| RAMAI menyangka Black Metal sudah terkubur apabila media mendedahkan kewujudan gejala songsang itu pada 2001, sekali gus mengajak pelbagai pihak memandang serius dan berusaha menangani gejala itu. Sebaliknya, pengikut Black Metal mengaburi masyarakat dengan meneruskan aktiviti berkenaan secara 'bawah tanah' sehingga ia sekali lagi dibongkar media, baru-baru ini. Kemuncak pendedahan itu ialah apabila Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam, minggu lalu memutuskan 'ajaran' Black Metal adalah haram dari segi Islam. Wartawan Berita Minggu, HAFIZAH ISZAHANID dan NASRON SIRA RAHIM menemubual vokalis utama Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim dan Fellow Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Wan Zawawi Ibrahim untuk mengupas isu ini dari pelbagai sudut. Mohamad Asri SAYA tidak berniat menyinggung mana-mana individu dan tidak mahu dikatakan lebih pandai daripada pihak yang berkenaan kerana ada persoalan yang menjurus kepada hukum Islam. Orang yang lebih arif dalam hal ini sudah pasti mufti dan alim ulama . Ada pun, apa yang akan saya nyatakan sekadar pendapat selaku penyanyi nasyid yang hampir 20 tahun bergiat dalam bidang ini. Saya sendiri berasakan bidang ini bukan sekadar untuk berhibur serta menghiburkan orang ramai atau sekadar mendapatkan pendapatan tapi lebih penting, bidang ini dapat menyumbang kepada baik dan buruknya masyarakat. Ini kerana artis kini sebagai penghibur juga turut dikategorikan sebagai idola atau ikon di kalangan remaja. Sekiranya imej, keterampilan, lagu dan muzik kita baik, sudah pasti ia memberi impak baik kepada pendengar dan begitu juga sebaliknya. Masalah sosial KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan ajaran Black Metal sebagai haram perlu disokong kerana muzik itu tidak memberi perkembangan positif kepada generasi muda yang bakal menerajui masa depan negara. Sekiranya dibiarkan, saya khuatir kita tidak akan dapat membendung masalah sosial sedia ada, akan terus memburukkan keadaan dan memberi impak negatif kepada masa depan negara. Memang Black Metal sekadar muzik ataupun bermula dengan sebuah kumpulan muzik tapi kita harus sedar bahawa muzik itu hanyalah batu loncatan untuk kumpulan ini menyerapkan dakyahnya kepada orang ramai. Bagi penggemar ataupun peminat muzik, mungkin mereka berpendapat Black Metal tidak salah. Itu sekiranya kita sekadar penggemar muzik. Kita harus sedar bahawa Black Metal diharamkan bukan kerana muziknya saja tetapi berdasar hujah lain seperti unsur pemujaan, pemakaian tidak bertamadun dan menggambarkan kerosakan moral manusia, percampuran lelaki dan wanita yang boleh membawa kepada perbuatan sumbang seperti berzina, pengambilan arak dan dadah. Sekiranya kita seorang Islam, maka kita mesti akur kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, lebih-lebih lagi yang membuat keputusan itu ialah mufti dan ilmuwan. Sudah pasti mufti tidak akan membuat suatu keputusan sewenang-wenangnya. Bukankah isu Black Metal ini sudah merebak di Malaysia pada tiga atau empat tahun lalu tapi baru-baru ini, ia timbul dan diperkatakan semula. Dalam sedar ataupun tidak ia terus menular dalam masyarakat kita. Sepanjang tempoh itu, pihak berkenaan membuat berbagai-bagai analisis dan penyelidikan sama ada Black Metal ini hanya sekadar muzik, hiburan atau lebih dari itu. Selepas dibuat kajian mendalam, ternyata Black Metal bukan sekadar muzik untuk berhibur, tapi satu budaya hidup yang membentuk fahaman dan pegangan yang menyimpang daripada Islam. Kerana nila setitik... KITA boleh lihat gelagat mereka yang menyertai kumpulan itu. Bagaimana dengan pakaian, akhlak dan kelakuan mereka. Mereka bukan sekadar biasa dengan dadah, arak serta zina tapi sanggup mensyirikkan Allah SWT melalui lagu dan muzik yang mempunyai unsur pemujaan. Ini semua bukti bahawa Black Metal mempengaruhi mereka dan akhirnya menyesatkan mereka. Bagaimana kita boleh tahu kita sesat jalan? Sudah pasti dengan