| KUALA LUMPUR: Negara akan memiliki ramai tenaga kerja yang berpengetahuan rendah jika kerajaan melaksanakan cadangan memberi pinjaman pendidikan hanya kepada kursus yang memiliki permintaan tinggi di pasaran. Sehubungan itu, Biro Pendidikan Pemuda Umno meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengkaji semula cadangan itu yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh di Parlimen, Selasa lalu, dengan mengambil kira kepentingan negara pada masa depan. Pengerusi biro berkenaan, Ahmad Ikmal Ismail, berkata jika pinjaman itu dihadkan kepada kursus tertentu saja, ramai pelajar berpotensi melanjutkan pelajaran ke universiti tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mampu membayar yuran pembelajaran. "Ini sebenarnya akan membantutkan usaha kerajaan membina modal insan dan meningkatkan lagi tahap pekerja berpengetahuan di Malaysia secara menyeluruh. Ini akan membawa masalah dari segi daya saing negara pada peringkat dunia," katanya di sini, semalam. Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu juga dikhuatiri akan meluaskan lagi jurang perbezaan sosioekonomi antara penduduk kaya dan kurang berkemampuan serta penduduk bandar dan luar bandar. "Pelajar luar bandar yang datang dari keluarga petani dan nelayan tidak akan mampu untuk membayar yuran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), jurang pekerja berpengetahuan dan sosio ekonomi akan terus melebar," katanya. Ikmal berkata, kementerian tidak seharusnya membezakan pinjaman pendidikan hanya kepada kursus yang yang memiliki permintaan saja kerana negara memerlukan pakar dalam pelbagai bidang termasuk sastera bagi menjadi negara maju pada 2020. "Negara perlu dibangunkan secara holistik pada 2020 dan memerlukan pekerja berpengetahuan dalam setiap bidang," katanya. Katanya, peluang belajar di universiti sebenarnya mengajar pelajar kaedah berfikir dan bukannya kepakaran dalam sesuatu bidang kerana kemahiran itu akan diperoleh pada alam pekerjaan. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home