Thursday, November 06, 2008

remaja dampingi orang asli

Publication : BM

Edition :

Date : 15/01/2006

Page Number : 10

Headline : Comrade UIAM dampingi masyarakat Orang Asli

Words : 738

Byline : Oleh Nasron Sira Rahim

Text :


MOHD Shukri Abdul Razak mula melihat sendiri kedaifan hidup masyarakat
Orang Asli ketika beliau bersama rakannya yang dalam perjalanan ke lokasi
air terjun berhampiran Kuala Lipis, Pahang, singgah sebentar di
perkampungan masyarakat itu pada 2000.
Ketika itu, beliau baru berusia 17 tahun serta masih bersekolah.
Apabila melihat keadaan serba kekurangan dari pelbagai aspek kehidupan
Orang Asli, perasaannya dihimpit kesayuan teramat.
Pengalaman itu menimbulkan keinsafan bahawa di sebalik kehidupan serba
lengkap kebanyakan penduduk termasuk dirinya, ada segelintir rakyat di
negara ini yang hidup umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang'.
Sejak itu, Shukri memasang tekad bahawa jika memiliki peluang, beliau
akan mendampingi kumpulan masyarakat itu untuk menabur bakti bagi
membolehkan mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan dan
kemodenan.
"Sejak dua tahun lalu, saya sudah melawat dan mengadakan program
kemasyarakatan hampir 10 perkampungan Orang Asli sekitar Pahang, Kelantan
dan Perak; pemerhatian saya mendapati kebanyakan penduduk Orang Ali masih
terpinggir daripada arus kemodenan.
"Ramai antara mereka masih menggunakan air sungai, pelita minyak tanah
untuk menerangi malam dan tidak seperti kebanyakan kita yang menjamah
nasi untuk mengalas perut, mereka hanya makan ubi kayu," katanya yang
kini Presiden Persatuan Kajian Kemasyarakatan Untuk Pembangunan Orang
Asli, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Comrade-UIAM).
Shukri berkata, menerusi Comrade, pihaknya berusaha mengubah kehidupan
penduduk Orang Asli menerusi pelbagai program seperti lawatan khidmat
masyarakat, program anak angkat, kem motivasi, kelas bimbingan agama dan
tuisyen.
Katanya, Comrade turut menyediakan laporan kajian mengenai aspek
sosio-budaya, infrastruktur, keagamaan, ekonomi dan tahap pendidikan
Orang Asli pada setiap lawatan untuk diserahkan kepada UIAM dan Jabatan
Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi tindakan lanjut.
Pihaknya akan mengadakan program lawatan kira-kira seminggu ke
perkampungan Orang Asli pada setiap cuti semester dan bagi kebanyakan
kampung, ahli Comrade terpaksa berjalan kaki sehingga lapan jam termasuk
menempuh hutan untuk sampai ke kawasan penempatan.
Setiap program dijalankan secara bersendirian atau dengan kerjasama
JHEOA, UIAM atau Jabatan Agama Islam negeri.
"Ketika mula tiba, agak sukar untuk mendampingi penduduk setempat
kerana mereka masih malu dan merasa rendah diri dengan orang luar,
kebiasaannya kami akan mencari Tok Batin atau individu berpengaruh bagi
mendapatkan kerjasama.
"Kebanyakan Orang Asli amat patuh kepada ketua mereka dan selepas
mendapat kerjasama dengan Tok Batin, mudahlah untuk kami menghampiri
mereka. Selepas dua hari barulah kemesraan wujud malah apabila kami ingin
pulang, ada antara mereka yang menangis," kata penuntut program Sarjana
Muda Perakaunan itu.
Shukri bagaimanapun kesal kerana terdapat Orang Asli yang sudah
di-Islamkan tetapi ditinggalkan terkontang-kanting hingga menyebabkan ada
antara mereka yang tidak lagi mengamalkan suruhan agama.
"Apabila kami berkampung di penempatan itu, kami turut mengajar semula
bagaimana hendak mengambil wuduk, solat dan melakukan perkara fardu ain
tetapi kami dapati walaupun mereka boleh melakukan ibadat, agak sukar
untuk menyingkirkan kepercayaan asal mereka. Ini adalah cabaran kepada
dakwah yang ingin kami sampaikan," katanya.
Sebagai contoh, Shukri berkata, tradisi tarian Sewang oleh masyarakat
Senoi yang dipersembahkan kepada pengunjung turut membabitkan pemujaan
roh malah pihaknya sentiasa berhati-hati ketika berada di perkampungan
terbabit.
"Sebelum melawat, kami akan memberitahu ahli mengenai pantang larang
Orang Asli supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Setiap
program pasti terdapat kes (seperti gangguan makhluk halus) tetapi ia
adalah cabaran dan tidak mematahkan semangat kami untuk terus menghampiri
Orang Asli," katanya.
Di sebalik keadaan serba kekurangan itu, Shukri bagaimanapun mengagumi
kegagahan penduduk Orang Asli tanpa mengira lelaki atau wanita berikutan
tahap kekuatan mereka adalah lebih hebat daripada penduduk kota.
"Kebanyakan aktiviti Orang Asli untuk mencari rezeki adalah dengan
masuk ke hutan bagi mendapatkan sumber hutan untuk membuat kraftangan dan
kegunaan harian, mencari herba selain berburu," katanya.
Shukri berkata, selain lawatan ke perkampungan Orang Asli, pihaknya
turut membawa anak Orang Asli yang bakal mengikuti peperiksaan untuk
menjalani program motivasi serta tuisyen dan menginap di UIAM selama
kira-kira tiga hari.
Sepanjang pembabitannya itu, Shukri memiliki lapan keluarga angkat di
kalangan Orang Asli dan beliau kerap berhubung dengan keluarga angkatnya
itu melalui surat selain telefon bimbit - bagi keluarga Orang Asli yang
agak moden.
"Selepas lawatan, kami tidak terus meminggirkan mereka sebaliknya akan
terus berhubungan bagi mengetahui perkembangan kehidupan mereka tetapi ia
dilakukan secara individu," katanya.
Bagi perancangan masa depan, remaja berusia 22 tahun itu berkata
pihaknya bercadang menubuhkan alumni Comrade bagi membolehkan ahli yang
sudah menamatkan pengajian terus mengikuti program dan menyumbang bakti
kepada Orang Asli.
"Jika sudah menamatkan pengajian, saya akan tetap mencari peluang bagi
meneruskan tekad saya untuk terus membantu penduduk Orang Asli," katanya.
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home