| REMAJA yang dipilih menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan merasai keseronokan dan kegembiraan 'pakej pelancongan eko-pelancongan' apabila Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) menyasarkan semua kem latihan di seluruh negara menjadi kem dalam taman. Ini selaras tindakan MLKN mengkelaskan 76 kem latihan di seluruh negara kepada sistem bintang seperti diamalkan industri perhotelan, bagi memastikan pengusaha kem menyediakan kemudahan dan persekitaran terbaik kepada pelatih. Pengerusi MLKN, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata menerusi sistem yang baru diperkenalkan itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memantau dan menilai semua aspek kem berkenaan. Beliau berkata, hasil laporan dan pengelasan semua kem dijangka disiapkan penghujung tahun ini dan antara kriteria ditetapkan sebagai pemarkahan adalah persekitaran, aspek pemakanan, bangunan, kemudahan asas, penginapan pelatih, kawalan keselamatan dan kemudahan elemen latihan. "Semua pengusaha kem haruslah memberi kemudahan 'mesra pelatih' serta menyediakan kemudahan selesa kerana pelatih akan berada di kem berkenaan untuk satu tempoh lama iaitu kira-kira tiga bulan," katanya. Lee berkata, penggunaan sistem bintang itu membuktikan MLKN sentiasa memberi perhatian serius terhadap prasarana dan keadaan kem dalam usaha menjadikan kem PLKN umpama kem dalam taman. "Klasifikasi ini bergantung kepada sejauh mana kem mengambil daya usaha untuk melengkapkan prasarana yang dikehendaki mengikut Schedule of Compliance (SOC) yang ditetapkan Bahagian Pembangunan, Kementerian Pertahanan," katanya. Kem yang mendapat tahap di bawah tiga bintang selepas penilaian dibuat akan diarahkan membuat penambahbaikan bagi mencapai tahap sekurang-kurangnya tiga bintang. "Jika pengusaha kem masih gagal mencapai tahap ditetapkan, tindakan susulan akan diambil seperti mengurangkan jumlah pelatih di kem itu pada masa depan," katanya. Antara kem yang berjaya diklasifikasikan bertaraf empat bintang pada penilaian peringkat awal adalah Kem Cahaya Gemilang, Cherating, Pahang yang dikendalikan Fauzun Abdul Samad. Fauzun berkata, walaupun kem miliknya diiktiraf bertaraf empat bintang, beliau masih belum berpuas hati dan berhasrat memperbaiki keadaan itu bagi memastikan pelatih memperoleh persekitaran yang terbaik dan selesa. Beliau berkata, kem seluas kira-kira 12 hektar dan bernilai kira-kira RM6 juta itu diharap dapat dijadikan kem dalam taman dan beliau berhasrat membangunkan landskap menarik sebagai perancangan seterusnya. Katanya, pengusaha kem harus menyediakan kemudahan terbaik kepada pelatih kerana kem PLKN secara tidak langsung menggambarkan nama baik program itu menyebabkan sedikit kesilapan bakal menjejaskan imej PLKN di mata masyarakat. "Jika pelatih selesa, ini memberikan kepuasan kepada saya kerana sebagai tempat menuntut ilmu, keadaan kem mestilah memudahkan mereka. Untuk itu, pelan bangunan mestilah dirangka dengan teliti dengan mengambil kira faktor masa dari suatu tempat ke tempat lain," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home