
Kebanyakan skrip drama yang dihantar untuk peraduan itu diolah mengikut
pelbagai isu semasa masyarakat dan menjurus kepada kefahaman mengenai
konsep isu berkenaan mengikut acuan Islam.
Antara skrip drama yang dipilih sebagai pemenang kedua menerusi
peraduan itu adalah Maqam Cinta - A Place In The Hill yang dikarang
peguam yang juga penulis, Zabidi Mohamed.
Drama televisyen itu berkisah mengenai Ahmad Izhar yang diamanahkan
bapanya untuk melengkapkan buku karangan orang tuanya itu iaitu biografi
seorang syuhada dan tokoh ulama terkemuka, Syeikh Abdul Samad
al-Palembani.
Ahmad Izhar kemudiannya ke Palembang, Indonesia bagi mendapatkan bahan
untuk meneruskan penulisan itu. Dari Palembang, Ahmad Izhar melangkah ke
Pattani, Thailand bagi mencari makam tokoh berkenaan dan di bumi asing
itu, beliau jatuh cinta dengan Ustazah Jannah.
Tidak seperti cerita cinta biasa, skrip drama karangan Zabidi itu
mengetengahkan kaedah dan konsep percintaan sebenar menurut Islam dan
menerusi drama yang dihasilkannya, pengarang berharap masyarakat dapat
kembali menghayati erti sebenar perasaan itu diutuskan kepada manusia.
"Banyak drama dan filem sekarang yang mengisahkan mengenai percintaan
tetapi ia tidak menepati falsafah cinta mengikut Islam dan menerusi drama
ini, diharapkan ia mampu mengubah keadaan berkenaan.
"Selain itu, drama ini juga bagi memperkenalkan generasi sekarang
kepada usaha tokoh ulama terkemuka suatu ketika dulu iaitu Syeikh Abdul
Samad al-Palembani. Ini berikutan generasi baru tidak lagi mengenali
tokoh seperti itu," katanya.
Zabidi berkata, tidak seperti dakwah menerusi ceramah, dakwah yang
disalur menerusi drama membolehkan masyarakat meneliti usaha dakwah itu
diterapkan dalam suatu kes atau isu menerusi lakonan yang dilakukan.
Aslaniah Jamali yang turut menyertai peraduan itu berpendapat, drama
menjadi antara wadah dakwah yang sesuai pada masa kini berikutan
kebanyakan masyarakat kini menonton drama.
"Menerusi drama Sebuah Perjalanan ini, saya ingin menyampaikan mesej
kepada masyarakat bahawa ibadat dalam Islam itu tidak hanya bersifat
ritual seperti solat dan puasa saja tetapi meliputi aspek lebih besar
contohnya pembangunan masyarakat," katanya yang bertugas sebagai guru.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home