| BUKAN mudah menghasilkan siri kartun. Biarpun hanya untuk tayangan 22 minit di kaca televisyen, proses pembikinannya cukup lama dan memerlukan sekurang-kurangnya 40 petugas yang bekerja hampir 10 jam sehari selama empat bulan! Sebab itu tidak ramai pengkarya tempatan berani menceburi bidang itu yang belum tentu akan menjanjikan pulangan menarik selain kekurangan kepakaran dan peralatan canggih yang terpaksa diimport. Apapun, produksi kartun negara masih baru. Bermula akhir 1990-an, siri animasi tempatan hadir dengan watak seperti Usop Sontorian, Keluang Man dan Tiong Man, Abang Sidi, Che Nat, Mamat dalam Kampung Boy serta filem Silat Legenda dan Putih menerusi slogan `kartun kita wajah kita'. Sebelum itu, Jabatan Filem Negara Malaysia turut mengeluarkan siri Monyet Makan Cili, Bangau Oh Bangau dan Perlumbaan Arnab dan Kura-Kura, adalah antara kartun animasi yang dipertontonkan di negara ini. Di sebalik animasi menerusi filem atau drama, animasi turut berkembang melalui iklan komersial yang ditayangkan di televisyen, malah selepas melalui siri sejarah panjang, syarikat animasi tempatan kini mampu menghasilkan animasi berkualiti dan sebaris dengan sitkom kartun keluaran Amerika Syarikat seperti The Simpson dan Garfield. Bagaimanapun, industri drama animasi di negara ini seperti menuju nostalgia dan mengalami zaman muram, tidak seperti sekitar 1990-an dulu kerana tidak banyak animasi mencuit hati penonton terutama kanak-kanak. Bagi peminat animasi tempatan, kerinduan mereka pasti terubat apabila dua siri kartun tempatan iaitu `Cerita Rakyat Asia' dan `Bola Kampung' bakal ditayangkan RTM tidak lama lagi. Wartawan Berita Minggu yang menonton siri animasi itu mengakui kualiti paparan dan lukisan dihasilkan Susunan Kreatif Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya, Animasia-Studio; boleh dibanggakan berbanding usia industri animasi tempatan yang masih muda berbanding sejarah kelahiran animasi. Pengarah Urusan Susunan Kreatif, Adnan Mansor, berkata siri kartun Cerita Rakyat Asia dibuat bagi mengetengahkan kisah klasik popular di luar negara seperti Iraq, Vietnam, China, Iran, Korea Selatan, Laos, Filipina, Myanmar selain di negara ini. Cerita Rakyat Asia memaparkan pelbagai cerita menarik yang boleh memberi pengajaran dan pedoman kepada kanak-kanak. Burung Yang Disumpah Iraq IA mengisahkan mengenai seorang budak lelaki yang ingin merampas takhta abangnya. Untuk itu dia bertemu seorang ahli sihir yang kemudiannya menukarkan abang budak lelaki itu dan pembantunya menjadi burung. Suatu hari sewaktu terbang, burung itu bertemu dengan seekor burung tukang, juga seorang putera yang di sumpah. Akhirnya abang budak lelaki itu dapat melepaskan dirinya daripada sumpahan berkenaan dan mendapat kembali takhtanya. Hati Kristal Vietnam KISAH seorang puteri yang terdengar nyanyian seorang lelaki sehingga jatuh cinta. Akibatnya si puteri terlalu merindui lelaki itu. Suatu hari si puteri bertemu seorang lelaki dan dia mengeji akan keburukan paras rupa lelaki itu. Ini menyebabkan lelaki berkenaan berasa sangat sedih lalu mati. Hati lelaki itu bertukar menjadi kristal dan orang kampung membuang kristal itu ke sungai. Raja menemui kristal itu lalu memberinya kepada puterinya sebagai hadiah membuatkan si puteri berasa menyesal akan perbuatannya. Permaidani Terbang China KISAH seorang budak lelaki yang terjumpa dengan permaidani berharga milik ibunya yang membawanya ke kerajaan pari-pari. Selepas melalui beberapa rintangan akhirnya budak lelaki itu dan ibunya dapat tinggal di sana. Ia menunjukkan betapa