Thursday, November 06, 2008

teknologi leser

Publication : BH

Edition :

Date : 08/10/2005

Page Number : 19

Headline : Teknologi laser penawar, pemusnah

Words : 887

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


DALAM kebanyakan filem sains fiksyen mengenai teknologi masa akan datang
seperti Star Wars, kita pasti akan dipertontonkan babak peperangan
menggunakan senjata laser.
Pada masa itu, senjata menggunakan peluru digambarkan sebagai
ketinggalan zaman kerana semua senjata seperti di tangan atau pada
kenderaan perang, menggunakan laser.
Daripada filem seperti itu, pemikiran kita ditanamkan bahawa laser
adalah teknologi berbahaya dan pemusnah mengatasi kegunaan positif
teknologi itu meliputi pelbagai bidang pada masa kini dan tidak mustahil
menjadi keperluan pada masa akan datang.
Laser boleh menjadi kawan atau musuh kepada manusia, bergantung kepada
niat manusia itu sendiri dalam memanipulasikan teknologi berkenaan.
Kajian memperlihatkan pancaran cahaya pada kelajuan tinggi itu dapat
menjadi senjata yang memudarat atau memusnahkan harta benda dan manusia,
tetapi pada masa sama ia berfungsi sebagai penyembuh yang merawat
kesihatan manusia.
Mengikut Kamus Dewan, laser adalah alat untuk menerbit dan
memperkuatkan gelombang cahaya menjadi pancaran cahaya yang berkuasa
tinggi dan tertumpu pada satu hala.
Jenis laser dibezakan daripada cara dan bahan digunakan dan setiap
jenis laser memiliki ciri tersendiri sehingga penggunaannya juga adalah
untuk memenuhi keperluan praktikal yang khusus.
Sebagai contoh, dalam bidang komunikasi, laser digunakan kerana ia
dapat dipancarkan pada jarak jauh dan pada frekuensi yang tinggi. Laser
dikatakan dapat membawa kira-kira 1,000 kali lebih banyak saluran
televisyen berbanding gelombang mikro.
Dalam bidang perubatan pula, pancaran laser boleh memotong atau
mencerna tisu tertentu tanpa merosakkan tisu yang sihat. Ia amat berkesan
untuk membuang tatu berbanding pembedahan biasa, pembedahan menggunakan
laser dapat mengurangkan pendarahan.
Pada masa kini, sistem kawalan laser untuk peluru berpandu, pesawat dan
satelit sedang giat dikaji dan dihasilkan sebagai sistem pertahanan di
beberapa negara maju.
Malah, bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan pernah
mencadangkan supaya sistem pertahanan antipeluru berpandu dibangunkan di
negara itu pada 1983.
Sistem itu dikenali sebagai Inisiatif Pertahanan Strategik (SDI) dan
kemudian lebih popular sebagai Sistem Pertahanan Star Wars, kerana ia
mirip dengan senjata laser yang digunakan dalam filem sains fiksyen itu.
Berdasarkan usaha berterusan untuk mengeksploitasi teknologi itu,
adalah tidak mustahil senjata laser seperti yang di gambarkan dalam filem
sains-fiksyen atau permainan komputer pada masa kini akan menjadi
keperluan masyarakat, termasuk dalam sektor perubatan, pertahanan,
hiburan dan kehidupan seharian.
FAKTA MENARIK
SEJARAH Laser
* Abad ke-17, Isaac
Newton menyedari terdapat kekuatan terpendam dalam cahaya menerusi
prinsip graviti. Dalam teorinya, Newton mengatakan cahaya adalah partikel
yang sangat kecil serta ringan dan dipancarkan oleh sumbernya ke semua
arah dengan kecepatan sangat besar.
* Abad ke-18,
James dan Clerk Maxwell menegaskan cahaya adalah gelombang
elektromagnetik.
- Max Plank mengadakan uji kaji yang menjurus kepada laser berdasarkan
percubaan radiasi terhadap benda hitam dan disimpulkan bahawa cahaya
terdiri daripada tenaga yang disebut photon.
* 1917, Albert Einstein memperkenalkan teori mengenai proses
