Thursday, November 06, 2008

ujian duniawi

Publication : BH

Edition :

Date : 15/09/2005

Page Number : 15

Headline : Hikmah di sebalik penderitaan, kesulitan

Words : 418

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


UMPAMA pepatah - langit tidak selalu cerah - begitulah untung nasib
manusia. Justeru, dalam meniti detik perjalanan hidup, pasti ada pada
masanya kita akan mengalami erti kesengsaraan dan kekecewaan. Bahagia dan
ketenangan hati yang dikecap sekian lama umpama lenyap begitu saja.
Tiada siapa yang menyangka, dengan sekelip mata kita mungkin kehilangan
orang dikasihi. Ibu bapa atau isteri meninggal dunia akibat kemalangan.
Kisah lain mungkin kita dibuang kerja atau perniagaan yang diharap
menampung kehidupan keluarga akhirnya muflis.
Kebanyakan kita mungkin kecewa, sedih dan tertekan pada mulanya,
fikiran buntu mengenangkan kehidupan diri dan keluarga selepas itu.
Lebih ditakuti apabila akhirnya menyalahkan takdir, malah sudah ada
cerita dan kes di negara ini atau di negara lain, si polan membunuh diri
atau melakukan perkara yang tidak waras akibat tekanan hidup.
Ramai yang mudah berputus asa daripada memikirkan cara menangani
masalah dan ujian itu. Masalah sebegini walaupun tidak dapat diatasi,
mereka harus menerimanya dengan reda dan yakin pasti ada hikmah di
sebalik peristiwa pahit itu.
Mungkin hikmah itu terselindung di sebalik kebendaan duniawi, tetapi
tidak di sisi Allah kerana manusia beruntung adalah yang mendapat
keredaan-Nya. Jika kita menjadikan akhirat dan reda Allah itu sebagai
matlamat, maka segala ujian bersifat keduniaan dianggap remeh saja.
Allah adalah pencipta manusia, maka Dia mengetahui bahawa pasti ada
hamba-Nya yang akan bersedih akibat mengalami 'zaman kejatuhan'. Malah,
Rasulullah SAW sendiri pernah bersedih antaranya apabila diusir dan
dikasari penduduk Taif sehingga kepalanya berdarah, ketika cuba berdakwah
selepas kematian isteri, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukashafah al-Qulb menerangkan barang
siapa ingin selamat daripada azab Allah, dapat pahala dan rahmat-Nya
serta masuk syurga, hendaklah dia menahan nafsu terhadap keinginan dunia,
selain sabar menghadapi kesulitan dan musibahnya.
Sebagai insan yang mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi
Muhammad itu pesuruh-Nya, yakinlah bahawa segala kesulitan yang dihadapi
dengan sabar tidak membawa sebarang kerugian. Ia sebenarnya peluang untuk
mendekatkan diri dengan pintu syurga.
Sedarlah, kita mungkin ditimpa kesulitan, tetapi bersyukurlah kerana
masih hidup dan memiliki kudrat untuk merubah kesulitan itu berbanding
insan lain yang lebih berat tekanan dan dugaannya.
INFO
Enam ubat kedukaan dalam kitab Al-Farj Ba'da al-Syiddah
* Percaya penuh kepada Allah.
* Kesedaran bahawa semuayang berlaku adalah takdir Allah.
* Sabar adalah senjata paling ampuh bagi mereka yang diuji.
* Jika tidak dengan sabar, apa lagi yang boleh dilakukan kerana resah
dan kesedihan berterusan tidak akan menyelesaikan kesulitan itu.
* Mungkin saya akan berada dalam keadaan yang lebih teruk daripada
keadaan sekarang.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home