Thursday, November 06, 2008

faisal tehrani

Publication : BM

Edition :

Date : 12/02/2006

Page Number : 19

Headline : Merantau, mencari, menulis

Words : 1093

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


PADA 2003, Mohd Faizal Musa memutuskan untuk mengembara seorang diri ke
Turki.
Ada teman-temannya mengatakan keputusan itu sebagai 'kerja gila' yang
mengundang banyak risiko tetapi lelaki berusia 31 tahun itu ada sebab
tersendiri.
Beliau tidak merancang perjalanannya secara terperinci kerana mahu
nasibnya sama ada beruntung atau ditimpa musibah ketika di perantauan
ditentukan takdir. Nasibnya akan 'diperjudikan' dengan menerima apa saja
risiko sepanjang kembara itu.
Ketika kali pertama meninggalkan bumi Malaysia dengan pakaian secukup
mungkin, Faizal mengaku duitnya tidak banyak.
"Saya cuma ada RM4,000 dan dengan restu ibu bapa, saya menaiki kapal
terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke
Turki.
"Saya rasa berbaloi kerana saya mengembara untuk muhasabah diri dan
saya mendapat banyak petunjuk daripada Tuhan," kata penulis yang dikenali
dengan nama pena 'Faisal Tehrani' itu.
Tidak seperti insan lain yang ke luar negara untuk melancong atau
melanjutkan pelajaran, pengembaraan Faizal bermula apabila beliau merasa
bosan dengan rutin hidup ketika itu sehingga timbul perkataan 'muhasabah
diri' dalam fakulti pemikirannya.
"Saya percaya Allah SWT memberi bakat menulis kepada saya kerana suatu
sebab dan saya perlu bertanggungjawab dengan bakat itu," kata anak sulung
daripada dua beradik itu.
Sepanjang pengembaraan pertama kira-kira empat bulan di Turki, beliau
memperoleh pelbagai pengalaman dan meneliti bermacam ragam manusia yang
kemudiannya menyedarkan beliau mengenai tanggungjawab terhadap Islam.
"Ketika berada dalam kapal terbang, saya melihat menerusi jendela dan
ternampak salji musim sejuk paling teruk sepanjang 20 tahun di Turki.
Ketika itu saya bertanya kepada diri sendiri 'apa yang aku boleh di sini?'
"Ketika transit di Dubai sebelum itu, saya sempat melayari laman
sembang internet dan berbual dengan seorang remaja Turki; saya
memberitahunya bahawa saya dalam perjalanan ke Turki dan sebaik tiba, dia
menunggu saya. Saya bersyukur kerana menemui ramai manusia baik sepanjang
kembara," katanya yang sempat menjadi guru bahasa Inggeris di sebuah
institusi keagamaan di negara itu.
Faizal mengakui bahawa kembara pertamanya ke luar negara menimbulkan
ketagihan dan hingga kini, beliau sudah mengembara ke Uzbekistan, Yaman,
Jordan, Bulgaria, Vietnam dan Thailand.
"Bagi penulis, kembara bukanlah suatu tindakan asing kerana ramai
penulis terutamanya pada zaman dulu mengembara ke negara lain. Antara
perkara asas penulis selain membaca adalah mengembara kerana mereka tidak
boleh menjadi 'katak di bawah tempurung'," katanya.
Pembabitan Faizal dalam dunia sastera bukanlah baru malah dengan
penghasilan masing-masing lebih enam drama, cerpen (100), esei (50),
novel (10), puisi (50) serta menerima lebih 20 anugerah, penulis prolifik
itu berpotensi mencatat nama besar dalam bidang berkenaan, suatu hari
nanti.
Tidak seperti kebanyakan penulis kreatif masa kini yang memilih tema
cinta semata-mata, 'hasil tangan' pemuda itu yang berlegar sekitar
sejarah, politik dan agama dikatakan penuh ideologi dan lain daripada
yang lain.
Ketika mula membabitkan diri dalam dunia penulisan, kebanyakan artikel
Faizal mengenai fikrah Islam dihantar ke Majalah Dunia Islam tetapi karya
kreatif pertamanya iaitu cerpen bertajuk Anatasia hanya disiar Majalah
Muslimah pada 1999.
Cerpen pertamanya itu bagaikan kunci yang membuka pintu untuk Faizal
terus berkecimpung dalam dunia sastera kerana selepas itu, semakin banyak
karya beliau tersiar dalam pelbagai penerbitan.
"Sebelum ini saya menggunakan nama samaran seperti Pasdaran e-Islam
selain nama sebenar tetapi selepas menggunakan nama 'Faisal Tehrani',
banyak karya saya yang tersiar; mungkin nama itu berjaya 'memancing'
