Thursday, November 06, 2008

hadis maudu pahala solat tarawih

Publication : BM

Edition :

Date : 09/10/2005

Page Number : 07

Headline : Hadis maudu' mengenai fadilat solat tarawih

Words : 930

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


TIDAK seperti sebelum ini, malam itu Hasnawi keluar lebih awal. Dia perlu
sampai di masjid sebelum azan Isyak dilaungkan, jika tidak dia perlu
bersesak dan berebut saf dengan jemaah lain. Jika nasibnya kurang baik,
dia mungkin terpaksa bersolat di luar bangunan masjid saja.
Sebaik menunaikan solat Maghrib dan berehat selepas berbuka puasa
bersama keluarga, dia terus menolak motosikal tuanya keluar terus ke
masjid yang terletak kira-kira satu kilometer.
Baginya, jika dia tidak sempat menunaikan solat sunat itu pada malam
berkenaan, dia akan rugi besar dan menyesal.
Masakan tidak, dia difahamkan antaranya, hanya dengan menunaikan solat
sunat tarawih sekurang-kurangnya dua rakaat, dia akan memperoleh pahala
sebanyak pahala nabi. Ini bermakna, dia akan memperoleh pahala ibadah
lebih 125,000 nabi sejak Nabi Adam AS diturunkan. Peluang seperti itu
tidak akan dilepaskannya!
Apa yang bermain di fikiran Hasnawi bukanlah sesuatu yang luar biasa,
kerana ramai individu Islam yang berfikiran seperti Hasnawi, bukan
setakat di negara ini malah di seluruh dunia.
Malah, kelebihan solat tarawih mengikut hari itu juga pernah dipaparkan
dalam akhbar dan televisyen seolah-olah sebagai satu galakan kepada umat
Islam menunaikan ibadah sunat itu.
Berikutan itu, maka ramailah umat Islam seperti Hasnawi yang
berpusu-pusu memenuhi masjid untuk menunaikan ibadah itu dengan harapan
memperoleh pahala besar tanpa menyedari bahawa semua mereka tidak
mendapat penjelasan yang sebetulnya.
Sememangnya kita digalakkan untuk bertarawih pada Ramadan, namun ia
bukannya satu-satu ibadat kerana mereka juga digalak melakukan ibadah
sunat lain seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berjaga malam untuk
beribadah sepanjang bulan berkenaan.
Solat sunat tarawih adalah hadiah yang dikurniakan Allah kepada umatnya
yang hanya ada pada Ramadan.
Sebagaimana ibadah lain solat sunat tarawih juga perlu dilakukan dengan
tekun dengan harapan untuk mendapat keredaan dan keampunan-Nya seperti
firman Allah menerusi surah Faathir, ayat ke 29:
"Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab Allah, mendirikan solat
dan membelanjakan rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia
dan terang-terangan, mereka itulah yang mengharapkan perniagaan yang
tidak boleh rugi."
Fadilat sunat tarawih seperti yang difahami Hasnawi sebenarnya
bersumberkan kepada hadis palsu atau hadis maudu' rekaan golongan Syiah
dan apa yang lebih membimbangkan ia dikhuatiri boleh mendatangkan dosa.
Hadis palsu itu bertujuan memutarbelitkan kebenaran hadis Rasulullah
dan golongan jahil mengenai hadis dipercayai menerima fadilat itu sebagai
galakan untuk melakukan solat tarawih.
Bagaimanapun, perkara itu semakin berkurangan sejak beberapa tahun
kebelakangan ini selepas adanya pendedahan dan menyebarkan kesahihan
hadis berkenaan kepada masyarakat.
Akan tetapi, golongan yang terus taksub menerima hadis maudu', malah
bersungguh-sungguh melakukan solat sunat tarawih dengan harapan
memperoleh pahala seperti yang diwar-warkan dipercayai masih ada.
Tindakan terbabit jelas boleh mencemar kesucian Islam memandangkan
hadis adalah antara sumber hukum yang disepakati faquha untuk
menyelesaikan masalah selain pegangan hidup kedua umat Islam selepas
al-Quran.
Malah, umat Islam yang beriktikad untuk menerima hadis maudu' sebagai
pegangan atau galakan dalam beribadah pula dikhuatiri boleh menjurus
kepada kufur.
Hadis maudu' mengenai kelebihan solat sunat tarawih ini dikatakan
sebuah hadis yang agak panjang dan kononnya diriwayatkan oleh Khalifah
ar-Rasyidin keempat iaitu Ali bin Abi Talib
Mengikut hadis rekaan itu, dengan mengerjakan solat sunat tarawih pada
setiap malam pada bulan Ramadan, umat Islam akan memperoleh pahala yang
besar dan pahala itu adalah berlainan mengikut hari.
Antara pahala yang agak keterlaluan kononnya akan diperoleh individu
yang mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat tarawih
mengikut hadis palsu itu adalah:
* Malam Pertama: Keluar dosa orang mukmin pada malam pertama seperti
mana dia baru dilahirkan dan mendapat keampunan Allah.
* Malam Keempat: Memperoleh pahala sebagaimana pahala orang yang
membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.
* Malam Keenam: Memperoleh pahala 70 ribu malaikat yang bertawaf di
Baitul Makmur.
* Malam Ketujuh: Seolah-olah dapat bertemu dengan Nabi Musa as serta
menolong baginda menentang Firaun dan Hamman.
* Malam Kelapan: Memperoleh pahala seperti Nabi Ibrahim as.
* Malam Kesembilan: Memperoleh tingkatan ibadah seperti Nabi Muhammad
saw.
* Malam Ke-17: Memperoleh pahala sebanyak pahala nabi-nabi.
* Malam Ke-26: Allah mengurniakan kepada orang bertarawih pada malam
ini pahala 40 tahun ibadah.
* Malam Ke-27: Allah mengurniakan kepada orang bertarawih pada malam
ini ketangkasan melintas atas titian Sirotulmustaqin seperti kilat
menyambar.
* Malam Ke-29: Allah mengurniakan pahala 1,000 kali haji yang mabrur.
Hadis maudu' sebenarnya tidak boleh digunakan untuk sebarang hujah
termasuklah sebagai galakan ibadah kerana ia jelas memaparkan kenyataan
yang palsu dan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah yang dipelihara
dengan dengan begitu baik.
Rasulullah sendiri sudah memberi amaran terhadap orang yang menggunakan
nama baginda untuk mengadakan pendustaan sepertimana sabda Baginda:
"Siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia
menyediakan tempatnya dalam neraka."
Seharusnya kita sedar bahawa jika berdusta dengan menggunakan nama
orang biasa sudah dianggap sebagai haram dan fitnah, inikan pula dengan
menggunakan nama Rasulullah, penghulu bagi umat Islam dan kekasih Allah.
Dalam usaha meraih balasan Allah sepanjang bulan Ramadan ini seharusnya
kita meneliti hadis sebenar yang menggambarkan mengenai kelebihan yang
diberikan Allah antaranya seperti sabda Rasulullah:
"Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, bahawa bau mulut
orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau-bauan minyak kasturi.
"Allah azzawajalla berfirman: Sesungguhnya ia meninggalkan syahwatnya,
makannya dan minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku dan
Akulah yang akan memberi balasannya sendiri."
Hadis yang lain bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah diampunkan
dosa-dosanya yang lalu."
Cukuplah dengan hadis sahih dan janji Allah menerusi al-Quran mengenai
kelebihan ibadah Ramadan. Janganlah sampai umat Islam melakukan sesuatu
ibadah dengan harapan memperoleh pahala sedangkan dosa besar pula yang
diperoleh dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis palsu.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home