Thursday, November 06, 2008

mencerap anak bulan

Publication : BH

Edition :

Date : 29/10/2005

Page Number : 17

Headline : Mencerap anak bulan Syawal

Words : 1271

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


MENJELANG 1 Syawal pada setiap tahun, hampir semua umat Islam di negara
ini akan menunggu dengan penuh debaran di hadapan televisyen atau radio
bagi mendengar pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh
Aidilfitri.
Ia bagaikan satu tradisi bagi permulaan sambutan perayaan berkenaan
kerana sebaik pengisytiharan dibuat, umat Islam akan bertakbir
beramai-ramai jika diumumkan 1 Syawal pada keesokan hari atau meneruskan
puasa terakhir jika sebaliknya.
Sebelum pengisytiharan tarikh itu dapat dibuat, Majlis Raja-Raja
terlebih dulu perlu memperkenankan keputusan yang dibuat Jawatankuasa
Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya yang ditubuhkan pada 1982.
Seperti bulan Hijrah lain, penentuan masuknya awal bulan Syawal adalah
berdasarkan kepada pergerakan bulan mengelilingi bumi.
Kajian mengenai ilmu falak dalam menentukan takwim Islam semakin
berkembang pada zaman kegemilangan sains Islam dengan kehadiran ramai
tokoh seperti Yaqub ibnu Tariq, al-Khawarizmi, al-Battani, al-Farghani,
al-Sufi, al-Biruni, al-Tusi dan Omar al- Khayyam.
Ulama terkemuka, Ibnu Khaldun menakrifkan ilmu falak sebagai ilmu
mengenai bintang yang bergerak atau berpusing dan gerakan itu boleh
diketahui melalui cerapan atau hitungan, berdasarkan ciri pergerakan dan
kedudukannya.
Keperluan melihat anak bulan sebagai penentuan awal Ramadan dan Syawal
adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Bukhari dan
Muslim iaitu: "Berpuasalah kamu dan berhari rayalah kamu dengan melihat
anak bulan, jika anak bulan diliputi mendung maka cukupkanlah 30 hari."
Berdasarkan al-Quran, hadis serta pendapat ulama terkemuka, terdapat tiga
amalan berbeza dalam menentukan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah iaitu
pengamatan terhadap anak bulan (rukyah), menghitung jangkaan nampak anak
bulan (hisab) serta kedua-duanya.
Di negara ini, amalan menentukan awal Syawal atau tibanya Aidilfitri
adalah menerusi amalan rukyah dan hisab berdasarkan jangkaan nampak anak
bulan (imkanur rukyah) yang digunakan sejak 1982 sehingga kini.
Seperti penentuan hadis sebagai antara sumber hukum, maka kegiatan
melihat bulan akan terus menjadi asas penentuan bulan hijrah amnya dan
ketibaan Aidilfitri khususnya.
DEFINASI ILMU FALAK
Definisi Ilmu Falak dipetik dari buku Pengenalan Ilmu Falak, Baharrudin
Zainal, DBP 2002
* ILMU FALAK adalah salah satu cabang sains tulen yang mengkaji
perjalanan cakerawala seperti bumi, bulan, matahari dan bintang-bintang.
* `FALAK' dari bahasa Sumerian `pilak' bermaksud sesuatu yang berputar.
Bahasa latin, astronomi - ilmu mengenai bintang.
* HARTMANN 1987: Sains yang mengkaji objek-objek di angkasa.
* AL-QURAN: benda yang beredar di langit - Surah Yasin: 40 dan
Al-Anbiya:33.
* AL-BIRUNI: Sesuatu yang saling bertukaran.
* IKHWAN AS-SHAFA: Ilmu yang mengkaji mengenai suria, menghitung jumlah
bintang, mengukur pembahagian gugusan bintang, jarak, saiz dan pergerakan
cakerawala serta mengetahui segala sesuatu yang berkaitan.
* IBN KHALDUN: Ilmu yang mempelajari mengenai pergerakan tetap bintang,
sama ada yang bergerak atau berpusing.
Gerakan itu boleh diketahui menerusi cerapan atau hitungan. Ilmu
hitungan pula hendaklah berdasarkan kepada pengetahuan mengenai ciri-ciri
pergerakan dan kedudukannya.
SEJARAH MELIHAT ANAK BULAN SEBAGAI TAKWIM HIJRAH
* TAKWIM HIJRAH lendar lunar, berpandukan peredaran bulan, diilhamkan
Khalifah ar-Rasyidin Kedua iaitu Umar al-Khatab. Berbanding 365 hari pada
kalendar Masihi yang berpandukan peredaran matahari, Takwim Islam
mengandungi 354 hari setahun.
* SEJAK kedatangan Islam di Nusantara, masyarakat menentukan permulaan
tarikh bagi semua bulan dengan melihat anak bulan dan memulakan bulan
baru hijrah selepas melihat anak bulan atau bulan sabit yang pertama di
ufuk barat selepas waktu Maghrib. Mereka mengamalkan konsep bahawa
bilangan bulan hijrah itu sama ada 29 hari atau 30 hari.
* MELIHAT anak bulan turut dijadikan asas takwim dalam beberapa tamadun
terdahulu seperti Mesir Purba, Babylonia, Hindu dan Tamadun Islam.
* PADA 1978, ahli astronomi dan ahli takwim Islam membuat pendekatan
baru mengenai takwim rukyah, iaitu berdasarkan kemungkinan nampak anak
bulan (imkannur rukyah) yang diperkenalkan melalui Resolusi Persidangan
Anak Bulan Negara Islam di Istanbul (Resolusi Istanbul 1978). Ia
diperkenalkan bagi mengatasi masalah awal bulan hanya ditentukan jika
anak bulan dapat dilihat.
* PADA 1982, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam menubuhkan
Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya untuk menyelaras perkara
teknikal berkaitan takwim Islam selain menyediakan dokumen penetapan awal
Ramadan, Syawal dan Zulhijjah untuk Majlis Raja-Raja yang akan diumumkan
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
* PADA 1992, keseragaman tarikh penting itu dilakukan Malaysia dengan
Indonesia, Brunei dan Singapura hasil kesan langsung daripada pertemuan
tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia
dan Singapura (MABIMS). Jawatankuasa itu menetapkan syarat baru bagi
menggantikan syarat Resolusi Istanbul 1978 berikutan masalah perbezaan
faktor geografi.
PERBEZAAN
RESOLUSI ISTANBUL 1978
Ahli astronomi dan ahli takwim Islam sepakat anak bulan dapat dilihat
jika:
1. Tinggi anak bulan tidak kurang dari lima darjah dari ufuk barat.
2. Jarak sudut anak bulan ke matahari tidak kurang dari lapan darjah.
3. Umur anak bulan tidak kurang dari lapan jam setelah ijtimak terjadi.
RESOLUSI MABIMS
1. Tinggi anak bulan tidak kurang dari dua darjah dari ufuk barat.
2. Jarak sudut anak bulan ke matahari tidak kurang dari tiga darjah.
3. Umur anak bulan tidak kurang dari lapan jam pada hari rukyah setelah
ijtimak terjadi.
HISAB
Kaedah hisab menggunakan hitungan hisab untuk mengetahui kedudukan
bulan dan matahari seterusnya merumuskan mengenai kewujudan anak bulan.
Dua kaedah masyhur digunakan adalah berdasarkan `ijtimak' (penghubung)
dan `wujudulhilal'.
* Ijtimak Kaedah ini menggunakan peristiwa ijtimak sebagai kayu ukur
bagi menentukan kewujudan anak bulan yang mana anak bulan ditakrifkan
wujud jika ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam.
Kaedah ini tidak digunakan di Malaysia kerana dianggap menyalahi maksud
hadis Rasulullah saw bahawa anak bulan perlu disabitkan `boleh nampak.'
* Hakiki Wujudul Hilal Kaedah ini pula menggunakan detik bulan dan
matahari terbenam sebagai ukuran yang mana bulan jika terbenam lebih
lewat daripada matahari, sudah dianggap wujud. Kaedah ini juga tidak
digunakan di negara ini, berdasarkan alasan bulan yang terbenam lima
minit selepas matahari terbenam belum dibuktikan `boleh nampak'.
RUKYAH
Kaedah ini adalah kaedah silam yang mana bilangan hari ditentukan
berdasarkan kaedah Urfi, kemudian semakan dibuat bagi memastikan tarikh
rukyah yang sepatutnya. Penentuan awal bulan bergantung penuh kepada
keputusan rukyah.
Jika ada pihak berkuasa yang mengaku menyaksikan anak bulan dan selepas
ditinjau ia memenuhi syarat syariat dan sesuai dengan sunnah, maka malam
itu dikira masuk bulan baru.
RUKYAH DAN HISAB
Kaedah ini adalah lebih baik daripada kaedah hisab dan rukyah
semata-mata. Kaedah ini menjadikan rukyah dan hisab satu entiti mengikut
satu kaedah iaitu penggunaan kaedah saintifik bagi menentukan kenampakan
anak bulan. Kaedah ini dikenali di Malaysia sebagai `Imkanur Rukyah'.
Kaedah ini menggunakan justifikasi kedudukan bulan dan matahari, faktor
ijtimak, terbenam matahari dan bulan bagi merumuskan sama ada anak bulan
`ada dan boleh nampak dalam situasi biasa'.
Kaedah ini membolehkan hitungan awal bulan dibuat untuk satu tahun atau
tahun akan datang dengan cara saintifik tanpa mengambil kira faktor tidak
piawai iaitu masalah cuaca. Cuaca menjadi faktor terbesar dalam kaedah
rukyah semata-mata. Kaedah ini diguna di Malaysia berdasarkan hampir
maksud hadis `boleh nampak' sebagai asas menentukan awal bulan.
Peraturan rukyah dan hisab juga menetapkan bahawa anak bulan Ramadan
dan Syawal jika tidak kelihatan kerana terlindung oleh keadaan cuaca pada
hal mengikut ahli falak anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka
kiraan ahli falak boleh digunakan.
Anak bulan dianggap ada dan kelihatan apabila memenuhi salah satu
daripada syarat seperti ditetapkan MABIMS.
KAEDAH URFI/ISTILAHI ATAU FORMULASI
Orbit lengkap bulan mengelilingi bumi selama 29.53059 hari. Bilangan
hari ini kemudiannya dibuat jujukan selama 30 tahun menghasilkan jumlah
hari hampir genap 10631 hari. Jumlah hari selama 30 tahun ini membentuk
purata jumlah hari setahun iaitu 354.36667 hari.
Jumlah hari purata ini digunakan untuk menyusun 12 bulan takwim
berdasarkan jumlah hari 29 atau 30 hari secara selang seli. Kaedah ini
hanya untuk anggaran tarikh saja, bukan untuk takwim ibadat.
TOKOH FALAK TEMPATAN
ABDUL GHANI SALLEH
TARIKH LAHIR: 6 Julai 1931
TEMPAT LAHIR: Kampung Paya Keladi, Kuala Terengganu.
SUMBANGAN: Penguasa Penjara, pengajar ilmu falak di Yayasan Islam
Terengganu, Pusat Islam Kuala Lumpur, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin
(Kusza), Institut Agama Islam Negeri Kedah (Insaniah) selain di Brunei,
Singapura, Thailand, Perancis dan Britain.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home