Thursday, November 06, 2008

pameran dino trek

Publication : HM

Edition :

Date : 30/11/2004

Page Number : 16

Headline : KENALI HAIWAN PURBA

Words : 394

Byline : Oleh Nasrullah Rahim

Text :


PELBAGAI pihak mengambil peluang untuk mengunjungi Pameran Dino Trek yang
menampilkan dinosaur robotik di Muzium Negeri, Lebuhraya Darulaman, Alor
Star yang sedang berlangsung.
Antara pengunjung adalah sekolah yang menganjurkan rombongan ke pameran
itu lebih dua bulan itu berakhir 31 Disember ini bagi manfaat pelajar.
Guru Sekolah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena, Rushipah Nayan, berkata pihak
sekolahnya membawa 383 murid tahun satu hingga enam melawat pameran
berkenaan sebagai satu kaedah pengajaran selain belajar dalam bilik
darjah.
Murid tahun lima, Norazian Wahida Mohd Azman, 11, berkata kunjungan ke
pameran berkenaan membolehkannya melihat sendiri bentuk dan saiz dinosaur.
Mohd Akmaludin Saifudin Azam Shah, 11, berkata sebelum ini
pengetahuannya mengenai dinosaur agak terbatas dan kunjungan itu
membolehkannya menambah pengetahuan mengenai haiwan purba itu.
Ketua Program Jangkaan Luar Petrosains, Kamaruddin Kassim, berkata
pihaknya mensasarkan lebih 200,000 pengunjung menyaksikan pameran
berkenaan.
"Antara dinosaur robotik yang dipamerkan adalah dinosaur T-Rex,
Maisaura, Apatosaurus dan Triceratops yang bergerak seolah-olah hidup.
"Pengunjung juga berpeluang mengerakkan badan dinosour itu mengikut
kemahuan masing-masing dengan menekan butang pilihan yang disediakan,"
katanya.
Menurutnya, selain rombongan sekolah, pengunjung berkeluarga serta
penduduk setempat dan dari negeri lain turut melawat pameran itu.
Kamaruddin berkata, pameran kali pertama di luar Kuala Lumpur itu
memberi peluang kepada orang ramai khusus pelajar di Wilayah Utara
menambah pengetahuan haiwan purba berkenaan.
"Sehingga kini, kami menerima sambutan memberangsangkan orang ramai
yang tidak putus-putus mengunjungi pameran dan diharapkan pengunjung
dapat mempelajari suatu perkara baru menerusi pameran ini," katanya.
Empat dinosaur yang dipamerkan di muzium itu adalah model robotik
berinteraktif yang menggunakan aplikasi teknologi.
Selain model dinosaur itu, pengunjung boleh menyertai 18 bahan pameran
interaktif berupa permainan yang diminati kanak-kanak.
"Aktiviti ini menyeronokan kerana pengunjung belajar dalam situasi
berlainan serta ceria selain menguji kecekapan minda dan akal fikiran
masing-masing.
"Kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun berpeluang berkomunikasi
dengan alat permainan berbentuk dinasour yang disediakan di pameran ini,"
katanya.
Petrosains kini bekerjasama dengan semua stesen minyak Petronas di
Kedah untuk mengajak pengguna mengunjungi pameran itu. Bayaran masuk ke
pameran itu adalah RM5 untuk dewasa, kanak-kanak berusia tiga tahun
hingga remaja 17 tahun (RM3) dan pelajar beruniform (RM2).
(END)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home