penghasilan laser yang dikenali sebagai Stimulated Emission (pancaran
terangsang). Einstein mengatakan photon yang datang ke atom dengan suatu
tingkatan tenaga dapat menyebabkannya berpindah ke tingkatan tenaga yang
lebih rendah. Atom akan memancarkan tenaga photon yang sama fasa dengan
photon yang diterima.
* 1954, Charles Townes dan Arthur Schawlow mencipta Maser (Microwave
amplification by stimulated emission of radiation), iaitu alat untuk
menguatkan gelombang elektromagnetik menggunakan gas amonia dan sinaran
gelombang mikro. Teknologi Maser berbeza dengan laser kerana ia
menghasilkan cahaya tidak nampak.
* 1957, Gordan Gould yang turut mengkaji mengenai laser memperkenalkan
perkataan `laser' iaitu akronim untuk Light Amplification by Stimulated
Emission of Radiation yang digunakan sehingga sekarang.
* 1958, Charles Townes dan Arthur Schawlow menghasilkan teori mengenai
laser yang boleh dilihat iaitu dengan menggunakan cahaya infra merah dan
cahaya spektrum tampak.
* 1960, Theodore Maiman mencipta laser berwarna merah yang dikatakan
laser optik pertama.
* 1960 Ali Javan mencipta gas laser yang dibuat daripada Helium- Neon.
PENCIPTA AKRONIM LASER
GORDON GOULD
Tarikh lahir: 17 Julai 1920
Tempat lahir: New York, Amerika Syarikat.
Jawatan: Penyelidik.
BAGAIMANA LASER DIHASILKAN
1 Arus elektrik berkuasa tinggi menyebabkan lingkaran tiub kuarza
mengeluarkan cahaya yang amat panas. Ia menyebabkan atom dalam bahan
seperti batu delima memiliki tahap tenaga yang tinggi.
2 Atom kemudian menghasilkan cahaya mengandungi photon. Pada mulanya,
photon yang dihasilkan bergerak rawak ke semua arah. Photon dari satu
atom akan merangsang photon dari atom lain dan cahaya semakin panas.
3 Cermin pada setiap penghujung memantulkan photon dan meneruskan
proses itu bagi merangsang kepanasan sinaran cahaya.
4 Photon disalur keluar dari cermin di satu penghujung yang memiliki 95
peratus kekuatan pantulan dan cahaya itu dikenali sebagai laser.
JENIS LASER
JENIS KEGUNAAN
Helium-neon - Kajian gabungan cahaya, kajian imej tiga dimensi, kajian
spektrum, penyemak kod bar, persembahan.
Ion Argon - Fototerapi retina untuk pesakit diabetes, percetakan.
Ion Krypton - Digabung dengan gas argon untuk menghasilkan laser
berwarna putih.
Nitrogen - Mengukur tahap pencemaran udara.
Hidrogen Florida - Senjata laser antara ethylene dan nitrogen
trifluoride (NF3).
Iodin Kimia Oksigen (COIL) - Senjata laser Iodin dan oksigen.
Karbon dioksida - Pembedahan, memotong dan mengimpal (CO2) bahan.
Karbon monoksida - Mengukir dan mengimpal bahan, kajian (CO) spektrum.
Laser Excimer - Percetakan untuk pembuatan.
Kimia - Semikonduktor, pembedahan.
Laser Pewarna - Kajian spektrum, membuang pigmen kulit.
Logam Helium-cadmium - Percetakan.
Tembaga - Kajian penyakit kulit, fotografi berkelajuan tinggi, sumber
tenaga bagi laser pewarna
Emas - Kajian penyakit kulit dan terapi fotodinamik.
Delima - Kajian imej tiga dimensi, membuang tatu.
Neodymium YAG (Nd:YAG) - Memproses bahan material, menentukan jarak,
penanda jarak sasaran, pembedahan, sumber kuasa laser lain.
Chromium doped Chrysoberyl - Kajian penyakit kulit.
Erbium doped fibre - Telekomunikasi menerusi fiber optik.
Semikonduktor - Telekomunikasi, kajian imej tiga dimensi, penunjuk
laser, percetakan, digunakan dalam pemain cakera padat.
Elektron bebas - Kajian atmosfera, sins bahan, aplikasi perubatan,
penahan peluru berpandu.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home