Thursday, November 06, 2008

hukum sambutan hari kekasih

Publication : BM

Edition :

Date : 12/02/2006

Page Number : 10

Headline : Valentine - mudahnya kita terpengaruh

Words : 600

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KEHADIRAN 14 Februari pada setiap tahun sering ditafsirkan pasangan
bercinta terutama remaja sebagai bulan menyemarakkan ikatan kasih, malah
keghairahan meraikan sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih itu tidak
pernah luntur.
Menjelang tarikh itu, pasangan kekasih mula memilih restoran atau
lokasi istimewa untuk membolehkan mereka menghabiskan masa bersama selain
menempah kad ucapan, hadiah, coklat atau bunga sebagai tanda peringatan
hari berkenaan.
Tidak dinafikan, ada remaja Islam negara ini yang turut terpengaruh
untuk bersama meraikannya; biarpun Hari Valentine bukanlah berasal
daripada rentetan sejarah dan budaya Islam. Jadi, umat Islam tidak wajar
merayakannya.
Ada beberapa versi mengenai sejarah kewujudan hari berkenaan dan antara
yang popular adalah perayaan itu dipercayai diadakan bagi memperingati
kematian pendeta Romawi, Pedro St Valentine yang dijatuhi hukuman mati
pada 14 Februari 270M.
Lelaki itu dikatakan dipenjara sehingga mati selepas mengingkari arahan
Raja Claudius II yang mengarahkan supaya semua pendeta tidak menikahkan
mana-mana pasangan bagi memastikan golongan pemuda menyertai tentera dan
keluar berperang.
Tindakan Raja Claudius II itu tidak disokong masyarakat termasuk
Valentine yang kemudiannya meneruskan upacara pernikahan secara
senyap-senyap.
Bagaimanapun, tindakan Valentine diketahui Raja Claudius II dan dia
dipenjara sehingga mati. Bagi memperingati perjuangan Valentine, maka
penganut Kristian meraikan hari berkenaan pada setiap 14 Februari setiap
tahun.
Cinta adalah fitrah yang dilahirkan bersama kewujudan manusia di dunia
ini. Sehubungan itu, Islam tidak pernah melarang penganutnya saling
kasih-mengasihi antara satu sama lain malah amat menggalakkannya.
Dalam cinta terlarang, kita sanggup mengabaikan hak Allah sehingga
mengundang kemurkaan-Nya.
Dalam konteks percintaan, seharusnya keimanan terhadap Allah mendahului
segala keinginan duniawi. Cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak
dan keperibadian Islam tanpa sebarang kepentingan dan keinginan nafsu.
Perasaan cinta yang tidak mematuhi syariat Islam lazimnya sering
terdedah kepada risiko dan bahaya zina, disengajakan atau kerana tidak
mampu menahan godaan nafsu dan syaitan.
Jika tidak dapat menggoda lelaki dan wanita itu melakukan kemaksiatan
ketika bersama, syaitan akan berusaha supaya mereka tidak khusyuk dalam
beribadat kerana terlalu mengingati pasangan mereka.
Lebih membimbangkan apabila individu terbabit lebih mengasihi dan
mendambakan kasih temannya melebihi Allah sehingga menjadikannya syirik,
kufur dan murtad.
Perasaan cinta yang dipandu dengan keimanan kepada Allah dan
syariat-Nya diharapkan dapat menyelamatkan manusia seterusnya mencapai
tahap kebahagiaan sejati di syurga Allah.
Bagaimanapun, perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan
ditetapkan-Nya supaya ia mencapai matlamat penciptaan iaitu untuk
menyelamat, mententeramkan dan membahagiakan manusia.
Antara peraturan cinta yang ditetapkan Allah adalah seperti firman-Nya:
"Katakanlah: jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu,
isteri-isterimu, kerabat-kerabatmu, harta kekayaan yang kamu usahakan,
perniagaan yang kamu khuatirkan kerosakannya dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu senangi lebih kau cintai daripada Allah dan Rasul-Nya
serta jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya.
"Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik,"
(At-Taubah: 24).
Menerusi ayat itu, dapatlah disimpulkan bahawa ada beberapa kategori
cinta yang wujud dalam diri manusia iaitu cinta kepada Allah dan Rasul,
cinta kepada manusia serta cinta kepada harta duniawi.
Daripada kategori ini, cinta hakiki hanya kepada Allah dan Rasul-Nya
manakala cinta kepada manusia dan harta keduniaan adalah ujian yang
diberikan Allah bagi menentukan tingkat keimanan dan ketakwaan manusia
itu sendiri.
Dalam konteks cinta kepada manusia, peraturan pertamanya adalah - kita
dibenarkan mencintai sesiapa saja tetapi perasaan cinta itu perlu dibina
atas dasar cinta kerana Allah.
Antara tanda kita mencintai seseorang itu kerana Allah ialah kita
sentiasa mendahulukan kehendak Allah sebelum memenuhi kehendak individu
yang kita cintai. Dalam kenikmatan mencintai seseorang individu, kita
turut merindui untuk bermunajat dan qiamulail kepada Allah, sentiasa
solat pada awal waktu, lidah pasti sentiasa menyebut nama-Nya dan
bersedia berkorban harta dan jiwa untuk-Nya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home