Thursday, November 06, 2008

minyak urut

Publication : BM
Edition :
Date : 29/01/2006
Page Number : 19
Headline : Zakaria pakar minyak urut
Words : 537
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


SUATU ketika dulu, apabila disengat serangga, mengalami luka kecil,
kembung perut, pening atau lenguh anggota badan, kebanyakan penduduk akan
menyapu sedikit 'minyak angin' untuk melegakan kesakitan.
Apabila mengenangkan kembali zaman berkenaan, pasti terbayang botol
yang diisi minyak itu dan penggunaannya menyingkap nostalgia kehidupan
silam penduduk terutamanya mereka yang dibesarkan dalam suasana kampung.
Ubatan tradisional yang turut dikenali sebagai 'minyak urut' itu
sememangnya popular dan digunakan secara meluas sekitar 20 tahun lalu.
Bagi kebanyakan situasi, keberkesanannya memang tidak dapat
dipertikaikan sekali gus membuktikan ubatan tradisional tidak boleh
dipinggirkan walaupun sudah wujud pelbagai ubat moden berbentuk pil pada
masa kini.
Di negara ini, usia rawatan menggunakan minyak angin bukanlah satu
tempoh yang singkat kerana ia sudah melewati beberapa generasi. Akan
tetapi, kaedah itu masih mendapat kepercayaan ramai.
Zakaria Ahmad, 53, dari Bidong, Kedah adalah antara pemegang tradisi
membuat minyak angin yang masih kekal di negara ini sejak terbabit dalam
perusahaan itu kira-kira 50 tahun lalu.
Tempoh separuh abad itu secara tidak langsung menjadi bukti bahawa ubat
tradisional itu tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat
Malaysia.
"Dulu, datuk dan bapa hanya menjual kepada pelanggan yang datang
berubat tetapi saya yakin produk ini mampu masuk ke pasaran yang lebih
luas menyebabkan saya menubuhkan syarikat Sri Fajar Sdn Bhd pada 1986,"
katanya.
Zakaria berkata, permintaan terhadap minyak angin yang dihasilkannya
sentiasa ada malah ia mendapat kepercayaan pelanggan menyebabkan ada
antara mereka yang sanggup datang ke rumah beliau bagi bertanyakan produk
itu dan mendapatkannya.
Ketika mula menceburi bidang berkenaan, Zakaria menjual sendiri ubat
berkenaan itu di pasar tumpuan ramai di Kuala Lumpur, Johor, Terengganu,
Melaka, Kota Bharu, Ipoh dan di selatan Thailand.
Bagaimanapun, beliau kini memiliki ejen jualan sendiri di Kuala Lumpur,
Kelantan, Sabah serta Sarawak dan mensyaratkan hanya mereka yang pernah
merasai keberkesanan ubat dihasilkannya boleh menjadi ejen jualan.
Selain pelbagai jenis minyak angin, ubatan tradisional lain mengikut
jenama Sri Fajar adalah tonik tenaga, kapsul, ubat resdung dan gel
menguruskan badan yang dihasilkan di kilangnya di Gurun, Kedah.
Zakaria mendakwa produk syarikatnya mampu mengubat pelbagai masalah
kesihatan termasuk barah dan penyakit campak malah ada antara ubat
tradisionalnya dipercayai diiktiraf Pusat Pengajian Sains Farmasi,
Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1994.
Selain menggunakan resipi warisan keluarganya, pengamal perubatan
tradisional itu tidak rasa megah dengan kebolehan keluarga sebaliknya
suka mendampingi orang lama bagi menambah ilmu.
Antara ramuan yang diguna adalah pelbagai jenis akar kayu dan rempah
ratus antaranya lengkuas, serai, tongkat ali, rancang besi, rancang
tembaga, kunyit hitam, kunyit emas, galak tua, ubi jaga, kunci galak,
akar serentun, delima batu, buah kera menyusu, ranting zakar, akar ulat
bulu, kepelas jantan, raja kayu, akar tok pawang, nanas batu, akar
kembang pagi dan misai lebat.
"Saya tinggal berhampiran Gunung Jerai dan kebanyakan bahan itu dicari
sendiri di kawasan itu selain diperoleh daripada bomoh lain. Dari mula
mendapatkan ramuan sehingga menghasilkan produk, ia mengambil masa
sehingga seminggu," katanya.
Bagi menghasilkan minyak angin dan produk lain, ramuan itu akan
dihancurkan terlebih dulu sebelum dikeringkan. Ia kemudiannya dicampur
mengikut jenis kegunaan, direbus dan ditapis berulang-kali atau hanya
dimesin bagi menghasilkan serbuk.
Dengan kakitangan seramai enam orang, kilangnya mampu mengeluarkan
kira-kira 1,000 produk sebulan dan Zakaria berharap dapat mengembangkan
lagi operasi syarikatnya pada masa depan.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home