| KUALA LUMPUR: Saintis digalak mengadakan perbincangan dengan pakar dan pendakwah Islam bagi menghasilkan teknologi yang dapat membantu mempermudahkan umat Islam menunaikan ibadat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata penciptaan teknologi adalah sebahagian daripada usaha menyebarkan syiar Islam kerana kegiatan dakwah tidak tertumpu kepada ceramah dan seminar semata-mata. "Pakar dalam pelbagai bidang perlu membantu kerajaan menyebarkan Islam dan pihak terbabit tidak seharusnya memikirkan bahawa usaha dakwah hanya terhad kepada penjawat agama semata-mata," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Telefon Bimbit Ilkone Bercirikan Aplikasi Islam di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Telefon bimbit keluaran Ilkone Asia Pte Ltd itu mengandungi perisian menentukan waktu solat, pencarian kiblat serta paparan 30 juzuk al-Quran digital. Ia sudah dipasarkan di beberapa negara Asia Tengah antaranya Jordan, Syria, Sudan, Yaman dan Lubnan manakala di negara ini telefon itu dijual oleh Yadim pada harga RM1,350. Abdullah berkata, usaha seperti penciptaan al-Quran digital perlu kerana selain mempermudahkan ibadat mengikut masa dan tempat, ia bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam teknologi. "Usaha seperti ini perlu di dukung individu Muslim kerana ia secara tidak langsung mampu menyebarkan syiar Islam kepada seluruh masyarakat, malah pada abad ini, umat Islam perlu memanfaatkan teknologi sedia ada kerana ajaran Islam sentiasa bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya. Beliau bagaimanapun berkata, penciptaan dan penggunaan teknologi itu perlulah bertujuan memberi kebaikan kepada masyarakat dan tidak disalahgunakan untuk tujuan yang bertentangan dengan syariat Islam. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home