Thursday, November 06, 2008

misteri alam

Publication : BM

Edition :

Date : 19/02/2006

Page Number : 01

Headline : Misteri alam

Words : 707

Byline : Oleh Hafizah Iszahanid; Nasron Sira Rahim

Text :


DI SEBALIK arus kemodenan dan kecanggihan teknologi di seluruh dunia,
masih ada beberapa kawasan terpencil di muka bumi dan dasar laut yang
menjadi tempat tinggal makhluk dan hidupan asing sejak sekian lama tapi
di luar jangkauan kemampuan manusia untuk menjejakinya.
Baik di perut bumi, dasar laut mahu pun di atas gunung, kepandaian
manusia terbatas untuk mencari dan membongkar rahsia alam. Kejayaan
penemuan untuk tatapan manusia hanya disiarkan menerusi saluran National
Geographic, Animal Planet dan Discovery Channel.
Keadaan ini sekali gus membenarkan firman Allah SWT mengenai kemampuan
manusia seperti tertera dalam Surah Luqman, ayat 27, bermaksud: "Dan
seandainya pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta),
ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya
tidak akan ada habisnya (dituliskan) kalimat (ilmu dan hikmah) Allah."
Selepas hilang untuk satu tempoh lama, dunia asing kembali ditemui
apabila saintis dan penyelidik biodiversiti mencatat satu demi satu rekod
penemuan spesies flora dan fauna baru. Penemuan unik, aneh dari lokasi
tersembunyi mengesahkan satu perkara kecerdikan dan teknologi manusia
belum mampu membongkar rahsia alam secara total.
Ketika ramai daripada kita masih tertanya-tanya mengenai fisiologi dan
sosiologi makhluk asing yang dikatakan berasal dari planet lain;
rupa-rupanya banyak lagi spesies hidupan bumi - sama ada di lautan atau
daratan - yang belum diketahui.
Bagaimanapun, kesedaran untuk membongkar kewujudan spesies hidupan yang
baru semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sedikit
demi sedikit, penerokaan menjejaki dunia yang hilang mengesahkan teori
adanya hidupan asing itu.
Antara usaha yang kini giat dilakukan adalah projek Bancian Hidupan
Laut (CoML) yang dimulakan pada 2000 dan disertai kira-kira 1,700 saintis
daripada 73 negara bagi merekod dan menjejaki spesies baru bagi hidupan
laut.
Projek berkenaan akan dijalankan selama 10 tahun dan diusahakan secara
bersama oleh kira-kira 250 organisasi seluruh dunia. Menjelang 2010,
saintis menjangkakan akan menjumpai lebih dua juta hidupan laut yang
berlainan spesies.
Sehingga 2003, kajian berkenaan merekodkan kira-kira 15,000 spesies
ikan dan antara 194,000 hingga 214,000 spesies haiwan dan tumbuhan lautan
dengan anggaran antara 150 hingga 200 spesies baru ikan dan kira-kira
1,700 haiwan dan tumbuhan lautan ditemui setiap tahun.
Saintis marin percaya bahawa lautan yang meliputi 70 peratus bentuk
muka bumi mengandung 20,000 spesies ikan dan hampir dua bilion spesies
haiwan dan tumbuhan.
Kebanyakan spesies terdiri daripada hidupan kecil seperti cacing dan
obor-obor. Sehingga kini, saintis sudah meneroka ke dasar laut sehingga
melebihi kedalaman 4,000 meter bagi mencungkil rahsia hidupan dan spesies
baru.
Selain usaha menjejaki spesies hidupan lautan dalam, saintis juga turut
menumpukan usaha meneroka dunia yang hilang di lokasi terpencil di
daratan antaranya penemuan 20 spesies baru katak, kanggaru (enam), pohon
palma (lima) dan rama-rama (empat) dalam satu ekspedisi hutan tropika
Gunung Foja, Papua New Guinea, timur Indonesia Disember lalu.
Ekspedisi 11 penyelidik diketuai Bruce Beehler itu dianjurkan bersama
Institut Sains Indonesia dan Pertubuhan Hutan Simpan Antarabangsa yang
berpusat di Amerika Syarikat.
Mungkin kemuncak pada pembongkaran misteri kewujudan spesies baru
adalah penemuan tengkorak dan tulang temulang yang kemudiannya dikenal
pasti sebagai spesies manusia kerdil pada 2004.
Dirujuk sebagai "Hobit" oleh kumpulan penyelidik, ia ditemui tertanam
di hutan tebal di Indonesia pada kedalaman 5.9 meter. Saintis percaya
kumpulan manusia kerdil ini tinggal di Pulau Flores sejak 12,000 tahun
lalu.
Spesismen pertama yang ditemui dipercayai berusia 18,000 dikenali
sebagai Liang Bua 1 atau LB 1 dikenal pasti sebagai spesies baru
dinamakan Homo Floresiensis. Satu lagi spesies manusia kerdil dikenali
`Homo erectus' ditemui di sekitar Pulau Jawa.
Jika berpandu pada peta biodiversiti dunia, kebanyakan spesies baru
daratan tertumpu di kawasan kecil meliputi 25 wilayah. Begitupun secara
total jumlah itu hanya meliputi 1.4 peratus dari keseluruhan muka bumi.
Lokasi itu meliputi Wilayah California, Amerika Tengah, Caucasus
(kawasan seluas 500,00 kilometer persegi antara Laut Caspian dan Laut
Hitam termasuk sebahagian Georgia, Armenia, Azerbaijan, Rusia, Iran dan
Turki); Polinesia dan Mikronesia (1,000 pulau antara 21.6 juta kilometer
persegi di selatan Lautan Pasifik), Hutan Atlantik Brazil (Hutan Amazon
yang meliputi 10 peratus dari bumi Brazil).
Sesuatu yang menarik di Hutan Amazon adalah kebanyakan spesies ditemui
sangat unik termasuk 72 dari 620 spesies burung yang bersifat endemik di
Afrika Timur (meliputi timur Gunung Arc dan bahagian hutan berpantai di
Tanzania dan Kenya), Madagascar, Barat Ghats di India, Indonesia dan
barat daya Australia.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home