Thursday, November 06, 2008

rumah merdeka

Publication : BM
Edition :
Date : 22/01/2006
Page Number : 07
Headline : Rahsia politik negara di Rumah Merdeka
Words : 656
Byline : Oleh Nasron Sira Rahim
Text :


RUMAH itu bukan sekadar tempat berteduh tetapi di situlah ketika Tunku
Abdul Rahman Putra memikirkan mengenai nasib Tanah Melayu, Perdana
Menteri negara pertama itu memperoleh pelbagai ilham untuk mengatur
strategi politik bagi memerdekakan tanah air.
Di rumah itu jugalah, ketika Bapa Kemerdekaan itu 'mengasingkan' diri
dan merehatkan minda daripada dunia politik yang amat mencabar, beliau
mengarang plot cerita seterusnya menulis skrip filem Raja Bersiong dan
Mahsuri.
Rumah yang dibina pada 1942 itu dikenali sebagai 'Rumah Merdeka'. Kini
masih berdiri megah dan kekal dalam lipatan sejarah negara.
Daripada sebuah rumah yang didiami Perdana Menteri pertama negara, ia
kini menjadi 'milik' masyarakat dan dalam usaha mengekalkan khazanah
sejarah negara, ia dipulihara kerajaan dan dibuka untuk tatapan umum.
Bertempat di pusat Bandar Raya Alor Star iaitu di Jalan Putra, Kedah;
penduduk atau pencinta sejarah tanah air dapat melihat sendiri bagaimana
rumah itu berperanan dalam pembentukan sejarah tanah air.
Terletak kira-kira satu kilometer dari rumah kelahiran Tun Dr Mahathir
Mohamad dan tidak jauh dari Masjid Zahir, ia dibuka kepada pengunjung
secara percuma pada setiap hari kecuali Isnin tetapi ia akan dibuka pada
keseluruhan minggu ketika cuti umum atau cuti sekolah.
Pengunjung boleh melawat dan melihat sendiri keadaan rumah itu dari
Selasa hingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 5.30 petang. Bagaimanapun,
pada Jumaat, ia akan ditutup sementara selama tiga jam mulai 12 tengah
hari, bagi menghormati solat Jumaat.
Rumah Merdeka kini diselenggarakan oleh Arkib Negara yang mengambil
alih tugas itu pada 2003 dan agensi itu berusaha membaik pulih dan
memuliharanya sebagaimana keadaan asal ketika didiami Almarhum Tunku.
Di bawah selenggaraan Arkib Negara, keistimewaan rumah berkenaan iaitu
susun atur dan perabot asal ketika didiami Tunku dikekalkan dan hanya
sedikit penambahan dilakukan bagi disesuaikan dengan konsep pameran yang
ingin dipersembahkan kepada orang ramai.
Pameran di Rumah Merdeka dilengkapi dengan pemasangan audio-visual
supaya usaha menyalurkan lebih maklumat kepada pelawat dapat dilakukan
dengan berkesan. Di dinding rumah pula, turut dilengkapkan fakta mengenai
keadaan rumah dan biografi Tunku.
Pada asalnya, tapak rumah itu pernah dimiliki Che Manjalara iaitu bonda
kepada Tunku sebelum dihadiahkan kepada Bapa Kemerdekaan itu. Ketika
pendudukan Jepun pada 1942, Tunku membina sebuah rumah papan di atas
tanah berkenaan dan rumah itu kemudiannya dikenali sebagai 'Rumah Jalan
Baru'.
Pada 1953, Tunku mengubah suai kediaman berkenaan - rumah papan sedia
ada diangkat menjadi ruang tingkat atas manakala ruang di bawahnya
ditambah dan diubah suai untuk dijadikan ruang kediaman.
Setahun selepas itu, atas nasihat beberapa sahabatnya iaitu Tan Sri
Senu Abdul Rahman, Tan Sri Mohd Khir Johari dan Tun Tan Cheng Lock; Tunku
menukar gelaran rumah itu daripada Rumah Jalan Baru kepada Rumah Merdeka.
Kos membina Rumah Merdeka dianggarkan bernilai RM20,000 dan berbanding
keadaan ekonomi ketika itu iaitu sekitar 1950-an, ia dianggap antara
kediaman mewah sesuai dengan kedudukan Tunku sebagai bekas pemimpin
nombor satu negara.
Rumah itu tidak sekadar kediaman kerana pada Pilihan Raya Umum 1955,
1959, 1964 dan 1969, rumah itu menjadi markas Tunku merancang strategi
politik manakala pada senggang lain beliau melakukan aktiviti
penulisannya.
Pada 27 Mei 1966, 'Misi Muhibah' yang terdiri daripada 20 pegawai
tentera Indonesia diketuai Laksamana Muda Laut OB Sjaaf berunding dengan
Tunku di Rumah Merdeka mengenai isu konfrontasi.
Dua belas hari selepas itu, usaha penamatan Konfrontasi
Malaysia-Indonesia berhasil antara rundingan Timbalan Perdana Menteri
ketika itu, Tun Abdul Razak Hussien bersama wakil Indonesia, Adam Malik
dan ia secara rasminya ditandatangani di Jakarta, Indonesia pada 11 Ogos
1966.
Rumah Merdeka kini tersenarai antara sembilan Institusi Memorial Arkib
Negara selain Memorial Tun Abdul Razak; Memorial Pengisytiharan
Kemerdekaan; Pustaka Peringatan P Ramlee; Pustaka Perkhidmatan Awam;
Rumah Kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad; Memorial Tunku Abdul Rahman
Putra dan Galeri Sri Perdana.
Sumbangan rumah itu terhadap negara tidak ternilai kerana selain
menempatkan seorang tokoh negara, ia menjadi tempat pertemuan pelbagai
peristiwa bersejarah.
Rumah Merdeka adalah lokasi bersejarah negara dan rumah itu juga
khazanah negara. Sebagai seorang warga negara, sedikit sebanyak haruslah
kita arif dan mengetahui asal-usul kelahiran Malaysia.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home