cara diberitahu orang bahawa kita sesat jalan. Sekiranya kita sudah tahu Black Metal itu haram, untuk apa kita terus mendengar muziknya apa lagi menyanyikan liriknya (yang memuja syaitan). Bukankah dengan mendengar muzik serta menyanyikan liriknya boleh membawa kepada sesat. Banyak lagi muzik dan hiburan yang boleh kita jadikan alternatif yang lebih baik daripada Black Metal. Jangan kerana setitis nila rosak susu sebelanga. Jangan kerana kita suka mendengar dan menyanyikan lagu Black Metal, keyakinan kita pada Allah SWT dan pada ajaran Islam makin hari makin menipis. Akhirnya dalam sedar tak sedar, kita menjadi perosak masyarakat Islam. Islam berpandangan secara keseluruhannya, muzik adalah harus. Ada beberapa pandangan ulama mengenainya. Ada yang mengharamkannya jika ia berlawanan dengan syariat asas seperti melalaikan dalam menjalani ibadat, ada percampuran lelaki serta wanita dan sekiranya muzik itu memberi kesan negatif kepada umat Islam. Tetapi sejarah menyaksikan bahawa muzik diterima Islam seperti yang berlaku pada peristiwa hijrah di mana ketika ketibaan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, Baginda disambut dengan nyanyian Tola'al Badru yang dinyanyikan dengan paluan kompang. Imam Ghazali memperjelaskan dalam kitab Ihya' Ulumuddin bahawa muzik dan nyanyian dibenarkan jika tidak bercampur dengan perkara haram tapi jika ia bercampur seperti adanya hidangan arak, pergaulan bebas yang mendatangkan berahi serta memuja, maka jatuh hukumannya haram. Hal ini juga terbabit dalam penggunaan muzik walaupun kompang, sekiranya penggunaan muzik melalaikan maka ia dianggap haram dimainkan tapi jika sebaliknya; walaupun bermain gitar, ia diharuskan bagi tujuan berdakwah. Bukan sekadar rebana TIDAK banyak perbahasan ulama dalam bab muzik. Kebanyakan mereka sepakat mengatakan muzik dibenarkan Islam hanyalah rebana (kompang) atau dalam bahasa Arab dipanggil 'Duuf'. Tetapi kini, irama nasyid turut menggunakan alat ataupun bunyian muzik yang berbagai-bagai. Justeru, kami sendiri menggunakan pendekatan kesederhanaan dalam irama atau rentak yang dipilih. Kami mengekalkan bunyian ala padang pasir seperti rebana, bunyian ala taranum al-Quran dan bunyian ala irama Melayu. Semua itu ada kekuatan masing-masing dalam masa sama, semua irama itu menggambarkan budaya dan bangsa tertentu yang mempunyai nilai murni. Kami yakin dengan cara ini, sekiranya kita terhibur, kita masih dapat mengekalkan nilai murni. Dan inilah bukti Islam tidak melarang berhibur selagi hiburan dan muzik tidak melalaikan kita kepada Allah SWT dan ajaran Islam. Selaku penggiat irama nasyid, apa yang Rabbani pegang dan kami amalkan ialah: kita harus tahu kenapa kita bernasyid dan kenapa kita berhibur dengan muzik? Sekiranya jelas dan baik niat, maka akan baiklah hasilnya nanti; muzik dan irama janganlah keterlaluan. Tuhan pun tak suka kita keterlaluan. Contohnya makan, kalau keterlaluan atau terlampau banyak, akibat buruknya. Justeru, kita sewajarnya perlu lihat bentuk muzik yang hendak digunakan dalam berhibur bersesuaian dengan status orang Melayu dan Islam; imej dan keterampilan mestilah menggambarkan kita adalah orang Islam seperti pakaian sopan, tidak menjolok mata serta menutup aurat; begitu juga dengan gaya serta ucapan ketika di atas pentas hendaklah dijaga. Kerana semuanya akan ditonton umum. Saya yakin sehingga mana kita sedar kita orang Islam, maka tidak salah untuk kita mencari hiburan melalui muzik sehingga hiburan dan muzik itu mengekalkan nilai murni seperti ketenangan, ketenteraman, keamanan, kedamaian serta keharmonian. Apa guna kita berhibur melalui muzik yang akhirnya bukan setakat kita jauh dari nilai murni bangsa Melayu bahkan jauh dari nilai Islam dan akhirnya lupa kepada Tuhan. Kajian media massa dan ulama perlu lebih profesional Dr Wan Zawawi UKM pernah membuat kajian bertajuk 'Amalan dan Pembentukan Sub Budaya Muzik Rock Bawah Tanah di Kalangan Remaja Melayu Bandar' pada 