| SELAMA ini umat Islam menyandarkan kursus, ceramah dan bahan bacaan untuk memudahkan ibadat haji dan umrah. Kini, mereka memiliki satu lagi saluran iaitu menerusi perisian komputer dalam bentuk cakera padat interaktif 'Haji, Umrah dan Ziarah Mengikut Empat Mazhab'. Tidak seperti pembelajaran menerusi kursus, perisian keluaran syarikat perisian multimedia tempatan, Custommedia Sdn Bhd itu memberikan pilihan kepada bakal jemaah haji mempelajarinya mengikut ketetapan masa pengguna itu sendiri. Perisian berharga RM119.90 itu dibangunkan hasil penyelidikan selama tiga tahun terhadap ibadat haji, umrah dan ziarah berdasarkan empat mazhab iaitu Shafie, Hambali, Hanafi dan Maliki. Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Amiruddin Jaafar Sidek, berkata selain sebagai perisian pembelajaran, cakera padat berkenaan juga boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar untuk kursus berkaitan haji. "Kami membina perisian ini berdasarkan ciri interaktif menggabungkan aplikasi multimedia, video, grafik malah kami memperkenalkan konsep 'Mutawif Maya' iaitu jurupandu maya untuk membantu dan menemani pengguna sewaktu melayari perisian ini. "Bagi versi Bahasa Melayu, kami menggunakan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz sebagai mutawif maya manakala bagi versi Bahasa Inggeris, Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Mohd Kamal Hassan sebagai mutawif maya," katanya. Beliau berkata, fungsi mutawif maya membolehkan pengguna berinteraksi secara langsung dengan kedua-dua jurupandu itu seolah-olah tokoh berkenaan sedang mengajar mereka walaupun hakikatnya ia hanyalah program komputer. Kajian terperinci dijalankan menerusi lebih 50 sumber termasuk kajian akademik dan rujukan kitab terkenal bagi dijadikan isi kandungan produk itu dan ia dikendalikan lima pakar bahan iaitu Datuk Abu Hasan, Prof Dr Mohd Kamal; Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady; Pensyarah UIA, Dr Husni Akla dan Penyelidik Kanan Custommedia, Dr Mohammad Amin Mohd Aman. Kandungan yang dihasilkan perisian berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dipasarkan pada Oktober tahun lalu. "Program ini juga sesuai digunakan pengguna yang tidak boleh mendengar kerana ia bercirikan mesra pengguna termasuk disediakan sari kata dan pelbagai visual untuk membantu pemahaman," kata Amiruddin. Beliau berkata, pihaknya juga mendapatkan khidmat pakar jurugambar di tanah suci itu untuk mendapatkan gambar dan keratan video eksklusif yang memaparkan lokasi penting dan acara sempena haji. Antara kandungan perisian berkenaan adalah penjelasan maksud tersurat dan tersirat mengenai haji, kaedah menunaikan haji dan umrah dari awal hingga akhir, himpunan doa, cara memakai ihram dan kaedah melakukan rukun serta wajib haji. Kandungan lain adalah perbezaan antara empat mazhab berhubung ibadat dalam haji, gambar kawasan ziarah sekitar Makkah dan Madinah, panduan tatasusila ketika menunaikan haji serta peta kawasan. Program komputer itu juga dimuatkan dengan lebih 250 soalan lazim (FAQs) mengenai haji dan umrah berserta jawapannya yang disediakan Datuk Abu Hasan selain pelbagai soalan kepada pengguna bagi menguji tahap pemahaman mereka. "Saya yakin pasaran bagi produk ini adalah besar kerana setiap tahun pasti ada jemaah kita yang berhajat menunaikan haji malah perisian ini juga relevan dengan masa kerana maklumat dalam kandungannya masih boleh digunakan untuk masa akan datang. "Produk ini juga menerangkan pendekatan empat mazhab jadi ia secara tidak langsung mampu memasuki pasaran antarabangsa bagi dipasarkan kepada pengguna yang mengamalkan mazhab lain," katanya. Produk itu kini hanya dipasarkan beberapa syarikat pengendali pakej umrah dan haji selain dijual sendiri oleh Custommedia dan syarikat berkenaan kini sedang berunding dengan pengedar luar negara untuk menembusi pasaran luar. FAKTA Tujuh modul utama CD * Falsafah haji. * Kaedah mengerjakan haji. * Umrah. * Haji dari kacamata empat mazhab. * Ziarah. * Pedoman. * Maklumat Umum. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home