| MEMASUKI usia remaja, Syed Amir Muzzakkir Syed Mohamad dan Shakiroh Saibon tidak dapat lari daripada dunia percintaan. Akhirnya mereka memutuskan untuk berkahwin pada usia yang dikira masih muda iaitu 21 tahun. Bagaimanapun, mereka menyedari bahawa hakikat sebenar percintaan bukanlah sekadar mencipta kenangan indah bersama menerusi keluar bertemu janji, saling mengungkapkan kata romantis dan rindu-merindui, tapi lebih daripada itu. Pasangan itu sedar, cinta adalah suatu yang suci dan kesuciannya perlu terus dipelihara; percintaan sejati perlu dibina dan disuburkan menerusi perkahwinan kerana kaedah itulah yang mampu mengekalkan cinta dalam fitrahnya yang sebenar. Lalu, ketika masing-masing baru berusia 21 tahun dan masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor; Syed Amir melamar Shakiroh yang ketika itu mengikuti Sarjana Muda Ekonomi dan Syariah. Lamaran diterima dengan penuh keinsafan terhadap ketetapan Tuhan serta kepatuhan terhadap syariat dan pasangan itu akhirnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Jun 2003 iaitu ketika masing-masing masih di alam remaja. "Sebenarnya saya ingin mengelak fitnah daripada masyarakat sekeliling, jika dilihat kepada pasangan remaja yang bercinta terutama di kampus, ada yang tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan akhirnya gagal. "Saya juga pernah mengikuti operasi mencegah maksiat dan melihat sendiri bermacam-macam kesan membabitkan pasangan bercinta jadi saya merasakan hanya dengan berkahwin dapat mengelakkan keruntuhan moral di kalangan remaja," kata Syed Amir. Beliau yang kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul al-Fiqh, berkata hubungan antara lelaki dan wanita terpelihara apabila berkahwin malah ia adalah kaedah untuk menutup banyak pintu maksiat. "Bercinta sebelum berkahwin tidak perlu lama kerana percintaan selepas berkahwin lebih manis; bercinta sebelum kahwin sebenarnya banyak hipokrit tetapi selepas kahwin, kita mengetahui perangai sebenar pasangan dan menghadapi ujian secara bersama," katanya. Menceritakan pertemuan mereka, Syed Amir mula mengenali Shakiroh ketika sama-sama menuntut di Pusat Matrikulasi UIA tetapi hasrat untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat timbul ketika masing-masing menyertai Kelab Maaruf, ketika di UIA. Mereka berkenalan dan kurang setahun selepas itu, Syed Amir melamar Shakiroh seterusnya melangsungkan perkahwinan tidak lama selepas itu. "Ketika itu saya sudah mengajar kuliah agama secara sambilan di masjid, sekolah agama rakyat selain di Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) dan saya berkemampuan untuk menyara keluarga; dengan tambahan daripada pinjaman pendidikan, mencukupi untuk kehidupan kami. "Selepas berkahwin, duit kami tidak dihabiskan dengan sia-sia. Sebelum kahwin dulu, banyak wang yang ada dihabiskan untuk aktiviti yang tidak berfaedah tetapi kini, kami lebih bijak menguruskan kewangan," katanya. Beliau berkata, walaupun ingin berkahwin pada usia muda, pasangan perlu memastikan mereka berkemampuan menguruskan rumah tangga sama ada aspek ekonomi, ilmu kekeluargaan, pengetahuan agama selain memahami erti sebuah perkahwinan. "Ketika menyuarakan hasrat untuk berkahwin kepada keluarga saya, bapa memberi 'ujian' iaitu saya perlu menguruskan sendiri prosedur dan menyediakan wang perbelanjaan perkahwinan dan apabila saya berjaya melalui ujian itu, mereka menerima hasrat saya," katanya. Isterinya, Shakiroh berkata, beliau terkejut apabila suaminya itu menyuarakan hasrat untuk berkahwin pada usia muda kerana tidak menyangka jodohnya akan tiba secepat itu. Bagaimanapun, selepas bertanya kepada keluarganya, mereka tidak membantah malah menggalakkan. Walaupun masih belajar, keluarga mereka dimurahkan rezeki selepas mengikat tali perkahwinan apabila suaminya mendapat banyak tawaran mengajar agama malah pencapaian akademik masing-masing semakin baik iaitu melebihi 3.0 purata nilai gred kumulatif (CGPA). Malah, Syed Amir turut dipilih UIA untuk mengikuti pengajian kursus Pendakwah dan Imam di Maahad Rabitah, Mekah selama setahun pada September 2004. "Antara amalan kekeluargaan yang kami amalkan adalah toleransi, memasak dan makan di rumah serta wajib bersolat jemaah; solat berjemaah dan berdoa bersama itulah nikmat dalam perkahwinan kerana ia tidak dapat dilakukan ketika belum berkahwin. Saya rasa bahagia," katanya. Syed Amir berkata, berkahwin pada usia muda secara tidak langsung melatih pasangan menjadi lebih bertanggungjawab serta matang dan beliau mengakui berbanding ketika bujang, hidupnya kini lebih fokus kepada masa depan rumah tangga mereka dan sasarannya untuk memperoleh Doktor Falsafah (PhD) sebelum usia 30 tahun. "Selepas berkahwin, hati saya menjadi lebih tenang, ibadat lebih khusyuk dan saya tidak lagi membuang masa sebaliknya menumpukan masa terhadap keluarga dan belajar," katanya yang berhasrat untuk menjadi pensyarah dan motivator. Daripada menjadi suami isteri pada usia remaja, pasangan itu kemudiannya bergelar ibu bapa pada usia muda apabila kebahagiaan rumah tangga mereka diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata, Syed Alif Munzir pada 10 Ogos 2004. "Untungnya apabila menjadi ibu bapa ketika muda adalah apabila kita berusia 40 tahun, anak kita baru remaja dan berusia kira-kira 20 tahun; mudah untuk kita menjaga mereka malah mereka juga dapat menjadi kawan kepada kita," katanya. Syed Amir berkata, beliau kini banyak membaca kitab mendidik anak-anak menurut Islam manakala Shakiroh pula tidak segan bertanyakan pengalaman orang lain untuk terus mendalami ilmu keibubapaan. Mengenai alasan segelintir masyarakat bahawa mereka ingin mencari pasangan sesuai terlebih dulu, beliau menjelaskan keadaan itulah yang menyebabkan berlakunya pelbagai gejala sosial kerana individu terbabit akan kerap bertukar pasangan kononnya ingin mencari kesesuaian. Beliau menjelaskan individu yang ingin mencari pasangan mengikut Islam boleh merisik untuk mengetahui sikap dan amalan agamanya malah kaedah terbaik adalah merisik terus kepada ibu bapa pasangan berkenaan. Di sebalik kasih sayang yang disemai terhadap suami, isteri atau keluarga, Syed Amir menjelaskan percintaan sebenarnya haruslah bersandarkan kepada Allah SWT dan manusia perlu mencintai Tuhan terlebih dulu sebelum mencintai makhluk ciptaan-Nya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home