| SEKOLAH Rendah Islam (Seri), Alor Star menerapkan pendidikan yang membentuk keperibadian murid dalam rangka membina insan beriman dan berketrampilan. Perkara ini bersesuaian dengan hadis s.a.w Muttafaq' Alaih, iaitu: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih), maka dua ibu bapa (merekalah) yang akan menyebabkannya (anaknya) menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi." Selain itu, jika diteliti adat Melayu pula, terdapat pepatah yang menyokong hadis berkenaan yang berbunyi: "Melentur buluh biar daripada rebungnya." Bagi Seri, ia mengadakan kurikulum tambahan sebagai satu pendekatan yang bertujuan membentuk keperibadi Muslim di kalangan murid Guru Besar sekolah Seri, Muhamad Isa Man, 55, berkata setiap aspek pembelajaran dan program yang direncanakan sekolah itu diterapkan dengan nilai Islam. Beliau berkata, ini kerana antara sifat Islam adalah syumul, iaitu meliputi seluruh perkara duniawi dan akhirat sama ada perkara kecil seperti adab makan sehingga ke perkara besar antaranya dakwah. "Kita cuba menekankan kepada pelajar bahawa setiap perlakuan dan perkara yang dihadapi mereka memiliki penyelesaian dan kaedah mengikut Islam. "Kita mendidik pelajar tahun satu hingga enam di Seri untuk menghargai agama dan mencintai Islam bermula daripada mereka masih kecil dalam usaha membentuk sahsiah mereka," katanya. Beliau berkata, bagaimanapun, aspek pendidikan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, iaitu Korikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tidak dipinggirkan sekolah itu. Katanya, ini terbukti apabila sekolah rendah yang ditubuhkan pada 1989 itu memperoleh pencapaian 97.3 peratus pelajar lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2003. Isa berkata, kurikulum tambahan yang ditetapkan Seri adalah pembelajaran Bahasa Arab, hafazan al-Quran dan hadis yang diwajibkan terhadap semua pelajar selain mata pelajaran KBSR. Selain itu, katanya, antara program tahunan berorientasikan Islam yang dianjurkan sekolah itu adalah majlis bacaan surah Yasin untuk menyambut pelajar tahun satu yang baru mendaftar. Bagi pelajar tahun enam yang bakal mengambil peperiksaan UPSR, Seri mewajibkan mereka serta ibu bapa masing-masing menyertai program qiamulail setiap Jumaat, selain majlis bacaan surah Yaasin dan solat hajat. Seri turut mengadakan program bersifat ilmu fardu ain bagi murid termasuk program amali wuduk, munajat, majlis korban Aidiladha selain meraikan hari kebersaran Islam. "Program Puteriku Remaja yang diadakan setiap tahun pula menerangkan tanggungjawab dan peranan murid perempuan supaya mereka menyedari akhlak yang perlu dijaga ketika mereka melangkah ke alam remaja. "Kami turut mengadakan program perkhemahan, rehlah dan majlis bacaan tahlil bagi ahli keluarga yang meninggal dunia," katanya. Isa berkata, pihaknya menganjurkan program berkhatan beramai-ramai di sekolah itu dengan setiap peserta menerima hadiah berupa buku, wang tunai dan sijil. "Semua program dan kurikulum tambahan ini dapat memperlengkapkan murid dengan amal soleh dan membina sahsiah peribadi Muslim," katanya. (END) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home