eratnya hubungan anak dan ibu. Mushkil Gusha Iran SEORANG lelaki miskin menerima pertolongan yang tidak disangka. Bagaimanapun dia melupai akan orang yang telah menolongnya. Pada suatu hari dia benar-benar mengharapkan pertolongan dan di saat itulah baru dia menyedari kesilapannya dan memenuhi janjinya. Penyu dan Arnab Korea Selatan SEEKOR penyu diarahkan oleh puteri ikan mencari hati arnab bagi mengubati penyakitnya. Penyu berjaya menemui arnab dan hampir untuk membunuhnya, tetapi arnab berjaya melepaskan diri hasil kebijaksanaannya. Angsa Emas Laos KISAH sebuah keluarga miskin. Si suami yang mati bertukar menjadi seekor angsa. Isterinya sungguh terperanjat akan perubahan itu. Si suami menyuruh isterinya mencabut sehelai pelepahnya dan tiba-tiba ia bertukar menjadi pelepah emas. Ini membuatkan keluarga wanita itu menjadi kaya dan perasaan tamak mula menguasai dirinya. Dia mencabut ke semua pelepah angsa berkenaan yang menyebabkan dia kemudian menjadi miskin kembali dan menyesal akan perbuatannya. Monyet dan Penyu Filipina MONYET dan penyu berkawan baik. Suatu hari mereka berpakat untuk menanam pokok pisang. Monyet menanam nya di atas pokok manakala penyu di atas tanah. Pokok pisang monyet mati manakala pokok pisang penyu hidup subur. Monyet cuba menipu penyu untuk mendapatkan pisang, tetapi penyu berjaya menghalangnya menyebabkan monyet akhirnya menyesal akan perbuatannya. Perawan Katak Burma SEORANG ibu melahirkan seekor katak dan katak itu disukai penduduk kampung. Selepas ibunya meninggal dunia, bapanya berkahwin dengan seorang perempuan garang. Suatu hari si katak memenangi satu pertandingan dan dapat berkahwin dengan putera raja. Dengan kepandaiannya, si katak menolong putera raja merampas kembali takhtanya. Hadiah Daripada Burung Korea HUNG Bu seorang yang miskin. Pada suatu hari dia berjumpa seekor burung yang cedera lalu merawatnya dan dengan restu burung berkenaan beliau menjadi kaya. Nobul yang mendengar cerita itu berasa tamak dan pergi dari satu sarang burung ke satu sarang burung. Dia mencederakan burung berkenaan dan merawatnya dengan harapan juga akan menjadi kaya, tetapi apa yang diharapkannya tidak berlaku. Heng Bu menyedarkan Nobul akan kesilapannya. BAGI siri Bola Kampung pula, ia dihasilkan berikutan sambutan ketibaan kejohanan bola sepak Piala Dunia bermula Jun ini dan ia adalah peluang menonjolkan budaya kampung di negara ini. Ceritanya mengenai pasukan sepak bola di sebuah daerah berusaha keras untuk menjadi pasukan ternama dan di segani. Bagaimanapun, mereka bermain tanpa matlamat dan objektif sehinggalah Daud, pengetua dan Rahmat, guru sukan seklahnya membantu mereka mewujudkan pasukan mantap. Iwan, pemain yang bercita-cita menjadi seperti pemain pujaannya Zinedane Zidanen berusaha keras untuk menjadi pemain terbaik di daerah itu. Dia juga mahu menjadi pemain ter kenal seperti datuknya yang pernah menjadi pemain bola sepak kebangsaan, tapi ayahnya melarang kerana tidak mahu dia menjadi mangsa seperti datuknya. Bagaimanapun, dua rakannya Chin dan Aru membantu dari belakang untuk merealisasikan impiannya. Adnan berkata: "Permintaan untuk siri kartun sentiasa ada kerana setiap tahun, pasti ada kanak-kanak yang baru dilahirkan tetapi syarikat animasi harus memikirkan mengenai pasaran yang besar di luar negara dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan." Apabila berada di hadapan televisyen dan menonton siri kartun, perasaan seisi keluarga akan terhibur sekali gus masalah yang dihadapi tersingkir seketika. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home