Thursday, November 06, 2008

hp meletup

Publication : BH

Edition : NA

Date : 28/10/2003

Page Number : 14

Headline : Telefon bimbit meletup remaja cedera di mata

Words : 301

Byline : By Nasrullah Rahim

Text :


ALOR STAR: Seorang remaja lelaki cedera mata kiri apabila telefon bimbit
yang cuba diperiksa tiba-tiba meletup di rumahnya di Jerlun, dekat sini,
baru-baru ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika mangsa, Mohd Zairan Abd
Rahman, 18, dari Kampung Matang Bonglai, memeriksa bateri telefonnya yang
didapati agak panas ketika membuat panggilan.
"Saya mengecas bateri telefon berkenaan lebih kurang dua jam. Selepas
itu, saya menggunakannya untuk menelefon kawan.
"Ketika bercakap dengan kawan saya itu, telinga saya berasa panas akibat
sentuhan telefon berkenaan menyebabkan saya segera memutuskan panggilan
bagi memeriksa telefon itu," katanya.
Zairan berkata, sebaik saja membuka penutup telefon itu, dia mendapati
bateri telefonnya menjadi kembung dan sejurus selepas itu, telefon
berkenaan meletup sehingga berkecai.
"Akibat letupan itu yang mengenai muka saya, pandangan saya menjadi
gelap sementara bahagian dada dan muka pedih. Jiran saya yang melihat
kejadian itu terus menghantar saya ke Hospital Alor Star (HAS)," katanya.
Zairan yang bekerja sebagai pembantu kantin kilang berkata, dia menerima
rawatan di wad rawatan pesakit dalam HAS selama tiga hari.
"Semua benda yang saya nampak sehingga kini, tidak jelas, dengan
pandangan mata kiri agak kelabu. Selain itu, saya juga sering berasa pedih
di bahagian muka dan sakit kepala menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja
sebagai pembantu kantin sekolah di kampung saya," katanya.
Zairan berkata, telefon berjenama itu dibeli menerusi rakannya dengan
harga RM200, tahun lalu.
"Ketika saya terima telefon itu, ia berada dalam keadaan baik dan tidak
pernah rosak. Saya tidak tahu kenapa ia boleh meletup kerana sebelum ini
telefon itu biasa dicas lama, tiada masalah," katanya.
Zairan berkata, dia sudah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Ayer
Itam, sebaik saja dibenarkan keluar dari HAS pada jam 6.20 petang, 30
September lalu.
Sehubungan itu, dia bercadang mengambil tindakan undang-undang walaupun
mengakui menghadapi kesukaran kerana tiada resit bukti pembelian telefon.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home