2000. Kajian mengenai 'muzik bawah tanah' ini menjurus pelbagai genre termasuklah Black Metal. Kajian ini menunjukkan remaja yang terbabit dalam kegiatan ini masih memiliki sikap positif terhadap agama sekali gus menunjukkan nilai dibawa muzik rock atau muzik bawah tanah yang berakar dari Barat itu, tidak diterima secara keseluruhannya oleh remaja kita. Apa yang pihak media kaji memang berlainan daripada orang akademik. Kita mengikut prosedur dan kaedah akademik; ada cara tertentu yang menghindarkan daripada membuat rumusan berat sebelah. Kita ada metodologi saintifik yang dianjurkan dalam disiplin kajian. Akan tetapi, kajian dianjurkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak diketahui landasan digunakan sama ada objektif atau tidak kerana mereka tidak terdidik dari segi penyelidikan. Penyelidikan adalah kerja profesional dan bukannya membuat penyelidikan secara rambang kerana tiada kepakaran dan latihan. Penyelidikan media pula ada masalah dari segi kesahihannya. Contohnya, satu artikel media menyiarkan pengakuan seorang wanita mengenai upacara Black Metal, namanya Mariana tetapi ia bukan nama sebenar; berdasarkan cerita itu digambarkan ada kelompok Black Metal yang membakar al-Quran dan berzina atas al-Quran. Betul atau tidak, itu soal lain. Barat lagi teruk JIKA kita membuat kajian seperti ini, kita harus mencari bukti dan bukan percaya begitu saja. Kita perlu menyiasat lebih mendalam, kita tidak menerima pengakuan wanita ini sebagai betul selagi tidak menemui bukti yang boleh digunakan. Kita juga tidak boleh membuat generalisasi kepada keseluruhan Black Metal berdasarkan media saja. Ia perlu mengikut prosedur tertentu. Persoalannya mengenai definisi. Jika menggunakan definisi Barat dalam Black Metal, memang teruk - memang ada di Barat yang melihat Black Metal memuja syaitan, bakar gereja tetapi itu definisi di sana. Kita tidak boleh mengguna definasi di sana untuk menilai Black Metal di sini. Sumber dari sana tidak mengapa tetapi bagaimana sumber itu di 'localize'kan dan diubah suai mengikut lunas tempatan. Mengikut tesis kajian ini, rock bawah tanah sudah diubah suai mengikut budaya Timur; kita lihat jurnal muzik yang lalu contohnya pop yeh-yeh, ia berasal dari Barat tetapi apabila datang ke sini sudah menjadi lain, diubah suai dengan cita rasa Timur. Begitu juga rock. Tiada rock yang ganas di sini malah ada rock menggunakan mesej agama. Apabila dipanggil Black Metal, ia membawa mesej Barat tetapi apa yang dibawa? Muzik, falsafah atau kepercayaan? Tiada lagi kajian akademik dijalankan mengenai Black Metal. Ia memerlukan penyelidikan sistematik untuk menentukan apakah Black Metal yang berleluasa di negara ini. Saya percaya Black Metal juga ada banyak pecahan (jenisnya). Mengikut maklum balas pengikut Black Metal seperti disiarkan sebuah majalah tempatan, kebanyakan mereka mengatakan 'mungkin ada kelompok yang macam itu (yang mengamalkan budaya negatif) tetapi kebanyakan kami mengambil Black Metal sebagai muzik dan bukannya pegangan'. Cerita bakar al-Quran dan sebagainya, mereka tidak melihat lagi. Kumpulan macam itu minoriti. Implikasi fatwa ini adalah peminat yang suka muzik ini tapi tidak terbabit memuja syaitan dan melakukan kegiatan sumbang juga dicap. Ini menjejaskan hak asasi mereka untuk mendengar muzik dan berkarya dengan muzik yang tidak seperti ditafsirkan oleh fatwa. Ia sudah jadi stigma. Masalah mengenai lirik memuja syaitan, kita membuat rumusan tanpa kajian. Kena lihat siapa menulis lirik itu, asal lirik dari mana? Jika mengikut tesis kajian ini, lirik muzik bawah tanah bersifat terbuka, menyentuh hampir setiap aspek kehidupan seperti kritikan sosial, ketuhanan, kemanusiaan, kesengsaraan, mistik dan alam sekitar. Harus bersistematik ADA yang menjadikan Black Metal ini sebagai satu cara untuk berkreatif. Ada anak muda menggunakannya sebagai bidang keusahawanan, untuk berniaga muzik dan sebagainya. Kita kena beri remaja peluang mencari