Thursday, November 06, 2008

news mangsa gempa perlu khemah

Publication : BH

Edition :

Date : 13/10/2005

Page Number : 03

Headline : Mangsa gempa perlu khemah

Words : 330

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) memerlukan
seberapa banyak khemah dan selimut untuk keperluan mangsa gempa bumi di
Pakistan bagi mengelakkan mereka yang terbabit dijangkiti penyakit radang
paru-paru akibat musim sejuk.
Sehubungan itu, Presiden Mercy, Datuk Dr Jemilah Mahmood, merayu kepada
orang ramai membantu mangsa terbabit dengan menghulurkan sumbangan kepada
Tabung Kemanusiaan Mercy bagi membolehkan langkah pencegahan dan bantuan
dilakukan secepat mungkin.
"Kita ada dana bantuan kecemasan bernilai RM500,000 dan ia hanya cukup
bagi bantuan perubatan kepada kira-kira 10,000 mangsa selama tiga bulan.
Apa yang amat diperlukan sekarang adalah khemah dan selimut bagi menahan
musim sejuk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran kempen
Meningkatkan Kesedaran Mencegah Bencana anjuran Yayasan Force of Nature
(FON), di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah FON, Tan Sri Razali
Ismail.
Dr Jemilah berkata, khemah dan selimut berkenaan akan dibeli di
Pakistan kerana ia sukar dibawa dari negara ini disebabkan masalah
logistik serta proses pelepasan kastam.
Katanya, sehingga kini dua pasukan Mercy dianggotai tujuh pakar bedah,
seorang pakar bius, empat jururawat dan tiga pegawai penilaian dihantar
ke lokasi gempa bumi pada Isnin lalu dan kelmarin, manakala satu lagi
pasukan akan ke Pakistan, Sabtu ini.
"Kita turut menyediakan pasukan simpanan dan bantuan Mercy akan
ditumpukan ke kawasan yang tiada pakar bedah bagi menangani kes trauma
selepas gempa bumi. Kita dapat menyediakan satu pasukan sukarelawan dalam
tempoh 12 jam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menghantar pasukan pakar bedah pada masa
ini bagi membantu mengubati kecederaan mangsa dan bantuan susulan selepas
ini akan disertai pakar kanak-kanak dan pakar psikologi.
Mengenai tahap kesihatan sukarelawan Mercy, Dr Jemilah berkata, mereka
yang dipilih kebanyakannya berpengalaman dalam misi bantuan bencana ke
negara lain sebelum ini dan mereka turut terlatih dan mampu menghadapi
sebarang tekanan.
FAKTA
Sumbangan bantuan gempa bumi Pakistan melalui:
* Menghubungi Mercy di talian 03-42569999
* Menerusi Maybank di akaun 5621-7950-4126 atau cek atas nama Tabung
Kemanusiaan Mercy.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home