Thursday, November 06, 2008

hukum valentine

Publication : HM

Edition : TE

Date : 04/02/2004

Page Number : 10

Headline : Sambut Hari Kekasih bukan amalan kita

Words : 853

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


KEGHAIRAHAN meraikan Hari Valentine atau Hari Kekasih yang jatuh pada 14
Februari setiap tahun, tidak pernah luntur. Malah sambutan hari itu yang
kononnya dapat menyemarakkan ikatan kasih pasangan yang bercinta turut
menjadi ikutan muda-mudi Islam.
Kemunculan Hari Valentine semakin dirasai sejak beberapa hari lalu
kerana mereka yang diulit cinta mula mengirim mesej kasih sayang melalui
pesanan ringkas atau SMS dan kad ucapan.
Persoalannnya, wajarkah muda mudi Islam menyambut hari berkenaan?
Tahukah mereka asal-usul Hari Valentine?
Hari Valentine yang diertikan sebagai hari untuk berkasih sayang
bukanlah berasal daripada rentetan sejarah Islam, sebaliknya perayaan itu
dipercayai diamalkan penganut Kristian.
Perayaan Hari Valentine dipercayai diadakan bagi memperingati kematian
seorang pendeta Romawi, Pedro St Valentine yang dijatuhi hukuman mati pada
14 Februari 270M.
Pendeta berkenaan dikatakan dipenjara sehingga mati selepas ingkar
arahan Raja Claudius II pada ketika itu yang mengarahkan semua pendeta
supaya tidak menikahkan mana-mana pasangan.
Arahan itu dikeluarkan selepas Raja Claudius II mendapati ramai anak
muda enggan menyertai tentera dan keluar berperang kerana tidak mahu
meninggalkan keluarga mereka.
Raja Claudius II beranggapan jika mereka tidak diizinkan berkahwin maka
mereka akan menyertai tentera menyebabkan masyarakat termasuk Valentine
tidak menyokong cadangan berkenaan dan meneruskan upacara pernikahan
secara senyap-senyap.
Bagaimanapun, tindakan Valentine itu diketahui Raja Claudius II
menyebabkan pendeta itu dipenjara dan dijatuhi hukuman mati. Bagi
memperingati perjuangan Valentine, maka penganut Kristian meraikan hari
berkenaan pada setiap 14 Februari setiap tahun.
Cinta adalah fitrah yang dilahirkan bersama kewujudan manusia di dunia
ini. Sehubungan itu, Islam tidak pernah melarang penganutnya saling kasih-
mengasihi antara satu sama lain malahan amat menggalakkannya.
Bagaimanapun, perasaan cinta itu perlulah mematuhi peraturan yang
ditetapkanNya agar mencapai matlamat penciptaan iaitu untuk menyelamat,
mententeram dan membahagiakan manusia.
Allah s.w.t berfirman: "Antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa
cinta dan kasih sayang.
"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir."(Ar-Ruum: 21)
Antara peraturan cinta yang ditetapkan Allah adalah seperti firman-Nya:
"Katakanlah: jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-
isterimu, kerabat-kerabatmu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan
yang kamu khuatirkan kerosakannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu
senangi lebih kau cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta jihad di
jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan keputusan-Nya.
"Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik."
(At-Taubah: 24).
Menerusi ayat itu, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat tiga kategori
cinta yang wujud dalam diri manusia iaitu cinta kepada Allah dan Rasul,
cinta kepada manusia serta cinta kepada harta duniawi.
Daripada tiga kategori ini, cinta hakiki hanya kepada Allah dan Rasul-
Nya manakala cinta kepada manusia dan harta keduniaan adalah ujian yang
diberikan Allah bagi menentukan tingkat keimanan dan ketaqwaan manusia itu
sendiri.
Dalam konteks cinta kepada manusia, kita dibenarkan mencintai sesiapa
saja tetapi perasaan cinta itu perlu dibina atas dasar cinta kerana Allah.
Dalam hal ini, pastinya kita akan berusaha menjadikan kecintaan kita
kepada manusia sebagai satu wadah mendapatkan keredaan-Nya.
Antara tanda kita mencintai seseorang itu kerana Allah ialah kita
sentiasa mendahulukan kehendak Allah sebelum memenuhi kehendak individu
yang kita cintai.
Dalam kenikmatan mencintai seseorang individu, kita turut merindui untuk
bermunajat dan qiamulail kepada Allah, sentiasa solat di awal waktu dan
bersedia menghadapi kematian untuk bertemu dengan-Nya.
Lidah pasti sentiasa dipenuhi dengan kalimah Allah, sanggup berjuang
mempertahankan hak-Nya dan sentiasa berasa nikmat dalam mentaati segala
suruhan-Nya.
Al-Quran banyak menerangkan contoh individu yang dicintai Allah
antaranya dalam surah al-Baqarah ayat ke 195, Allah berfirman:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan."
Antara sikap lain yang dicintai Allah seperti tercatat dalam al-Quran
ialah sentiasa bertaubat (al-Baqarah: 222), bertaqwa (Ali Imran: 76),
sabar (Ali Imran: 146), sentiasa bertawakal (Ali Imran: 159) dan adil (Al-
Maidah: 45).
Selain itu, cinta kepada manusia juga harus berlandaskan kepada syariat
dan ajaran Islam. Jangan kerana leka dalam cinta terlarang, kita sanggup
mengabaikan hak Allah sehingga mengundang kemurkaanNya.
Dalam konteks percintaan, seharusnya keimanan terhadap Allah mendahului
segala keinginan duniawi. Cinta suci seharusnya dilandaskan dengan akhlak
dan keperibadian Islam tanpa sebarang kepentingan dan keinginan nafsu.
Apabila wujud perasaan cinta antara dua manusia, syaitan akan turut
memasang perangkap bagi memastikan cinta itu sebahagian pintu kehancuran
dan kesesatan umat manusia.
Perasaan cinta yang tidak mematuhi syariat Islam lazimnya sering
terdedah kepada risiko dan bahaya zina, sama ada zina secara lisan atau
perbuatan, disengajakan atau kerana tidak mampu menahan godaan nafsu dan
syaitan.
Sepasang kekasih pasti memerlukan masa untuk bersama tanpa menyedari
tindakan mereka itu sudah dalam perancangan syaitan sepertimana sabda
Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sekiranya seorang lelaki dan wanita yang
bukan mahram itu berdua-duaan, nescaya yang ketiga adalah syaitan."
Jika tidak dapat menggoda lelaki dan wanita itu melakukan kemaksiatan
ketika bersama, syaitan akan berusaha supaya mereka tidak khusyuk dalam
beribadat kerana terlalu mengingati pasangan mereka.
Lebih membimbangkan apabila individu terbabit lebih mengasihi dan
mendambakan kasih temannya melebihi Allah sehingga menjadikannya syirik,
kufur dan murtad.
Perasaan cinta yang dipandu dengan keimanan kepada Allah dan syariat-Nya
diharapkan dapat menyelamatkan manusia seterusnya mencapai tahap
kebahagiaan sejati di syurga Allah.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home