jati diri mereka. Kita perlu matang dan jangan terlalu mengongkong saja. Kita kena belajarlah tetapi tidak boleh belajar dengan sekatan. Sekatan fatwa tidak menyelesaikan masalah, apa yang akan berlaku - remaja ini akan meminati secara 'bawah tanah'. Kajian haruslah bersistematik barulah boleh dibuat dasar. Kajian sistematik, kemas dan lengkap boleh memberi kita butiran seperti mereka ini berpelajaran atau tidak, keluarga macam mana. Mungkin ada faktor lain yang boleh dilihat. Jika ada segelintir remaja membuat aktiviti songsang dalam Black Metal, apa sebenarnya yang membuatkan mereka sesat? Penyelidikan juga akan memberikan kita kefahaman mengenai faktor yang membuatkan remaja ini jadi sebegitu. Kita boleh lihat mungkin sebahagian besarnya tidak terbabit dalam aktiviti songsang itu. Fatwa itu membabitkan semua peminat Black Metal, jadi tidak tepat. Saya hanya mempersoalkan bahawa perlunya satu kajian kemas, lengkap dan profesional. Kelompok berkemampuan menghasilkan kajian ini adalah golongan akademik yang terlatih dalam bidang penyelidikan khususnya sains sosial. Kajian mungkin selama enam bulan hingga setahun dan bukan mudah dihasilkan. Harus turun ke padang, bergaul dengan pengikutnya. Bukan sekadar menemuramah seorang dua pengikutnya tetapi kena mendampingi mereka dan selepas dua tiga bulan, kita akan mendapat gambaran yang lebih mendalam. Ini data yang kualitatif. Pendedahan media boleh dipertikaikan dari segi kaedah penyelidikan, bagaimana mereka membuat kajian itu. Jika hanya 70 peratus peminat menganggap Black Metal sebagai muzik saja, jadi fatwa itu haruslah kepada kelompok 30 peratus yang mengamalkan aktiviti songsang itu saja. Kelompok 70 peratus itu tidak mengambil muzik sebagai pegangan; tidak sembelih kambing, bakar al-Quran tetapi minat muzik saja. Cermin masalah remaja SEKARANG kita belum mendapat satu kajian mantap. Jika saya sebagai penyelidik, saya mahu melihat dengan sendiri, setakat mana kelompok seperti itu, adakah menyeluruh? Dalam kita mengawal remaja, kita juga haruslah bersikap adil. Tiada satu kajian yang memberi kefahaman mengapa remaja ini berkelakuan seperti itu. Adakah kerana faktor lain seperti keadaan sosial di rumah atau aspek keagamaan diamalkan di rumah? Jadi mereka menjadikan Black Metal itu sebagai cara meluahkan perasaan mereka tetapi masalah sebenar berpunca di rumah. Inilah yang memberi kesan kepada remaja sekarang, bukannya hanya Black Metal. Masalah sebenar bukan Black Metal. Kita harus ke akar umbinya, mungkin masalah utama di rumah. Sekadar membuat fatwa tidak menyelesaikan masalah yang berpunca dari rumah. Mungkin segelintir ahli ini perlu kita fahami lebih dalam lagi. Adakah disebabkan Black Metal atau faktor lain yang berkaitan? Perlu tahu faktor yang menjadikan mereka penjenayah, sumbang mahram dan semua masalah seperti itu. Kita menghadapi masalah ini sebelum Black Metal lagi. Jadi persoalannya lebih besar daripada isu Black Metal. Black Metal hanyalah ekspresi kepada masalah sosial yang dilalui sekarang. (Puncanya) modenisasi pesat yang lebih kepada material dan bukannya menjurus kepada persoalan sosial. Kita sudah banyak gejala ini. Black Metal hanyalah satu daripadanya. Inilah yang dialami masyarakat. Jadi kenapa boleh berlaku? Untuk mengetahuinya kita perlu membuat kajian, bukan sekadar menyekat Black Metal. Bagi saya, apa yang berlaku ini mencerminkan masalah sosial yang lebih luas dan berkait dengan masalah modenisasi kita. Sekarang barulah negara ingin menjurus kepada spiritual tetapi masalahnya kaedah modenisasi material sudah berlaku. Jika benar berlaku, kaedah terbaik untuk membantu kelompok minoriti yang mengamalkan ajaran songsang ini adalah dengan dengan turun padang dan memahami mereka. Jika pihak berkuasa ingin memahami Black Metal, mereka harus bergabung dengan kita (ahli akademik). Kita ada pasukan untuk mengendalikan kajian seperti ini. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home