perhatian editor," katanya.
Nama pena itu dipilih bagi mencontohi ulama silam yang kerap
menggabungkan nama dan tempat asal masing-masing seperti Sheikh Daud
Fatani. Faizal memilih Tehran kerana ketika memikirkan hal itu, beliau
sedang menonton dokumentari mengenai ibu kota Iraq itu.
Berbanding menggunakan nama 'Faizal', beliau memilih 'Faisal' kerana
mengagumi usaha Raja Arab Saudi, King Faisal yang menggunakan minyak
sebagai senjata menentang Barat ketika itu. Selain itu, ada syair Arab
yang menyebut 'Faisal' sebagai nama pedang Khalifah ar-Rasyidin keempat,
Ali Abi Talib.
"Ketika mula menulis, saya tidak nafikan kerana tertarik dengan
ganjaran kerana setiap karya tersiar akan dibayar tetapi suatu ketika,
saya mula sedar ganjaran dunia sastera tidaklah sebesar bidang lain.
"Hakikat itu disedarkan Sasterawan Negara, A Samad Said dan beliau
banyak menyedarkan saya mengenai matlamat, amanah dan tanggungjawab
penulis. Hasil didikan beliau selain Shahnon Ahmad, Sutung Umar RS,
Zaharah Nawawi dan Othman Puteh mengubah saya daripada menjadi penulis
yang 'main-main' kepada penulis bertanggungjawab," katanya.
Keunikan susunan ayat dan langgam cerita dalam karyanya diperoleh
selepas melalui siri pembelajaran panjang tetapi ia bermula menerusi
pembacaan terhadap karya penulis lain.
"Saya belajar menulis dengan membaca karya penulis lain dan menanam
tekad bahawa saya juga mampu menghasilkan karya lebih baik daripada
penulis itu.
"Bayangkan, ketika pelajar lain sibuk mengulang kaji pelajaran bagi
menghadapi peperiksaan, saya sibuk membaca Hikayat Amir Hamzah, Sejarah
Melayu, Hujan Pagi dan Tunggul-Tunggul Gerigis," katanya yang mengikuti
beberapa bengkel penulisan selepas menamatkan pengajian di Kolej Islam
Klang (KIK).
"Idola pertama saya adalah Datuk A Samad Said dan saya mula berkenalan
dengan beliau selepas menghantar cerpen 'Ops Nadi I' ke Dewan Sastera
iaitu ketika menuntut di Universiti Malaya (UM). Sutung Umar RS yang juga
editor majalah itu menelefon mengatakan karya saya teruk dan menyuruh
saya belajar daripada Pak Samad.
"Saya kemudiannya menelefon Pak Samad dan kami berjumpa di Masjid
Negara selepas solat Jumaat. Selepas itu, selama dua tahun, saya mengikut
Pak Samad merayau pada setiap Jumaat dan sepanjang berkawan dengannya,
kami berbual dan berbincang mengenai kandungan buku yang dipinjamkan
kepada saya," katanya.
Selepas menamatkan pengajian di UM, Faizal melanjutkan pengajian ke
Universiti Sains Malaysia dan di sanalah beliau menemui seorang lagi
penulis veteran iaitu Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad.
"Saya bersyukur kerana mendapat kehalusan gaya penulisan A Samad dan
keberanian Shahnon; saya juga belajar menerapkan unsur satira ke dalam
karya daripada Shahnon," katanya.
Mengenai rutin penulisannya, Faizal menulis dari jam tujuh pagi hingga
lima petang dan sebelum menghasilkan karya terbaru, beliau akan melakukan
kajian mengenai bahan yang akan dikarang.
"Saya ada banyak fail mengenai pelbagai perkara dan setiap kali
menjumpai bahan baru, saya mengkelaskannya mengikut fail. Contohnya sudah
lama saya menyimpan fakta mengenai betik sebelum menghasilkan novel
Tunggu Teduh Dulu yang mengisahkan perladangan betik," katanya yang
memasarkan karyanya di internet iaitu www.se-lain.com dan
www.ujanailmu.com.my.
Perkenalannya dengan dunia penulisan kira-kira 15 tahun lalu akhirnya
membuahkan bibit cinta, walaupun suatu ketika dulu Faizal tidak berhasrat
menceburi bidang itu secara serius, beliau kini memilih untuk terus
mendalami dunia itu sebagai penulis sepenuh masa.
PROFIL
Mohd Faizal Musa
Nama Pena: Faisal Tehrani
Lahir: 7 Ogos 1974
Asal: Kuala Lumpur
Pendidikan:
Kolej Islam Klang, , Sarjana Muda Syariah (Universiti Malaya), Sarjana
Sastera (Universiti Sains Malaysia).
Karya:
Enam drama, 100 cerpen, 50 esei, 10 novel, 50 puisi dan menerima lebih
20 anugerah.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home