| JIKA anda seorang penoreh getah tambahan pula menjadi pemilik ladangnya, saat ini tentunya begitu indah dan cukup melegakan. Paling tidak, anda akan terasa menikmati kemenangan pada teman-teman yang sudah bertukar tanaman atau meninggalkan ladang untuk ke bidang lain. Kebanggaan begitu memang wajar. Selain kayunya menjadi rebutan untuk industri perabot, yang lebih penting ialah harganya sudah melambung - baik keping, susu atau sekerap - sejak beberapa bulan lalu. Kenaikan harga itu pula paling tinggi sepanjang sejarah pasaran getah dunia iaitu sejak perang Korea pada awal 1950-an. Tidak mengapa dengan rutin harian seperti terpaksa bangkit subuh atau sesekali menghadapi musim hujan kerana rata-rata, pekebun kecil yang mengusahakan satu hingga empat hektar boleh meraih pendapatan antara RM100 - RM300 sehari dengan menjual getah beku atau sekerap. Secara kasar penoreh boleh membawa pulang RM2,000 hingga RM5,000 sebulan. Itu pun sekadar bekerja 15 hingga 20 hari sebulan. Sebelum harga mencecah RM7.00 hingga RM9.00 sekilogram mengikut gred, getah pernah mengalami zaman kejatuhan yang teruk. Ketika itu, ada antara penoreh sanggup menebang pohon getah sedia ada dan meratakan tanah untuk tanaman lain termasuk sawit, malah pernah suatu ketika, harga getah jatuh di bawah RM1 sekilogram menyebabkan kehidupan penoreh ketika itu amat perit. Daripada nilai pasaran RM1, penoreh mungkin hanya memperoleh kira-kira 50 sen sekilogram kerana mereka terpaksa bagi dua dengan pemilik kebun, selain potongan daripada peraih dan orang tengah. Ada penoreh terpaksa mengikat perut hingga makan sekali sehari saja. Bagaimanapun, sejak 1999, rahmat mula dirasai penoreh apabila harga komoditi itu terus meningkat beratus kali ganda, sekali gus menjanjikan masa depan yang agak selesa untuk mereka. Dengan kenaikan harga getah yang dijangka untuk satu tempoh lama, industri getah negara kembali ceria malah sudah kedengaran pekerja pejabat kini turun ke kebun untuk menoreh getah sebagai kerjaya sampingan. Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Kamarul Baharain Basir, ketika ditemui Berita Minggu, berkata kenaikan harga getah pada tahap tertinggi dalam sejarah kini disebabkan beberapa faktor antaranya permintaan tinggi dari China akibat perkembangan industri automotif negara itu. Stok simpanan getah yang semakin kurang di China dan Jepun menyebabkan negara itu terpaksa mendapatkan getah import bagi menghasilkan komponen getah untuk kenderaan, terutama tayar. "Harga minyak mentah dunia yang melebihi AS$60 setong pada masa kini menyebabkan getah sintetik yang diperbuat daripada petroleum kurang dihasilkan, sekali gus menyebabkan kebanyakan produk getah kini menggunakan getah asli," katanya. Beliau berkata, faktor lain yang mempengaruhi permintaan adalah keadaan cuaca tidak menentu di negara pengeluar getah terbesar dunia iaitu Thailand selain Indonesia dan Malaysia pada November tahun lalu. Pada masa kini pula, berlakunya musim daun gugur di Thailand dan Malaysia yang menyebabkan pohon getah kurang menghasilkan susu getah. Pengaruh cuaca itu turut menjejaskan pengeluaran getah untuk pasaran dunia. Dr Kamarul berkata, kenaikan harga getah itu dijangka untuk satu tempoh lama berikutan ia bersandar kepada harga pasaran minyak - selagi harga minyak mentah dunia meningkat, selagi itulah harga getah meningkat. Pada 2004, industri getah negara bernilai RM19.6 bilion meliputi perusahaan produk berasaskan susu getah, barangan getah dan perabot kayu getah malah Malaysia adalah antara pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia dengan penghasilan kira-kira 18.2 bilion pasang pada tahun itu. Selain itu, negara kini memiliki keluasan ladang dan kebun getah kira-kira 1.25 juta hektar manakala jumlah penoreh getah dianggarkan 250,000 orang. Getah juga membawa Malaysia menjadi negara pengeluar getah asli terbesar pada 1930-an apabila menguasai 56 peratus pengeluaran dunia. Rekod itu kekal sehingga sekitar 1980-an tambahan pula negara menumpukan kepada sektor pertanian pada zaman awal kemerdekaan. Sehingga kini, negara banyak melakukan penyelidikan dan kajian (R&D) untuk mengeluarkan sumber getah lebih bermutu selain menghasilkan produk getah berkualiti. Dengan peningkatan harga pasaran getah kini, Dr Kamarul yakin ia memberi banyak kelebihan kepada negara terutama kehidupan penoreh getah. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home