| ERTI kemerdekaan ditakrif secara berbeza oleh individu yang berada dalam ruang lingkup berlainan sama ada pengalaman, pengetahuan mahupun perbezaan bangsa dan agama. Dalam Seminar Islam Hadhari - Kefahaman Mengenai Rakyat Berjiwa Merdeka, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Pensyarah Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Adi Setia Mohd Dom, membentangkan pandangan beberapa tokoh pemikir Islam mengenai jiwa merdeka. Bagi Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, pemahaman mengenai merdeka tidak hanya bersandarkan kepada hakikat luaran insan, malah perlu merujuk kepada aspek dalaman membabitkan jiwa dan akal. Hal ini disebabkan rupa luaran yang menunjukkan keperibadian berubah dari muda hingga tua, manakala keperibadian rohaniah dan akal budi kekal sepanjang hayat. Dalam monograf karangannya bertajuk Risalah Untuk Kaum Muslimin, beliau menjelaskan insan adalah kesatuan atau kesepaduan antara rupa dan jiwa, jasad dan nyawa serta jasmani dan rohani serta dalam kesatuan itu, aspek kerohanian lebih hakiki daripada aspek jasmani. Katanya, insan sebenarnya merujuk kepada hakikat rohaniah yang mempengaruhi insan merdeka untuk memilih antara benar atau salah. Individu itu perlu bertanggungjawab terhadap pemilihan dibuatnya berdasarkan pengadilan dirinya, masyarakat dan pengadilan Tuhan di Hari Pengadilan. "Islam menganjurkan suatu fahaman keperibadian insan berdasarkan kepada diri rohani dan berbeza dengan fahaman 'individualisme' Barat yang lebih mirip pada dasar diri jasmani. "Begitu juga fahaman kebebasan keperibadian diri insan. Mengikut Islam, ia adalah kebebasan diri rohani, dan daripada itu maka 'kebebasan' bererti 'keadaan pemulihan serta penyaksian diri terhadap hakikat semula jadinya'. "Gerak daya yang digelar 'bebas' itu menyerahkan diri jasmani tunduk kepada diri rohani dengan cara mematuhi undang-undang serta hukum akhlak yang ditetapkan agama. Ia bukan sebaliknya seperti difahami kebudayaan Barat, iaitu bahawa ia harus membebaskan diri jasmani daripada undang-undang serta hukum akhlak yang ditetapkan agama, yang dianggapnya seakan-akan belenggu jua," katanya. Bagi tokoh mujahid dan mujadid besar pada zaman pergolakan peralihan Empayar Uthmaniyyah ke Republik Turki, Badi'uzzaman Sa'id Nursi, kemerdekaan ialah kebebasan dalam kerangka sistem nilai akhlak syariat. Ia memastikan seseorang itu tidak mencederakan orang lain dan dirinya sendiri, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Kemerdekaan diluar kerangka kehendak syariat bererti kebebasan dalam kerangka kehendak hawa nafsu yang mendorong kepada perasaan dan keinginan melampaui batas hingga membinasakan diri sendiri secara zahir dan batin. Kemerdekaan sebenar merujuk kepada kebebasan mengawal dorongan hawa nafsu agar mencapai matlamat membina dan bukan meruntuh. Pemikir Islam, Muhammad Iqbal dalam bukunya bertajuk The Reconstruction of Religious Thought in Islam (Pembinaan Semula Pemikiran Agama dalam Islam), menyatakan kebebasan dan kemerdekaan hakiki berpunca daripada jiwa yang mendasari kesepaduan kesedaran insan. "Jiwa dipengaruhi alam, namun ia tetap merdeka dan tidak terikat dengan alam. Kerana itu jiwa mampu menafsirkan alam dengan cara yang membawa erti, makna dan kebaikan bagi diri jiwa itu sendiri," katanya. Imam al-Ghazali menerusi karya besarnya, Ihya' Ulum al-Din, menerangkan secara terperinci kaedah amali untuk melatih jiwa supaya manusia itu merdeka daripada nafsu seterusnya menuju kemerdekaan hakiki. Kesimpulannya kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan yang membina nilai positif dalam diri sebagai khalifah di dunia ini dan bukan meruntuhkan nilai sedia ada. Ia dapat diperhatikan jika masyarakat itu kembali menghayati ajaran Islam sebenar dan menolak doktrin yang menyeleweng daripada syariat. Kemerdekaan seharusnya dinilai tidak saja daripada aspek kemajuan luaran, tapi diimbangi dengan kemajuan akhlak dan nilai bangsa. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home