Thursday, November 06, 2008

salim hanaffi

Publication : BM

Edition :

Date : 22/01/2006

Page Number : 22

Headline : Limpahan rezeki selepas banjir

Words : 701

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


BANJIR besar yang melanda Kedah bulan lalu sudah surut dan dan kini tiba
musim menuai padi. Petak sawah milik Salim Hanaffi di Pokok Sena, pula
sudah tidak kekuningan kerana padinya baru saja dituai selepas banjir
melanda.
Sementara menunggu tiba musim membajak, lelaki berusia 50 tahun itu
keluar hampir setiap pagi atau petang dan sambil membawa beberapa buluh
kecil sepanjang kira-kira 0.2 meter atau dahan nipah sepanjang dua meter,
dia menuju ke sungai berhampiran sawahnya.
Sebaik padi dituai, hujan tidak turun sehinggakan anak sungai yang
mengalir di Kampung Nawa dan beberapa kawasan sekitar Pokok Sena, hampir
kekeringan.
Bagaimanapun, keadaan itu mewujudkan kegiatan baru di kalangan penduduk
dan antara musim menuai yang sudah berlalu dan musim membajak yang bakal
tiba, penduduk berpesta dalam 'musim mengail ikan darat'.
"Air sungai hampir kering tetapi ikan darat masih 'terperangkap' di
dalamnya. Hampir setiap tahun, keadaan seperti ini membolehkan kami
keluar untuk memancing ikan sebagai sumber rezeki tambahan," katanya.
Tambahan pula, katanya, tiada pekerjaan lain yang dapat dilakukan
ketika itu kerana sawah yang sudah dituai masih tidak dapat dibajak
berikutan air yang bertakung di dalamnya kering.
"Kebanyakan penduduk di kawasan ini melakukan dua kerja iaitu selain
mengusahakan sawah padi, mereka turut menoreh getah. Berikutan kami masih
menunggu musim membajak, kami menoreh getah dan mengail ikan darat,"
katanya.
Suasana ketika itu sungguh meriah malah hampir semua anggota keluarga
turun ke sungai untuk menangkap ikan darat. Sepanjang sungai tetapi di
lokasi berasingan, kelihatan penduduk sama ada lelaki atau wanita, tua
dan kanak-kanak khusyuk memancing; keadaan lebih meriah pada waktu petang.
Aktiviti itu juga unik kerana penduduk tidak menggunakan pancing biasa
yang dijual di kedai peralatan mengail, sebaliknya mereka meredah semak
untuk mencari buluh atau dahan nipah, memotong bahan berkenaan sebelum
mengikat tali pancing dan mata kail di hujungnya untuk dijadikan joran.
"Kalau nak beli joran di kedai kami tidak mampu, jadi kami menggunakan
bahan semula jadi untuk membuat joran dan kosnya tidak sampai RM1.
Pancing seperti ini digunakan sejak dulu lagi dan ia adalah kaedah
tradisional," katanya.
Beliau berkata, dahan nipah sepanjang dua meter dijadikan joran untuk
mengail serta merta manakala buluh yang dipotong sepanjang kira-kira 0.2
meter akan dibentuk menjadi 'taut' atau joran mini.
"Dahan nipah yang panjang membolehkan kami mengail sehingga di tengah
sungai manakala taut hanya dipacak di tepi sungai dan ditinggalkan
semalaman bagi membolehkan ikan meragut umpan.
"Banyak atau sedikit hasil diperoleh bergantung kepada lokasi juga
tetapi sehingga hari ini, jika saya keluar memancing selalunya saya tidak
balik dengan tangan kosong kerana pasti ada ikan darat yang berjaya
dipancing walaupun sedikit," katanya.
Menurutnya, jika dimurahkan rezeki, beliau mampu memperoleh lebih 10
ikan darat dalam sehari sama ada yang ditaut atau dipancing.
Bagi 'mengaburi' ikan, pelbagai jenis umpan yang bersesuaian dengan
selera ikan darat akan digunakan.
Umar Salim, 27, yang turut mengusahakan sawah di kampung berkenaan
menjelaskan bahawa kebanyakan mereka mencari sendiri umpan berbanding
membelinya di kedai.
"Kami menangkap anak katak, cengkerik atau menggunakan anak ikan
sebagai umpan dan ia berhasil menaikkan ikan darat," katanya yang mencari
umpan sekitar rumahnya pada waktu siang.
Umar berkata, antara ikan yang mendiami saluran sungai selebar
kira-kira 10 meter di kampungnya itu adalah haruan, keli, sepat, puyu dan
lampan.
Beliau berkata, kebanyakan ikan yang diperolehnya akan dijadikan lauk
untuk seisi keluarga dan ia dimasak dengan pelbagai cara seperti goreng,
gulai, sambal selain dijadikan ikan kering atau pekasam.
"Sebelum ini iaitu ketika musim padi mula menjadi, kami memancing di
kawasan sawah tetapi apabila sawah kering, ikan akan turun ke sungai.
Ketika musim membajak pula, penduduk mencari ikan di sawah menggunakan
serkap.
"Bagaimanapun, berbanding dua minggu lalu, ikan darat semakin
berkurangan kerana ramai penduduk yang sudah memancingnya setiap hari,"
katanya.
Selain sebagai sumber rezeki kepada pesawah, musim mengail ikan darat
secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan
kemasyarakatan di kawasan itu.
Tidak lama lagi, hujan pasti turun di kawasan utara tanah air bagi
menandakan tibanya musim membajak serta tamatnya aktiviti mengail ikan
darat pada musim berkenaan.
Apabila tibanya ketika itu, Salim dan Umar akan kembali sibuk membajak
sawah dan menanam padi; joran dan taut tradisional yang digunakan untuk
mengail ikan darat akan disimpan sementara menunggu tibanya musim mengail
pada musim akan datang.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home